Sabtu, 21 Julai 2012

ISU KENEGARAAN : Generasi muda perlu sedar pentingnya Jalur Gemilang berkibar megah



KUALA LUMPUR - Pada Oktober 2007 angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mencipta sejarah apabila membawa Jalur Gemilang ke tempat yang tidak pernah dimimpikan sebelum itu, iaitu angkasa lepas.
  
Detik ketika semua rakyat Malaysia menyaksikan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menggengam erat Jalur Gemilang semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) membuahkan perasaan bangga dan megah menjadi rakyat Malaysia.
  
Perasaan itu cukup membuktikan bahawa Jalur Gemilang sebenarnya bukan hanya sehelai bendera yang dikibarkan pada sambutan kemerdekaan 31 Ogos atau Hari Malaysia 16 September saban tahun, bendera berjalur 14 itu merupakan simbol kedaulatan negara dan lambang kemegahan setiap rakyat Malaysia.
  
Namun generasi muda Malaysia sekarang lebih gemar melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan mereka, sebagai paparan skrin telefon bimbit, komputer atau laptop; dan juga paparan di laman Facebook, Twitter atau blog mereka.
  
Adakah cara itu dapat memupuk semangat cintakan negara dan kemegahan negara di kalangan generasi muda atau adakah cara lebih tradisional iaitu mengibar Jalur Gemilang lebih berkesan dalam merealisasikan hasrat itu?.
 
Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mempunyai jawapan pasti mengenai persoalan itu dengan menegaskan cara tradisional mengibar Jalur Gemilang merupakan cara yang lebih baik.  
  
"Tampal pelekat, letak di telefon bimbit atau Facebook semua cuma satu kaedah lain menunjukkan semangat cintakan negara, tetapi kaedah ini sama sekali tidak boleh menggantikan kaedah utama iaitu mengibar bendera.  
  
"Bila bendera berkibar di tangan, 'rohnya' lain, semangat Jalur Gemilang terus meresap dalam jiwa dan hati. Masa perang dulu selagi bendera berkibar negara takkan jatuh, ini kita kena ajar generasi muda sekarang," katanya kepada Bernama.
  
Beliau menyelar sikap generasi sekarang yang memberi alasan 'lebih gemar simpan semangat patriotik dalam hati' dan menunggu Jalur Gemilang percuma diberi kerajaan untuk mengibarkan bendera lambang kemegahan negara itu.
  
"Takkan bendera kecil RM2 tak boleh beli, apa sangat nilai RM2 itu jika dibandingkan dengan jasa negara yang 'menggendong' kita. Ini belum lagi diminta korbankan darah dan nyawa demi mempertahan negara, kita perlu berkorban untuk negara walaupun kecil atau besar kita kena sanggup," katanya.
  
Pada 17 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Kibar Jalur Gemilang di Brickfields yang turut dilancarkan serentak seluruh negara menandakan bermulanya sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.
  
Berucap pada majlis itu, Najib mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan kepada dunia rasa cinta terhadap negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berjaya dalam erti kata sebenarnya.
  
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata tidak salah bagi generasi muda menunjukkan rasa sayang terhadap Jalur Gemilang dengan cara mereka sendiri tetapi jangan sampai cara utama iaitu mengibarkan bendera itu dilupakan.
  
"Masuk Facebook contohnya dapat hebahkan dan sebarkan semangat cintakan negara dan jalur Gemilang pada rakan-rakan lain, ia sesuatu yang baik tetapi bila di luar kita perlu tunjukkan rasa megah dan sayang kita jadi kita mesti kibarkan (Jalur Gemilang).
  
"Ini melambangkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia, kibar melalui profil dalam Facebook semua bukan jati diri namanya. Bagi saya ini adalah satu manifestasi kita tunjuk kita cinta patriotik negara," katanya.

Azman Amin menemplak sikap sesetengah pihak yang tidak mahu mengibarkan Jalur Gemilang kerana menggangap mengibar Jalur Gemilang menyokong kerajaan masa kini.
  
"Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan Malaysia, ia tiada kaitan dengan parti politik di negara ini. Jalur Gemilang adalah milik negara dan rakyat Malaysia, jadi kibar Jalur Gemilang bererti mendukung negara bukan politik," katanya.
  
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata adalah penting untuk mendidik generasi muda mencintai Jalur Gemilang kerana masa negara terletak di tangan mereka.
  
"Adalah penting kita menyemai semangat, kasih sayang dan bangga dalam diri mereka terhadap Jalur Gemilang. Kita perlu memastikan generasi muda kita menghormati dan menyayangi Jalur Gemilang dan adalah penting bagi kita membina generasi masa depan yang disemai semangat patriotik dan kebanggaan negara," katanya.
  
Lee berkata sebenarnya Jalur Gemilang perlu dikibar setiap hari di bangunan kerajaan dan persendirian dan bukan hanya pada Hari Kebangsaan sahaja.
  
Beliau juga menekankan walaupun mengibarkan Jalur Gemilang satu kemestian, banyak cara lain lagi bagi rakyat negara ini untuk menunjukkan semangat patriotik mereka sebagai contoh apabila bercakap mengenai 1Malaysia, dalam mempertahan negara, menahan diri daripada melakukan jenayah dan menyumbang bagi menjadikan komuniti kita bebas daripada jenayah.
  
"Rakyat Malaysia boleh mempamerkan semangat patriotik mereka melalui perkataan, pemikiran dan tindakan demi kepentingan negara dan dalam membina negara bangsa. Menjadi patriotik juga bermakna memberi pandangan dan pendapat dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan