Rabu, 27 Januari 2010

20 SBT langkah pertama lonjak sistem pendidikan

MURID-MURID bersama guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru UDA, Johor Bahru, gembira apabila sekolah itu diumumkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kelmarin.

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Kuasa autonomi bolehkan sekolah lebih kreatif buat pembaharuan

PENGIKTIRAFAN kerajaan terhadap 20 sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dijangka menyuntik semangat pengurusan pelbagai kategori sekolah iaitu bandar, luar bandar, pedalaman dan sekolah di penempatan Orang Asli untuk meneruskan usaha menjadi sekolah terbaik.

Suntikan semangat yang dapat melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan negara itu dilihat sebagai anjakan baru dalam memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran, selain meningkatkan aktiviti kokurikulum dalam usaha membentuk sahsiah cemerlang di kalangan generasi muda.

Semua sekolah yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin adalah antara yang terbaik di kalangan terbaik. Kecemerlangan yang dikecapi bukan diperoleh dalam tempoh singkat. Ia hasil kesungguhan pihak pengurusan pelbagai peringkat, selain keazaman pelajarnya yang tinggi dalam diri masing-masing untuk menjadi yang terbaik.

Pengiktirafan itu turut mengambil kira pelbagai aspek pencapaian bermula dengan kecemerlangan akademik dan kokurikulum hinggalah kepada sumbangan pihak sekolah kepada negara, terutama dalam usaha memajukan masyarakat sekitar.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran, Ashah Samah, berkata pengumuman kementerian itu dilihat sebagai membuka ruang lebih luas kepada semua sekolah meningkatkan kecemerlangan mengikut kebitaraan masing-masing. Beliau berkata, mana-mana sekolah yang mencapai standard kecemerlangan dengan mengambil kira kejayaan proses kemenjadian pelajar layak mendapat pengiktirafan sebagai SBT.

Ashah berkata, melihatkan kepada pemilihan sekolah berkenaan iaitu Sekolah Berasrama Penuh (10), Sekolah Menengah Harian (empat) dan Sekolah Rendah (enam), masing-masing mencatatkan kecemerlangan menyeluruh, selain mengekalkan prestasi akademik sejak sekian lama.

Penilaian lain ialah ia turut mengambil kira pengorbanan semua pihak, terutama guru dan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta sokongan masyarakat sekeliling dalam menjayakan aktiviti anjuran sekolah tempat mereka. Sekolah bukanlah institusi pendidikan semata-mata, malah fungsinya menyeluruh dengan menjadikannya sebagai badan penyatuan masyarakat sekitar menerusi aktiviti kebajikan.

Melihat kepada kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St George, Pulau Pinang, Ashah berkata, selain cemerlang akademik dan kokurikulum, pihak pengurusan sekolah berjaya menganjurkan aktiviti kebajikan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat sekitar.

"Selain melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik, guru berjaya menguruskan aktiviti kemasyarakatan dan hasilnya disumbang kepada badan kebajikan yang memerlukan.

Usaha murni itu, kata Ashah mencerminkan kesungguhan semua pihak. Masyarakat berperanan menghidupkan fungsi sekolah dengan turut sama menjayakan program. Inilah acuan kecemerlangan pendidikan yang diharapkan semua pihak.

"Hasilnya usaha ini mendapat pengiktirafan apabila penyelidik dari University of Washington, Amerika Syarikat mengemukakan permohonan untuk mendapatkan modul pembangunan pendidikan Sekolah Kluster untuk diadaptasi dalam sistem pendidikan mereka.

"Begitu juga dengan penyelidik dari University of Osaka di Jepun yang sedia menjalin kerjasama dengan kementerian dalam memperkasakan sistem pengurusan sekolah yang dilihat mereka sebagai yang terbaik dalam membangunkan modal insan pada abad yang semakin mencabar kini," katanya.

Semua sekolah yang terpilih berjaya meningkatkan bidang pengkhususan masing-masing (dan mengekalkan kebitaraan). Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (SMKSA), Alor Setar, Kedah, tersohor dengan pencapaian pasukan pancaragam. Pengetuanya, Kartini Zakaria, berkata kekuatan pasukan itu diperkemaskan lagi dengan mengambil jurulatih dari Thailand sebagai 'colour guards', iaitu elemen kemahiran yang terkandung dalam persembahan pancaragam.

Hasil latihan yang menyeluruh, SMKSA mengungguli dua kejuaraan peringkat dunia, iaitu Kuala Lumpur World Marching Band di Kuala Lumpur dan Malaysia World Band Competition di Putrajaya, tahun lalu. Kedua-kedua pertandingan ini membolehkan pihak sekolah menerima wang tunai AS$21,000 (RM71,400).

"Pasukan kami juga mendapat bimbingan profesional daripada jurulatih Jepun. Kepakaran diperoleh selepas kami mengadakan persembahan orkestra bersama Nakamura Gakuen Girls Senior High School, di Jepun beberapa tahun lalu. Kami juga akan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Shanghai, China April ini dan di Afrika Selatan, Julai ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Sekolah Kluster, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyifatkan pemilihan SBT dengan diberikan pelbagai keistimewaan adalah kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara. Pemilihan itu memberi peluang sama rata kepada sekolah pelbagai kategori untuk muncul sebagai yang terbaik. Penilaian secara adil membolehkan semua sekolah berasa selesa berjuang memberi tumpuan khusus kepada kebitaraan.

"Setiap sekolah memiliki kelebihan sendiri, selain kreativiti dalam meningkatkan keupayaan masing-masing. Malah mereka mempunyai cara tersendiri dalam mengaktifkan sekolah menerusi program khidmat bakti kepada masyarakat," katanya.

Pemberian kuasa autonomi dengan memberi hak pengetua dan guru besar memilih 20 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar bertepatan dalam usaha melonjakkan kecemerlangan akademik mahupun kokurikulum sekolah berkenaan. Guru hari ini semakin kreatif dan memiliki kemahiran kepemimpinan unik.

Pemberian lebih banyak autonomi dalam menguruskan sekolah membolehkan mereka kreatif dalam membuat pembaharuan dengan objektif jelas, iaitu melahirkan generasi berilmu, selain membentuk jati diri.

Masing-masing sedia berkorban dan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dengan azam apa yang dibuat sebagai amalan kerana percaya proses mendidik ini bukanlah sekadar mengajar semata-mata. Pengertian mendidik ini boleh diterjemahkan dalam aspek yang lebih besar dengan berkongsi ilmu pengetahuan dan emosi. Pendidik dan pelajar adalah pelengkap kepada proses pembangunan modal insan yang menyeluruh.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan