Oleh : Amidi Dato' Abd Manan
Usah korban keikhlasan mendidik gara-gara mengejar status
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga
Menteri Pelajaran mengenai autonomi sekolah baru-baru ini amat mengujakan.
Pihak sekolah diberi kepercayaan untuk membangun, mengurus dan mentadbir
sekolah dengan ruang berkarya yang semakin luas. Ini adalah rentetan daripada
pelaksanaan Sekolah Bestari, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan Sekolah
Berprestasi Tinggi.
Kini setiap warga sekolah khususnya guru besar atau pengetua mula meletakkan
penanda aras bagi sekolah masing-masing. Mereka mahu mengejar status seperti
yang disebutkan di atas. Bagi sekolah yang mendapat status diidamkan itu sudah
tentu akan bermati-matian mempertahankan kedudukan sekolah dengan pelbagai cara
dan kaedah.
Dengan kedudukan istimewa, maka ibu bapa juga turut terheret untuk
menghantar anak ke sekolah berkenaan. Anak yang mendapat tempat di sekolah itu
tentu berasa bangga dan membuat perbandingan dengan pelajar di sekolah biasa.
Dalam dunia pendidikan moden hari ini, nilai tinggal landas atau TOV
(take-off value) amat penting bagi merancang sasaran pencapaian dalam
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ia akhirnya akan diterjemahkan ke dalam
‘Gred Purata Subjek’ (GPS) yang menjadi lambang keberkesanan kaedah pengajaran
dilaksanakan oleh guru berkenaan.
Mungkin wujud sedikit perubahan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) apabila sistem ‘band’
diperkenalkan.
Ada sekolah yang awal-awal lagi cuba memilih pelajar mempunyai TOV tinggi
bagi memudahkan usaha mencapai prestasi disasarkan. Tapi apa yang lebih malang
ada juga sekolah yang mengeluarkan pelajar yang mempunyai TOV rendah, yang
dikhuatiri akan menjejaskan pencapaian sekolah. Malah wujud kes mendaftarkan pelajar
itu sebagai calon persendirian.
Kita masih ingat dengan kejadian pelajar dikurung atau dengan lain
perkataan dinafikan hak untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) di Bintangor tahun lalu, juga berpunca dari faktor berkenaan.
Kini dengan perlumbaan yang semakin sengit, kita khuatir keikhlasan guru
semakin terhakis. Bermula daripada persaingan mengejar pelbagai kenaikan gred
sehinggalah kepada ranking sekolah, semuanya boleh melunturkan keikhlasan guru
untuk mendidik.
Pengumuman untuk menimbangkan perluasan peluang untuk sekolah memiliki
autonomi perlu diterima dengan sikap yang betul. Ia bukan peluang untuk
menaikkan taraf sekolah dengan apa cara sekali pun sehingga mengetepikan
keluhuran profesion perguruan. Ia adalah pengiktirafan terhadap kebolehan warga
pendidik meningkatkan kualiti pendidikan. Jadi ia perlu diterima dengan rasa
penuh hormat dan bertanggungjawab.
Kita tidak mahu sekolah hanya dihadiri pelajar ‘layak’ dengan mengetepikan
dan menafikan pelajar yang tidak ‘layak’ mendapat hak. Didiklah pelajar dengan
penuh kasih sayang bagi masa depan negara yang lebih cemerlang.
Seharusnya kita berasa tersindir oleh kenyataan Amartya Sen dalam mengulas
usaha Rabindranath Tagore yang mengusahakan sistem persekolahan alternatif di
Santiniketan, katanya: “He wrote extensively on how school should be more
attractive to boys and girls and thus more productive”.
Dan beliau menambah: “The emphasis here was on self-motivation rather than
discipline, and on fostering intellectual curiosity rather than competitive
excellence”.
Kita mahukan generasi yang menghargai kebenaran seperti yang terungkap
dalam frasa ‘intellectual curiosity’ daripada mengejar habuan penghargaan
keduniaan semata-mata.
Dalam mendepani cabaran pendidikan hari ini, kita percaya masih ramai guru
yang mampu mempertahankan keikhlasan mereka. Kita juga yakin tujuan memperkenalkan
pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan bukan bertujuan meragut keikhlasan
pendidik.
Jadi usaha memperingatkan dan memperteguhkan azam untuk terus menjadi warga
pendidik yang mempunyai idealisme pendidikan tinggi harus dipergiatkan.
Usaha itu boleh dilaksanakan menerusi kempen, ceramah, kursus dan
sebagainya. Pendidik yang berjaya bukan saja mempunyai kemahiran mengajar yang
tinggi tetapi sentiasa dipengaruhi pandangan luas yang berteraskan tauhid dalam
setiap keputusan, tindakan dan sikap apabila berhadapan dengan pelajar.
Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan