Negara sebagai sebuah entiti berdaulat tidak boleh bersara daripada melaksanakan tiga fungsi asasinya. Pertama melindungi keselamatan wilayah dan rakyatnya.
Kedua, menjamin dan merealisasikan hak sivil warganya, dan ketiga, memberi identiti serta membina semangat kekitaan kepada penduduknya. Rakyat tanpa negara, ibarat warga Palestin, yang diusir ke sana ke mari. Negara tanpa rakyat, adalah satu ruang kosong yang tidak memberi apa-apa makna.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita cukup beruntung. Bertuah dalam erti kata, sudah banyak modenisasi, urbanisasi, dan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi.
Kita juga bertuah kerana kemerdekaan kali ke-52 tahun ini disambut dalam bulan Ramadan, bulan penuh barakhah yang dijanjikan Allah pelbagai ganjaran pahala bagi segala amal kebaikan, yang kita jayakan.
Tempoh 446 tahun usia negara dijajah, oleh pelbagai kuasa asing, hak rakyat dirampas, masyarakatnya dipecah perintah, landskap sosio-budaya diubah, ekonomi diperah, kita menjadi hamba di bumi sendiri.
Ini bahana akibat penjajahan. Ini kesan bila perpaduan tidak dipedulikan sebaliknya persengketaan jadi keutamaan. Ingatlah kembali sebab-musabab Perjanjian Pangkor pada Januari 1874 ditandatangani.
Ingatlah kembali bagaimana dengan tipu daya British dan atas nama kemanusiaan dan usaha mengamankan negeri, British mampu mentadbir negeri ini melalui peranan Residennya.
Hasil mahsul bumi diperah, kekayaan negara diratah, tidak cukup dengan itu, bagi memenuhi tembolok dan perut penjajah, dan kononnya atas dasar rakyat pribumi malas bekerja, maka ramai imigran dibawa masuk pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah.
Bukan itu sahaja, sejarah negara ditulis semula, nama bandar, jalan, empayar Melayu diubah secara semborono, lalu dijustifikasikan kononnya pemodenan yang berlaku adalah hasil buah tangan penjajah dan kaum pendatang.
Walhal, kaum pribumi tidak diberi peluang yang wajar, jika dibina sekolah sekalipun, sekadar bertujuan ibarat melepaskan batu di tangga. Tidak lebih semata-mata mahu menjadikan anak-anak Melayu belajar menjadi petani, peladang atau nelayan yang lebih baik sedikit daripada keturunan mereka.
Semenjak merdeka, begitu banyak perubahan. Sebut apa sahaja, baik ekonomi, pembangunan politik, kesejahteraan sosial, dipacu oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Pelbagai dasar dirangka, program dilaksana, semuanya bermatlamat untuk memenuhi keperluan rakyat.
Mengutamakan rakyat, supaya igauan penindasan secara halus, langsung mahupun tidak langsung yang dialami oleh generasi terdahulu tidak berulang menimpa generasi kini.
Lantaran itu, setiap warga Malaysia harus bertanya diri sendiri. Sudah cukup patriotikkah kita? Adakah kita faham akan susah payah, pengorbanan pimpinan, pejuang terdahulu memerdekakan negara?
Apakah pengertian dan makna Merdeka di sanubari kita? Apakah cuti Merdeka diingati sekadar satu cuti umum, melihat perarakan, berlibur ataupun tidak lebih daripada hari-hari biasa yang kita lalui.
Sama seperti Ramadan, yang ibadahnya kita jalani, adakah puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan mata, telinga, hati kita, nafsu kita, niat kita tidak berpuasa dalam erti kata sebenarnya.
Siang kita berpuasa, namun malam harinya kita asyik bercerita perihal keburukan orang. Siang kita berpuasa, namun dalam masa yang sama timbul niat tidak baik kepada saudara seagama kita.
Siang kita berpuasa, namun malamnya kita tidak mengimarahkan masjid atau surau, memperbanyakkan tadarus al-Quran, berqiamulail, beriktikaf dan berusaha menghubung silaturrahim, sebaliknya sibuk berpesta membeli belah, akibat gamitan promosi Hari Raya yang entah apa-apa.
Siang kita berpuasa, namun kita kikir untuk bersedekah, sebaliknya membazir ketika berbuka. Kita remehkan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.
Bantuan diberi kita alunkan dengan liputan media secara besar-besaran, walhal konsep sedekah dalam erti kata yang sebenarnya, 'tangan kanan yang memberi, tangan kiri pun tidak akan sedar perihal pemberian tersebut'.
Demikian juga darihal Merdeka, jika pengertian Ramadan hakiki mahu diserapkan dalam usaha menghayati Merdeka di bulan Puasa. Patriotik dan nasionaliskah kita, jika kita asyik menyatakan keburukan kerajaan yang selama ini menjaga keselamatan dan kebajikan kita?
Patriotik dan nasionaliskah kita jika kerajaan yang selama ini membantu menjayakan agenda pendidikan anak-anak kita dituduh dengan pelbagai tohmahan dan kata nista yang tiada kesudahannya?
Patriotik dan nasionaliskah kita, jika hanya kerana berebut kuasa politik, saudara seagama kita kafirkan, rakyat kita peralatkan, agama jadi mainan dan keamanan jadi taruhan.
Patriotik dan nasionaliskah kita, jika amanah yang diberi pada kita dijadikan laluan untuk berlaku rasuah dan salah guna kuasa? Patriotik dan nasionaliskah kita jika kekayaan yang kita perolehi berkat dinamisme dasar kerajaan, namun akhirnya dengan kekayaan yang kita ada digunakan pula untuk meruntuhkan tamadun yang sedia ada?
Patriotik dan nasionaliskah kita jika kita asyik merungut itu dan ini, mengharapkan kerajaan memberi itu dan ini, sedangkan kita sendiri sebagai warganegara tidak pernah ataupun masih kurang dalam mewakafkan diri kita dalam usaha berkorban untuk negara.
Jika kesemua persoalan ini mampu dijawab, difahami, dimuhasabahkan, dipraktik secara jujur dan ikhlas, barulah rahmat Merdeka di bulan Ramadan yang mulia ini mampu menyerlahkan barakahnya.
Biarlah seluruh rakyat Malaysia dapat hidup sebagai satu bangsa, satu suara, satu hasrat, Satu Malaysia dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan, keharmonian dan kemajuan berterusan.
SOBRI SUDIN
Alor Setar, Kedah
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan