Dua puluh buah SBT ini menjadi perintis dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik di Malaysia ke taraf dunia.
Pengumuman sekolah yang memenuhi kriteria SBT ini cukup istimewa. Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, SBT berkenaan diberikan kuasa autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.
Malah antara 'keistimewaan' lain ialah pelajar dibenar menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.
Keistimewaan ini memang patut dicemburui kerana hanya 20 sekolah yang dipilih daripada 10,000 sekolah di negara ini yang menjalani penilaian pada tahun lalu.
Untuk dipilih sebagai SBT, sekolah-sekolah berkenaan telah membuktikan mereka yang terbaik daripada segi prestasi dan pencapaian akademik serta kurikulum sekolah, hasil usaha dan kerjasama kepimpinan sekolah, pelajar serta ibu bapa.
Sekarang, selepas terpilih sebagai SBT pada tahun ini maka Kementerian Pelajaran perlu berusaha dan memastikan mutu 20 sekolah ini tidak merudum atau merosot.
Dari sudut lain pula, kejayaan 20 sekolah yang terpilih itu diharap akan menjadi pendorong dan contoh kepada sekolah lain untuk meningkatkan prestasi hingga dapat berdiri sama tinggi dengan SBT itu. Ini kerana penilaian tidak lagi berasaskan akademik, sebaliknya berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang merangkumi kejayaan sekolah dalam kokurikulum, kebitaraan dalam pasukan beruniform dan kemampuan dalam pelbagai aktiviti.
Oleh yang demikian, mulai tahun ini semua sekolah termasuk sekolah harian, sekolah di pedalaman, sekolah aliran Cina dan Tamil dan sekolah berasrama penuh perlu bersaing sesama mereka untuk mendapat gelaran SBT.
Pemilihan 20 sekolah dikategorikan sebagai SBT ini adalah selaras dengan janji Kerajaan Pusat kepada rakyat.
Perlu diingatkan bahawa SBT adalah satu daripada empat sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran iaitu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Sebab itu Kementerian Pelajaran perlu memastikan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dapat dilaksanakan dan keberhasilannya dapat dipenuhi.
Kita hanya ada kurang sedekad lagi untuk mencapai sasaran negara maju menjelang tahun 2020. Semua orang percaya kemajuan dalam bidang pendidikan akan membantu negara mencapai Wawasan 2020 dan seterusnya.
Kita yakin pendidikan yang berkualiti akan menjamin masa depan rakyat. Maka melalui sistem SBT ini juga semua sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa akan berusaha gigih menaikkan nama sekolah masing-masing.
Satu demi satu transformasi yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran adalah untuk menaik taraf semua kategori sekolah menjadi yang terbaik.
Acuan yang sedang kita tempuhi dan bina ini akan berjaya dengan syarat mendapat sokongan penuh semua guru, pelajar dan ibu bapa.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan