Sabtu, 21 Julai 2012

ISU SOSIAL : Keluar Masuk Dalam Hidup


KEHIDUPAN manusia tidak sepi daripada keluar dan masuk.

Permulaan umat manusia bermula dengan Nabi Adam as dikeluarkan dari syurga dan dimasukkan ke alam dunia.

Kejadian kita sendiri adalah hasil keluar dan masuk. Setelah benih lelaki dimasukkan ke rahim perempuan, berlaku proses kejadian dan setelah cukup hari bulan, janin keluar dari rahim masuk ke alam dunia.

Saban hari kita tidak lepas daripada keluar masuk - keluar rumah, masuk pejabat (atau sekolah), keluar pejabat, balik dan masuk rumah. Yang rajin ibadah, keluar masuk masjid.

Di kalangan pekerja, apabila cukup bulan duit masuk kocek... tetapi tak kekal lama - sekejap duit dah keluar semula. Kekadang keluarnya lebih cepat dan lebih banyak daripada masuk.

Tetapi bagi yang ada kelebihan dan merancang masa depan, mereka akan masukkan wang ke dalam simpanan dan cukup waktu, akan dikeluarkan apabila ada keperluan.

Ada juga keluar masuk yang tidak diingini - seperti keluar masuk penjara. Hanya pesalah degil yang tidak kenal serik mengalami ini.

Satu lagi keluar masuk yang tidak diingini dan boleh menimpa ramai orang ialah keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Semoga diri, keluarga dan anak keturunan dijauhkan daripada keluar masuk sedemikian.

Pak Su ketengahkan soal keluar masuk ini kerana apabila azan maghrib berkumandang malam tadi, ia bermakna kita telah keluar daripada bulan Syaaban dan kini kita masuk pula ke dalam bulan suci Ramadan.

Datangnya Ramadan memberi banyak senyuman.

Bagi yang suka ibadah, inilah bulan meraih sebanyak mungkin pahala. Di Makkah misalnya, kemasukan Ramadan mengubah keadaan - siang jadi malam dan malam bagai siang.

Masuknya Ramadan juga membuat peniaga tetap dan peniaga musiman senyum kerana melihat potensi banyak duit masuk.

Menjelang raya pula, kaum bapa mungkin garu kepala kerana banyak duit dijangka keluar bagi pelbagai keperluan.

Dan apabila tiba Hari Raya kelak, kanak-kanak paling gembira kerana selain keseronokan berhari raya, banyak duit masuk - habuan Hari Raya.

Pada kesempatan ini, Pak Su nak kongsi sedikit tentang nasihat seorang imam dalam satu kuliah subuh baru-baru ini, sempena Ramadan. Ia ada kaitan dengan keluar masuk.

Satu daripada yang beliau tekankan ialah menjaga puasa, menjadikan puasa kali ini 'luar biasa'. Antara yang perlu diberi perhatian ialah perkara masuk dan keluar.

Misalnya, pastikan tidak ada benda haram atau yang merugikan masuk ke mulut dan menjejas amalan puasa - baik makanan dan minuman. Awasi juga supaya bisikan atau perkara sia-sia tidak masuk ke telinga, fikiran dan hati.

Ketika berbuka, jangan masukkan terlalu banyak makanan hingga kekenyangan dan memberatkan badan melakukan ibadah.

Di samping itu, hati-hati juga supaya jangan salah makan. Jika tidak, dibimbangi kita kena pula keluar masuk tandas.

Pada masa yang sama, perhatikan apa yang keluar daripada mulut kita. Jangan sampai kita keluarkan perkataan berupa umpatan, herdik, mengeji, menghina, memandang rendah, takabur atau perkataan (dan perbuatan) yang boleh menimbulkan rasa marah dan sakit hati.

Sepanjang Ramadan khususnya, sebaiknya perbanyakkan keluar masuk masjid.

Dalam bulan penuh barakah ini, kita juga digalakkan supaya mengeluarkan banyak wang dan masukkan ke tabung derma - banyak bersedekah. Ganjaran yang dijanjikan berlipat ganda.

Jangan pula salah sasaran seperti terkeluar lebih banyak belanja dan keluar masuk bazar hingga terbazir, terutama di hujung-hujung Ramadan.

Pak imam juga ingatkan supaya kita keluar mencari golongan yang memerlukan, sama-sama keluarkan sumbangan membantu mereka.

Keluarkan juga sikap malas daripada diri dengan melakukan solat tarawih dan solat tengah malam.

Nasihat lain yang pak imam berikan ialah melakukan persiapan awal mencari malam penuh berkah - lailatulqadar.

Dan semoga apabila sampai di penghujungnya kelak, kita keluar daripada Ramadan dengan benar-benar mencapai matlamat puasa iaitu menjadi orang yang lebih bertakwa dan menyambut Aidilfitri secara bersama dengan lebih bermakna.

Jangan sampai, setelah keluar Ramadan dan masuk Syawal, kita wal hasil balik asal - puasa tidak mengubah kita.

Banyak lagi perkara yang ada kaitan dengan keluar dan masuk.

Dalam Al-Quran terdapat banyak himpunan doa yang diajarkan kepada kita. Satu daripadanya ialah mengenai keluar masuk.

Allah menyuruh kita berdoa: "Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkan (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku daripada sisi Engkau kekuasaan yang menolong." (Rujuk surah Al-Israa: 80).

Sesungguhnya hidup ini adalah satu perjalanan yang banyak keluar masuk.

Kita keluar dari alam roh masuk ke alam rahim ibu; kemudian keluar dari alam rahim dan masuk ke alam dunia.

Semasa di dunia, sebahagian besar kita masuk ke beberapa alam - alam kanak-kanak dan persekolahan; alam remaja dan percintaan yang penuh pancaroba; alam dewasa, pekerjaan dan rumah tangga dan alam warga tua.

Perjalanan selanjutnya ialah keluar dari alam dunia dan dimasukkan ke tanah, masuk ke alam barzakh dan kelak kita akan keluar pula dari alam barzah ke alam akhirat.

Selepas dihisab, kita difahamkan bahawa ada Muslim yang terus dimasukkan ke syurga tetapi ada yang dimasukkan ke neraka menjalani hukuman sebelum dikeluarkan dan dimasukkan ke syurga.

Kita berdoa semoga kita semua (akhirnya) akan dimasukkan ke syurga dan tidak keluar-keluar lagi, insya-Allah, amin.

Selamat melaksanakan ibadah puasa.

Pak Su

Tiada ulasan:

Catat Ulasan