Khamis, 7 Februari 2013

ISU SOSIAL : Pastikan keselamatan terbaik kanak-kanak


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

TRAGEDI yang berlaku ke atas adik William Yau Zhen Zhong mengejutkan seluruh negara kerana satu lagi anak kecil yang tidak berdosa hilang tanpa pengawasan dan ditemui mati dalam sungai selepas seminggu kehilangannya.

Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum merasa amat sedih atas tragedi tersebut dan bersimpati dengan ibu bapa mendiang William Yau termasuk kanak-kanak lain yang mengalami tragedi yang sama.

Kejadian mendiang William Yau menjadi satu iktibar kepada semua ibu bapa tanpa mengira bangsa tentang betapa pentingnya  mereka menjaga  keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Kejadian ini harus menyedarkan ibu bapa untuk lebih berhati-hati dalam melindungi kanak-kanak. Dalam menunggu pihak berkuasa menyiasat dan mengenal pasti punca kematian William Yau, hakikatnya kematian itu tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia walau apa pun puncanya.

Ekoran perbuatan yang zalim terhadap kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penganiayaan, liwat, rogol dan juga pembunuhan, kita kini perlu lebih mendidik anak-anak bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri. Melindungi anak-anak daripada keganasan adalah suatu komponen yang menyeluruh dalam membela hak mereka untuk hidup, membesar dan pembangunan diri.

Melindungi anak-anak daripada perbuatan jenayah yang keji adalah tanggungjawab semua. Ia bukan sahaja tugas pihak berkuasa berkaitan dalam melindungi anak-anak tetapi masyarakat keseluruhannya harus memainkan peranan mereka.

Perlindungan atas kanak-kanak bermula dari rumah dengan penglibatan aktif ibu bapa. Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak-anak bagaimana untuk respons kepada sebarang situasi berbahaya. Ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak harus sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan terbaik untuk anak-anak mereka.

Ibu bapa juga harus menasihatkan anak-anak mereka supaya berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, mendidik mereka tentang keselamatan dan apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu insiden berlaku. Anak-anak perlu dididik berasa sangsi atau was-was terhadap orang yang tidak dikenali pada setiap masa dan tidak mudah percaya dengan mereka.

Sekolah boleh memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak diperhebatkan di  sekolah-sekolah rendah kerana mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan.

Memandangkan betapa seriusnya masalah kanak-kanak yang hilang, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkaitan untuk merangka strategi yang berkesan dan mapan serta pelan tindakan untuk mengelakkan lebih banyak berlaku kes kanak-kanak hilang pada masa hadapan.

Strategi dan pelan tindakan yang boleh dirangka termasuklah:

(a) Memperkukuh usaha untuk melindungi kanak-kanak daripada jenayah, keganasan, dan semua bentuk penyalahgunaan yang melibatkan semua lapisan masyarakat;

(b) Melaksanakan kempen mempromosi kesedaran perlindungan kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa termasuk mereka yang baru membina keluarga mengenai tanggungjawab mereka terhadap keselamatan kanak-kanak termasuk peruntukan-peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan