Rabu, 26 Jun 2013

ISU SOSIAL : Menghindar jerebu di hati dan minda


Oleh : NORDEN MOHAMED

JEREBU melanda lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Apabila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa kawasan.

Ramai yang terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis.

Hati masing-masing mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun apabila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tidak naik lagi, itu pun sudah cukup baik.

Jerebu. Siapa yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng, walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga tidak suka kepada keadaan cuaca sebegitu?

Atas kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.

Ertinya mereka berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut kabut asap!

Mereka hanya nampak duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa menggunakan duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh.

Untuk sekian kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi apabila akibatnya terkena kepada berjuta-juta manusia lain.

Dalam kehidupan seharian kita sendiri, berapa ramaikah antara kita yang pada zahirnya baik, tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang menyerang minda dan jiwa?

Jerebu fikiran datang dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.

Ertinya, jerebu fikiran itu mengaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita  hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati dan merenungi.

Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.

Jerebu hati pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.

Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.

Jerebu di hati dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa sedih.

Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.

Jerebu di udara akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan merosakkan mental.

Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu.

Hanya pengetahuan yang dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan dengan perisai keikhlasan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan