Isnin, 23 April 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : PTPTN: Kekal atau mansuh atau tambah baik?


WARTAWAN SINAR HARIAN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih dikenali sebagai PTPTN menjadi isu hangat sejak awal April 2012. Sekilas pandang menerusi perbincangan di laman sosial Facebook khususnya dan blog-blog secara umumnya, adalah menjadi sesuatu yang memeranjatkan apabila peratusan sokongan terhadap pengekalan dan pemansuhan PTPTN adalah hampir sekata. Bagaimana pula dengan anda?

Tidak mahu untuk saya terlibat dalam perbahasan panjang untuk dikekal atau dimansuhkan PTPTN tetapi lebih suka untuk saya membawa pembaca kepada fokus yang ketiga; iaitu ‘tambah baik’ PTPTN. Secara tidak langsung, kenyataan saya di atas jelas. Kekalkan PTPTN? Ya. Mansuhkan PTPTN? Juga ya, tetapi kepada beberapa faktor pemansuhan dan penambahbaikan.

Siapa tidak mahu sesuatu yang percuma? Rata-rata suka akan perkara percuma termasuklah saya sendiri tetapi terkadang pernahkah kita sendiri merasa puas sekiranya sesuatu perkara itu kita kecapi hasil daripada titik peluh usaha kita sendiri? Perkara asas untuk kita fahami ialah, hutang tetap wajib dibayar kecuali pihak pemiutang menghalalkan segala hutang kita.

Perkara pokok untuk kita hapuskan pada PTPTN ialah kos pengurusan 1% atau sekarang lebih dikenali sebagai ujrah-upah. Sememangnya kos 1% tersebut telah dikemaskini daripada 3% sebelum ini tetapi 1% tersebut tetap tidak relevan untuk dikenakan ke atas mahasiswa. Walau selantang mana pun PTPTN menyatakan 1% tersebut bukanlah kos faedah, realitinya 1% tidak perlu untuk dikenakan ke atas peminjam. Pengiraannya mudah sahaja, sekiranya peminjam meminjam RM14,000 untuk kos pengajian, maka ujrah 1% ke atas peminjam tersebut adalah RM140 setahun. Tetapi bagi mereka yang meminjam RM28,000 pada sepanjang tahun pengajian, maka mereka perlu untuk membayar RM280 setahun. Anda faham akan perkiraan tersebut bukan? Kos ujrah tersebut meningkat dengan meningkatnya nilai pinjaman. Persoalannya ialah, mengapa tidak diselaraskan sahaja satu nilai walau sebanyak mana pun nilai pinjaman? Secara umumnya, peminjam perlu untuk melunaskan segala pinjaman dalam jangka masa 10 ke 15 tahun setelah tamat pengajian. Bolehlah anda mengira sendiri jumlah keseluruhan pinjaman yang perlu dilunaskan termasuk kos ujrah tersebut, kononnya.

Buat makluman semua, para graduan yang telah menandatangani perjanjian 3% perlu untuk membuat perjanjian semula bersama PTPTN untuk menukarkan kos pengurusan 3% kepada 1%. Apa yang terjadi sekarang ini ialah, graduan yang belum sempat menukarkan perjanjian tersebut walau apa pun alasan mereka telah dikenakan caj tersebut setiap bulan tanpa mereka sedari! Ya, dan perkara tersebut terjadi kepada sahabat rapat saya sendiri yang dikenakan caj RM65 sebulan kerana masih terikat dengan perjanjian lama. Beliau lambat untuk menukarkan perjanjian sedia ada sedangkan RM65 tersebut tidak termasuk jumlah pinjaman semasa, dan dalam erti kata lain, peminjam telah dikenakan faedah setelah beberapa bulan menamatkan pengajian. Mungkin anda boleh menyemak nama anda di laman web PTPTN bagi mereka yang mengambil mudah untuk menukar perjanjian tersebut.

Penghapusan kadar 1% tersebut sudah tentulah sesuatu yang kecil bagi pihak kerajaan berbanding subsidi RM43 billion dengan jumlah tanggungan RM4 billion ke RM6 billion setahun berdasarkan perangkaan untuk 2012/2013. Nilai tersebut sudah tentu membantu ribuan graduan berbanding membantu seorang ahli korporat yang telah menjadi liabiliti kepada Malaysia Airlines sebanyak RM8 bilion tetapi telah dihapus kira hutangnya oleh kerajaan sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta walaupun tiga tahun lalu beliau telah diarahkan untuk melunaskan hutang tersebut oleh pihak mahkamah. Sistem sebegini perlu diubah, sistem yang memenangkan mereka yang berduit; tidak bagi rakyat biasa yang berpendapatan sederhana dan rendah. Mengapa kerajaan boleh memberikan jutaan ringgit pelepasan kepada seorang yang sememangnya sudah berharta dan melakukan kesilapan pengurusan tetapi tidak bagi mereka yang tidak semewah mereka yang berada dan tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi?

Perkara kedua yang perlu ditambah baik adalah, jadikan PTPTN sebagai pinjaman pemboleh ubah. Selain tidak perlu untuk membayar faedah untuk pinjaman, malah pinjaman tersebut boleh dikurangkan berdasarkan keputusan akhir peperiksaan. Sememangnya langkah kerajaan untuk memberikan pelepasan kepada 11,764 graduan yang mendapat kelas pertama setakat 31 Disember 2011 adalah satu langkah bijak untuk membantu mahasiswa cemerlang yang gagal untuk mendapatkan biasiswa. Walau bagaimanapun, jumlah 11,764 graduan tersebut hanya mewakili berapa peratus daripada jumlah keseluruhan graduan? Haruslah diingat, kebanyakan mahasiswa yang sememangnya cemerlang dalam akademik telah pun ditaja oleh mana-mana pihak sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Intel, Petronas dan sebagainya. Pada hemat saya, lebih berbaloi untuk pihak kerajaan menjadikan PTPTN seperti MARA yang mana graduan akan membayar kos pengajian berdasarkan keputusan akhir peperiksaan. Jangan hanya fokuskan kepada mereka yang hanya mendapat kelas pertama sahaja tetapi kelas kedua atas, bawah dan sebagainya. Sediakan satu jadual pembayaran balik mengikut keputusan akhir pinjaman. Secara tidak langsung, mahasiswa akan lebih fokus terhadap pelajaran sekurang-kurangnya berusaha mendapatkan PNGK 3.0 dan ke atas bagi membolehkan mereka mengurangkan pembayaran balik 50% ke 60% sebagai contoh.

Mungkin juga PTPTN boleh menjalankan kajian terperinci untuk memberikan pelepasan 100% bagi mereka yang tidak mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama tetapi kelas kedua atas yang aktif dalam aktiviti kokurikulum samaada sukan, kepimpinan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya. Sememangnya manusia dilahirkan dengan kebijaksanaan serta bakat yang berbeza-beza dan kepelbagaian kebijaksanaan dan bakat ini perlu diraikan bersama. Sekiranya cadangan ini boleh diterima pakai, satu sistem yang efektif perlu disediakan bagi menilai keaktifan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum.

Isu disenaraihitam juga perlu untuk dikaji semula. Nama disenaraihitamkan bukanlah sesuatu perkara kecil, ia boleh memberi kesan seumur hidup kepada para graduan. Bayangkan mereka yang baru berusia lewat dua puluhan tetapi telah disenaraihitamkan? Permudahkanlah urusan pembayaran balik walaupun sekadar RM50 sebulan. PTPTN bukanlah sama seperti institusi kewangan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara dan tidak sepatutnya mempunyai kuasa seperti bank-bank. PTPTN juga seharusnya berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk selalu menyemak pangkalan data bagi memastikan mereka yang telah melunaskan pembayaran balik dibersihkan nama.

Jumlah RM43 bilion yang diperdebatkan bukanlah suatu angka yang kecil. Bukanlah saya ingin menidakkan pendidikan tinggi percuma tetapi saya lebih cenderung untuk memperjuangkan peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Kita yang berada di bandar tidak merasa jerih perih mereka yang berada di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak. Jumlah tersebut perlu disalurkan dahulu kepada mereka daripada kita yang telah mendapat peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti. Teringat saya ketika satu konvensyen yang pernah saya hadiri bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa, MPM seluruh IPTA di Universiti Tun Hussein Onn, UTHM. Tatkala sebahagian MPM melontarkan isu kelebihan MPM, MPM daripada Sabah dan Sarawak khususnya bercakap tentang kedaifan sekolah di kawasan sekitar mereka. Jangan kita bandingkan sekolah rendah di sekitar Putrajaya, walhal sekolah menengah di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak pun masih lagi berdindingkan kayu, berlantaikan tanah, berbumbungkan daun nipah. Sesungguhnya mereka lebih memerlukan dana RM43 bilion tersebut.

Perlu untuk diperjelas berkenaan isu PTPTN ini bukan sekadar pemansuhan PTPTN tetapi kelebihan pendidikan percuma kepada mahasiswa. Sememangnya mereka ingin PTPTN dimansuhkan tetapi diganti dengan pendidikan tinggi percuma yakni yuran dipercumakan. Mungkin kerajaan mampu untuk memansuhkan PTPTN dan mengecualikan yuran universiti tetapi kita perlu mengkaji, kebanyakan besar mahasiswa juga menggunakan wang pinjaman tersebut untuk kos sara hidup, membeli buku, pengangkutan dan sebahagian yang membayar sewa rumah bagi yang tidak mendapat penginapan di dalam kampus dan sebagainya. Adakah suatu hari nanti kita akan meminta pula untuk diberikan wang saku percuma? Adakah pengecualian yuran hanya kepada IPTA bukannya IPTS? Bagaimana pula dengan Kolej Komuniti, Pusat Kemahiran dan sebagainya? 20 IPTA di Malaysia tidak mampu untuk menampung semua mahasiswa dan bukannya semua mahasiswa IPTS adalah berlatar belakangkan keluarga berada. Sekiranya PTPTN dihapuskan serta merta dan mahasiswa IPTS disisihkan daripada kelebihan pendidikan percuma, tidak mustahil, ramai yang akan tercicir untuk melanjutkan pelajaran. Umum mengetahui, kos pengajian di IPTS adalah lebih mahal daripada IPTA.

Dasarnya, PTPTN tidak perlu dihapuskan secara terus tetapi sistem yang sedia ada perlu untuk ditambah baik. Hapuskan caj pengurusan 1% dan jadikan pinjaman sebagai pinjaman boleh ubah berdasarkan keputusan akhir peperiksaan dan mudahkan urusan pembayaran balik pinjaman. Bagi yang meminjam, hutang tetap perlu dilunaskan. Adakah mereka yang menuntut untuk menghapuskan PTPTN ini telah membayar walaupun 1 sen? Jangan hanya memikirkan untuk membeli rumah, kereta dan gajet-gajet mewah tetapi leka dan alpa dalam membayar hutang sedia ada. Adalah tidak adil bagi mereka yang komited membayar balik pinjaman sedikit demi sedikit sedangkan mereka yang tidak pernah membayar pinjaman dilepaskan terus daripada pinjaman.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan