Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Rasulullah, sahabat harungi peperangan Badar ketika puasa
Alhamdulillah, bersyukur dan bertuah serta bergembiralah kita kerana hari
ini kita berpeluang bertemu dengan Ramadan yang sarat dengan kemuliaan,
keberkatan dan kerahmatan serta dijanjikan Allah SWT pelbagai limpahan ganjaran
serta pengampunan dosa. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dengan beriman dan mengharapkan rahmat
Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam
Bukhari dan Muslim)
Jika pada kebiasaannya kita bersarapan, boleh menjamah jamuan selepas
mesyuarat, tetapi dalam bulan ini semua kebiasaan itu tidak dapat dikecapi.
Perubahan ini sedikit sebanyak boleh mengubah semangat, kesegaran dan
jadual kerja seharian jika kita tidak mempersiapkan diri sehingga ada
mengaitkan pekerja sebagai kurang produktif di bulan ini.
Perubahan masa
Bahkan, perubahan pada semua kebiasaan ini, jika tidak difahami, dihayati
serta dilalui sepenuhnya dengan kesedaran, pengetahuan serta kesabaran boleh
menjadikan amalan berpuasa hanya suatu adat dan kerja seharian pula menjadi
berat.
Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada
kelaparan, kerana itu adalah teman berbaring yang paling buruk dan aku
berlindung kepada-Mu daripada khianat, kerana itu adalah pendamping yang sangat
buruk.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah)
Justeru, Allah SWT mengubah kebiasaan hamba-Nya dan memerintahkan kita
menahan diri daripada makan dan minum serta perkara membatalkan puasa selama
sebulan untuk menguji ketaatan dan kesabaran semata-mata kerana memenuhi
perintah Allah SWT.
Sabda Rasulullah, Ramadan adalah bulan kesabaran. Sabdanya lagi Allah SWT
berfirman: “Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya kecuali amalan puasa,
maka ia adalah untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang
sebaik-baiknya).” (Hadis riwayat Muslim)
Bentuk insan taat diri
Selain memberikan pelbagai hikmah Ramadan dan orang yang berpuasa bertujuan membentuk diri menjadi insan yang taat dan bertakwa walaupun dengan mengubah
kebiasaan dan mengurangkan keperluan.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan
kamu tidak mengetahui”.
Mengimbas sejarah Rasulullah dan sahabat serta salafussalih berpuasa dapat
merangsang semangat dan kesabaran kita.
Harungi peperangan
Bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat boleh mengharungi peperangan Badar
dalam bulan ini? Semua ini kerana, ia dilakukan kerana Allah dan untuk merebut
limpah kurniaan- Nya.
Justeru, marilah kita renungi dengan mendalam dan contohi seberapa mampu
supaya Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.
Pepatah Arab menyebut, “tirulah kemuliaan kerana sesungguhnya ia boleh
membawa kejayaan walaupun jika tidak dapat melakukan yang benar-benar serupa”.
Justeru, bagi mengelakkan puasa adat dan kerja menjadi berat, perlulah kita
mempunyai kesedaran dan pengetahuan asas yang baik pada awal Ramadan ini.
Pertama, dengan mengetahui kelebihan dan hikmah berpuasa. Antaranya bahawa setiap
amalan kebajikan dalam bulan ini digandakan dengan berlipat kali ganda
pahalanya, diberikan dengan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000
bulan, dimakbulkan doa, diampunkan dosa dan disediakan syurga yang dinamakan
ar-Rayyan.
Peluang keemasan
Kedua, dengan mensyukuri kelebihan dan kemudahan dalam bekerja berbanding
kerjaya individu lain yang lebih susah dan berat.
Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, “Dalam hal dunia, hendaklah kamu
melihat kepada orang yang di bawah”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Ramadan perlu menjadi peluang keemasan untuk direbut dengan melipatgandakan amal dan kerja supaya lebih baik serta berkualiti daripada kebiasaan.
Penulis ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan