Khamis, 28 Januari 2010

Mitos skim cepat kaya semakin merebak

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my

Ramai yang impikan kekayaan sekelip mata terjerat dengan pelbagai skim pelaburan

TANGGAL 17 Julai 1991 amat merimaskan sebahagian besar pelabur skim cepat kaya. Tauke mereka - Osman Hamzah atau lebih dikenali Pak Man Telo - dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Taiping atas tuduhan menerima deposit daripada orang ramai secara tidak sah.

Ramai yang gempar dan hampir tidak percaya bagaimana seorang lelaki Melayu yang tidak tinggi persekolahannya berjaya mencipta skim pelaburan yang didakwa menguntungkan. Ramai juga hairan ramainya bangsa Melayu terpelajar boleh menerima skim yang diperkenalkan seorang lelaki kampung seperti Pak Man Telo.

Selama beberapa tahun beroperasi, Pak Man Telo sudah mencipta mitos dan legenda tersendiri. Dia kononnya mahu mengantarabangsakan skimnya ke peringkat serantau dan di kalangan pelaburnya, ada yang mempercayai tauke skim cepat kaya itu sudah mendapat lesen daripada kerajaan untuk meluaskan operasi ke negara jiran.

Ada juga yang mendakwa Pak Man Telo mendapat kerjasama Bank Negara kerana kecerdikan skim diperkenalkannya. Justeru, tidak menghairankan apabila ada kenalan yang menjual Proton Saga semata-mata untuk menambah pelaburan!

Bagaimanapun mahkamah yang bertindak di atas fakta undang-undang akhirnya menghukum tauke skim pelaburan haram itu penjara setahun dan denda RM500,000 kerana menerima wang deposit RM99.09 juta daripada orang ramai.

Pada masa sama juga skim pelaburan ‘labu peram’ terus berleluasa dengan menggunakan modus operandi hampir sama. Sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur dengan janji akan dipulangkan kembali dengan faedah lebih tinggi daripada apa ditawarkan institusi kewangan berlesen.

Ada dua skim cepat kaya utama yang kerap memerangkap pelabur, iaitu skim piramid dan skim Charles Ponzi (1882-1949) - seorang pendatang Itali yang menguasai pelaburan skim cepat kaya di Amerika Syarikat. Sifat semula jadi sistem ponzi adalah tidak kekal dan cuma menunggu masa untuk si penipu melarikan wang mangsanya.

Pada permulaan skim, penganjur menggunakan deposit daripada pelabur baru untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit sebelumnya. Pada amnya, penganjur tidak melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan lebih tinggi. Mereka tidak dapat terus menanggung pembayaran pulangan tinggi kepada pelabur sedia ada. Jika tiada deposit baru diterima atau skim ini dibatalkan, ia akan gagal dan pendeposit kehilangan wang mereka.

Lazimnya ketamakan keuntungan segera menyebabkan seseorang gelap mata dan sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit semata-mata untuk ‘bersedekah’ kepada penipu yang mengambil kesempatan.

Kini pula pelbagai bentuk pelaburan bersedia memerangkap orang ramai. Pelbagai nama digunakan. Skim perusahaan cacing, lintah, kambing gurun, ikan keli, gores dan menang, umrah percuma, pelaburan menerusi internet, skim cara Islam dan pelbagai lagi. Semuanya mempunyai matlamat sama. Lebih malang lagi yang menjadi mangsa adalah Melayu. Yang menganjurkan penipuan pun Melayu juga. Kenapa?

Terkini, polis Cawangan Jenayah Komersial memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah amanah melarikan RM30 juta wang pelaburan 30,000 pelabur ternakan cacing. Semuanya membawa maksud sama; Melayu terus tipu Melayu untuk mencipta kekayaan segera!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan