Amalan pembelajaran sepanjang hayat
Institusi pengajian tinggi kini
dibanjiri pelajar dewasa yang sebahagian besarnya adalah guru dalam
perkhidmatan. Ini berikutan dasar memartabatkan profesionalisme guru yang
diterjemahkan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dan
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
Amalan pembelajaran sepanjang
hayat sudah menjadi budaya masyarakat kita. Suasana di kampus pada hujung
minggu dan waktu cuti sekolah menjadi ‘hidup’ dengan gelagat guru yang
dahagakan ilmu.
Namun, dalam senario yang
memberangsangkan ini, sering kali kita mendengar permintaan mereka untuk
lanjutan tempoh menghantar tugasan kerana pelbagai sebab termasuk terpaksa
membawa pelajar ke Karnival SUKMA dan menjaga anak sakit. Inilah antara cabaran
menjadi pelajar dewasa dan cabaran bagi tenaga pengajar yang mengurus mereka.
Sepanjang pengalaman mengurus
pelajar dewasa, rayuan sedemikian kerap saya terima apabila tarikh akhir
sesuatu tugasan kian hampir. Sebagai orang berkeluarga, sedikit sebanyak timbul
rasa kasihan terhadap pelajar sebegini. Namun ada kalanya kelonggaran yang
diberikan akan menggugat prestasi akademik mereka.
Kurang kemahiran belajar,
menguruskan masa
Apa yang saya perhatikan ialah
sebilangan guru ini kurang kemahiran belajar dan menguruskan masa. Pesan saya
kepada mereka ialah ‘belajar cara belajar’. Kemahiran ini tidak datang dengan
sendiri atau tercipta sejak azali. Walaupun umum menganggap guru sudah mantap
kemahiran belajarnya, realitinya sebilangan guru yang belajar tidak begitu. Ini
kerana keadaan apabila kita mengajar dan apabila kita menjadi pelajar adalah
berbeza.
Menjadi pelajar benar-benar
menguji kemahiran belajar yang sering kita nyatakan kepada pelajar. ‘belajar
cara belajar’ adalah hakikat yang perlu dihadapi mereka yang menuntut ilmu. Ia
adalah inti pati pembelajaran sepanjang hayat. Bukanlah segulung ijazah yang
patut diidamkan, tetapi pengalaman diraih ketika bergelar pelajar. Menjadi
pelajar dewasa menguji keupayaan kita menguruskan tanggungjawab.
Dengan komitmen yang menggunung
seperti bergegas menguruskan anak, tuntutan tugas pejabat yang tidak
berpenghujung dan tugasan pengajian yang menghambat, guru bergelar pelajar
dewasa berdepan dengan pelbagai cabaran dan perlu memiliki kekuatan mental.
Kekuatan mental itu ialah keupayaan minda di bawah sedar untuk mengawal
pergerakan seharian supaya tidak mudah mengalah apabila keadaan tidak
menyebelahi diri.
Menurut pengamal perubatan
alternatif, Prof Dr Ibrahim Ahmad, minda bawah sedar banyak melakukan tugas
untuk kita, iaitu apa saja yang terlintas dalam fikiran akan ditangkap dan
disimpan. Ia juga boleh bertindak menjayakan atau menggagalkan misi seseorang
itu.
Pengalaman jadi pelajar dewasa
Pengalaman saya sebagai pelajar
dewasa membuka perspektif tersendiri terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Berbanding pelajar bujang yang tiada komitmen keluarga, setiap detik masa saya
terasa sangat berharga. Saya perlu menyusun jadual untuk mencapai sasaran
harian yang ditetapkan iaitu memastikan setiap jam yang saya gunakan untuk diri
dan setiap jam sama yang dikorbankan keluarga, adalah benar-benar berbaloi.
Untuk tidak mengecewakan diri
sendiri, tetapkan sasaran yang kecil, tetapi bermakna untuk hari itu dan
berkesan untuk jangka masa panjang. Saya juga sengaja mewujudkan ‘ketegangan’
diri iaitu dengan menyatakan pada diri bahawa saya tidak amanah dengan anak
sekiranya gagal mencapai sasaran harian saya.
Perlu kekuatan mental
Inilah satu daripada latihan
menguasai minda di bawah sedar yang saya amalkan. Saya lakukan begini kerana
saya sangat bimbang Allah akan menyoal saya kelak mengenai masa mendidik anak
yang saya korbankan. Ia juga satu perjuangan dengan diri sendiri, orang lain
dan persekitaran. Kekuatan mental adalah senjata ampuh yang kita perlukan.
Secara umumnya, menuntut ilmu itu
adalah amalan mulia di sisi agama. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang
keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.”
(Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi). Malah diriwayatkan malaikat mengerumuni
orang yang menuntut ilmu sehinggakan jika kita bersedekah kepada mereka, pahala
digandakan sehingga 700 kali.
Maka janganlah rasa gusar dengan
cabaran belajar kerana menuntut ilmu adalah amalan mulia.
Penulis ialah pensyarah di
Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan