Isnin, 9 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti terbaik


    
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

ANTARA hala tuju utama dunia pendidikan moden ialah pengiktirafan pengantarabangsaan yang dianggap berprestij bagi sesebuah institusi.

Berjaya meletakkan nama di persada antarabangsa ibarat satu kemenangan mutlak institusi dalam merencanakan agenda dirancang di peringkat global.

Bagaimanapun, cabaran memperoleh pengiktirafan itu bukan mudah atau hanya bermodalkan ‘air liur’, sebaliknya perlu melalui kesukaran dan kerja keras.

Persoalannya, mengapakah perjuangan demi mencapai tahap pengantarabangsaan itu satu ‘penyeksaan’ sedangkan penghormatan bakal diterima cukup gah?

Presiden Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pengantarabangsaan bukan sekadar memastikan sesebuah institusi mampu mencapai standard ditetapkan, malah perlu memastikan nilai budaya serta penerapan ilmu berada dalam garisan diterima masyarakat.

Menurutnya, skop pengantarabangsaan yang luas perlu dihayati dengan tepat dan teliti kerana sasaran memenuhi piawaian ditetapkan tinggi, penuh liku serta memerlukan pengorbanan.

“Hakikatnya, ramai melihat pengantarabangsaan institusi sebagai satu keutamaan masa kini yang mesti ada, perlu dilakukan serta perlu dicapai.

“Diakui, semua mahu mencapai tahap itu dan tidak salah berusaha untuknya. Ia satu persaingan dan pencapaian sihat bagi memajukan lagi industri pendidikan.

“Namun jangan lupa, pengantarabangsaan juga satu tanda komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Bukan calang-calang usaha diperlukan untuk mencapai status itu kerana banyak aspek perlu diperkukuh, diperbaiki dan mungkin dikorbankan untuk berada pada tahap antarabangsa,” katanya.

Tidak salah juga, katanya, jika ingin membina harapan menjadi yang terbaik kerana proses globalisasi masa kini mahukan rentasan ilmu tanpa sempadan.

“Jika tidak, kita akan ketinggalan jauh dengan ilmu, pemikiran, teknologi serta kemajuan yang tidak berkembang,” katanya.

Isu pengantarabangsaan kini menjadi antara mandat utama dunia pendidikan tinggi negara, namun keterujaan mencapainya kadangkala menimbulkan konflik sampingan institusi juga masyarakat.

Apatah lagi jika kedudukan institusi yang dulunya pernah tersenarai, namun akhirnya tersingkir bukan saja boleh menyebabkan reputasi tercalar, malah menimbulkan pertikaian mengenai tahap kewibawaan juga imej yang disandang.

Namun, beliau berpendapat, masyarakat tidak perlu bersikap terlalu obses dan mengambil berat mengenai senarai kedudukan jatuh bangun universiti kerana dikhuatiri boleh menggugat proses menuntut ilmu yang lebih utama.

Malah, kritikan berlebihan dikhuatiri boleh menjatuhkan nama baik serta reputasi institusi yang selama ini besar sumbangannya kepada masyarakat tempatan.

“Senarai kedudukan penting bagi memberi gambaran reputasi sesebuah institusi, namun biarlah rasional. Kritikan mahupun sikap mendesak keterlaluan boleh mencetuskan konflik lain pula.

“Kepentingan utama ialah kita mahu memberi kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi di negara ini untuk terus komited dan fokus melaksanakan transformasi pendidikan.

“Pengantarabangsaan hanya sekadar taraf, namun ia tidak boleh menggugat nilai dan fungsi utama iaitu menjana pembangunan ilmu di kalangan masyarakat,” katanya.

Malangnya segelintir pihak menganggap kedudukan dalam senarai penarafan utama dunia sebagai keutamaan yang perlu dikejar dan diperoleh.

“Saya akui setiap pengiktirafan bertaraf antarabangsa boleh menaikkan imej institusi namun pada masa sama, kita perlu rasional. Jangan keterlaluan membandingkan nilai keupayaan institusi kita dengan negara luar.

“Sama ada tersenarai atau tidak, keutamaan yang perlu ditekankan ialah jangan lupa tanggungjawab hakiki institusi sebagai pusat pengembangan ilmu.

“Kita mahu mendidik dan mengembangkan ilmu, bukan mengejar tahap kedudukan semata-mata. Itu sudah lari daripada konsep sebenar dunia pendidikan,” katanya tidak menafikan pengantarabangsaan juga satu kredit kepaa institusi dalam membina nama di persada dunia pendidikan global.

“Siapa yang tidak mahu pengiktirafan? Ia satu cara paling berkesan memperkukuhkan nama di persada dunia industri pendidikan moden.

“Bagaimanapun, ia bukan sekadar mahu menempa nama semata-mata, malah memerlukan satu perjalanan panjang bagi memastikan proses penggemblengan ilmu tidak terhenti.

“Selain memastikan aset utama iaitu pelajar masih tetap selari di landasan betul kerana mereka inilah aset paling berharga yang perlu dijaga sebaiknya,” katanya.

Bagi MSU pula, beliau menggariskan empat cara menjana proses pengantarabangsaan institusi iaitu melalui program ditawarkan, pelajar antarabangsa, fakulti serta tenaga pengajar serta kerjasama dengan institusi luar negara.

“Pengantarabangsaan MSU merangkumi semua aspek yang digabungkan secara menyeluruh dengan satu tujuan iaitu meneroka konsep pendidikan terkini seiring globalisasi.

“Kepentingan MSU ialah pendidikan yang mampu melahirkan aset serta keupayaan pelajar dalam semua bidang. Justeru, apa yang dilaksanakan mestilah mempunyai kualiti yang mampu memperoleh pengiktirafan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan itu menjadi kayu pengukur serta timbang tara MSU dalam melaksanakan misi pengantarabangsaan dengan setiap aspek dilaksanakan juga menuju ke arah pengukuhan jenama.

“Sejak 30 tahun penubuhan yang hanya bermula sebagai sebuah kolej, kami sentiasa menetapkan matlamat untuk menjadi yang terbaik di kalangan terbaik.

“Bagaimanapun, ia bukan mudah kerana perlu merentasi pelbagai halangan. Namun, pengiktirafan sama ada tempatan mahupun antarabangsa menjadi bukti komitmen kami memberi pendidikan terbaik kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Lebih membanggakan, apabila MSU diiktiraf Tier 5 kategori cemerlang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) 2009.

Mengulas sikap masyarakat yang hanya memandang pengiktirafan daripada badan luar semata-mata, beliau berharap ia mampu diubah kerana sebarang pengiktirafan sama ada antarabangsa atau tempatan, semuanya menjana kepada satu matlamat iaitu menjadikan proses pengembangan ilmu berada pada tahap terbaik.

“Masyarakat ada pandangan masing masing, namun biarlah positif agar institusi dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih fokus.

“Apa jua pengiktirafan sama ada besar atau kecil, dalam atau luar negara dan sebagainya hanyalah menjadi langkah pertama untuk institusi bergerak lebih maju.

“Anggaplah pengiktirafan itu sebagai satu dorongan semangat selain memperbaiki kekurangan. Yang penting bagaimana institusi mahu terus merealisasikan budaya ilmu sebagai tanggungjawab utama,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan