Rabu, 27 Januari 2010

Malaysia secara rasmi jadi pusat serantau pendidikan khas

CEBU 27 Jan. - Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45 yang berlangsung di sini hari ini bersetuju menubuhkan sebuah pusat serantau mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pusat serantau itu ketika ini sudah pun beroperasi secara sementara di Melaka.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, pusat serantau tetap pula akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat dengan semua perbelanjaan dibiayai oleh Malaysia.

"Pusat itu yang pertama seumpamanya di rantau ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan pelbagai kemudahan pendidikan khusus kepada pelajar-pelajar istimewa,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena SEAMEC ke-45.

Cadangan pembinaan SEAMEO SEN itu sudah pun dipersetujui ketika Persidangan SEAMEC ke-44 di Phuket, Thailand tahun lalu dan dibawa ke persidangan kali ini bagi membolehkan dua dokumen penting ditimbang dan diluluskan sebelum Malaysia secara rasmi menubuhkannya.

Dua dokumen penting itu ialah perjanjian persefahaman (MoA) dan instrumen penstrukturan.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin memberitahu, Malaysia sependapat dengan Singapura, Filipina dan Vietnam untuk memberi lebih perhatian kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara masing-masing.

Beliau berkata, persetujuan menyediakan gabungan pakar yang boleh dikongsi oleh negara anggota terutamanya di kalangan empat negara ini juga berjaya dicapai sewaktu berlangsungnya pertemuan dua hala dengan negara-negara tersebut.

"Kerjasama dalam bahasa Inggeris ini ditekankan kerana kita berdepan dengan masalah yang hampir sama iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih.

"Malah, perkara ini sebenarnya merupakan fenomena dunia kerana tuntutan untuk mempelajari bahasa Inggeris meningkat dengan mendadak termasuk di China,'' ujar beliau.

Muhyiddin menambah, perhatian negara terhadap pembelajaran bahasa Inggeris itu sebenarnya selari dengan dasar yang diumumkan kerajaan iaitu memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan