Isnin, 9 Julai 2012

Belasungkawa : Negara kehilangan tokoh budaya tersohor



KUALA LUMPUR - Malaysia kehilangan seorang tokoh budaya tersohor, Azah Aziz, 83, atau nama penuhnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, yang cukup dikenali sebagai seorang yang amat cintakan khazanah alam Melayu.

Isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz itu menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 10 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Baharu, Azah yang turut dikenali sebagai Mak Ungku mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru.

Menurut buku biografinya berjudul "Azah Aziz: Kartika di Langit Seni" yang diterbitkan pada 2002, Azah melalui zaman remajanya ketika perang Jepun dan pengajian beliau terganggu semasa perang.

Selepas perang tamat, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran tetapi dilamar oleh Ungku Aziz dengan kata-kata: "Berkahwin dengan saya sama seperti menuntut pelajaran tinggi di sebuah universiti.”

Azah, ibu kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dikenali sebagai seorang yang cukup arif tentang dunia pakaian Melayu daripada jenis kainnya hinggalah kepada semua potongan pakaian tradisional.

Beliau yang sentiasa tampil manis berbaju kurung difahamkan mempunyai koleksi lebih 100 pakaian warisan lama seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya.

Azah juga amat menghargai keindahan pantun Melayu dengan merakamkan ketinggian tahap intelek orang Melayu di sebalik pilihan kata-kata yang halus dan penuh berseni.

Selain itu, Azah ialah antara wartawan wanita Melayu pertama dan pernah berkhidmat di Berita Harian, Singapura pada 1957 sebelum ke Utusan Melayu dan majalah Wanita.

Azah, yang juga anak saudara pengasas Umno Datuk Onn Jaafar, ialah pengasas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Beliau juga mengasas Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi Ketua Satu yang pertama dari 1971 hingga 1978.

Ketika di Berita Harian, Azah mengendalikan ruangan wanita dan menulis tentang perlunya kaum ibu menyediakan makanan yang berzat untuk keluarga.

Menurut biografi itu, beliau memegang kuat pesanan ibunya iaitu: “Kalau kau hendak menolong orang Melayu, tulislah banyak-banyak tentang zat makanan.”

Beliau juga pernah menulis lebih 10 buku berkaitan pantun, seloka, hal wanita, pakaian tradisional serta kraf tangan.

Pada 2008, Azah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana ketokohannya dalam bidang kebudayaan dan kewartawanan.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Johor, Wanita Cemerlang Avon Tan Sri Fatimah, dan Anugerah Jarum Berlian.

Jawatan terakhir yang disandangnya ialah Pengerusi Prestige Communications Sdn Bhd dan penasihat utama kebudayaan dan tradisional Melayu.  – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan