Oleh : Azman Anuar
SISTEM Penguatkuasaan Automatik
(AES) yang baharu dilaksanakan di negara ini setelah perancangannya dibuat 10
tahun lalu, tetap menerima bantahan daripada segelintir wakil rakyat,
pertubuhan bukan kerajaan dan individu tertentu.
Pada 10 Oktober lalu, Ahli
Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat bersetuju untuk
meminta kerajaan menangguh dan mengkaji semula penggunaan AES.
Mereka mahu pelaksanaan sistem
mencegah kemalangan di jalan raya khususnya kemalangan maut itu ditangguhkan.
Mereka mahu kajian lanjut dibuat untuk memastikan penggunaan sistem itu
berbaloi dengan belanja operasinya.
Nampaknya empat negeri yang
diterajui pembangkang bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan AES. Pergerakan
Pemuda UMNO pula mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES setelah
mendapat maklum balas di peringkat akar umbi bahawa terlalu banyak kelemahan
dalam pelan pelaksanaannya meskipun sistem itu dianggap amat baik.
Bantahan juga dilakukan sebab
lokasi menempatkan AES dikatakan tidak bersesuaian dan mengundang banyak
kemarahan pengguna.
Sebulan lalu, dalam tempoh tujuh
hari lebih 100,000 saman dikeluarkan daripada 14 lokasi AES yang menunjukkan
rakyat tidak didedahkan sepenuhnya penguatkuasaan AES itu.
Pelaksanaan AES merupakan antara
kaedah yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini
supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan
seperti pematuhan had laju. Malangnya usaha baik ini akhirnya telah dianggap
oleh masyarakat sebagai bertujuan untuk menyaman semata-mata.
AES merakam pesalah trafik yang
melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar
lampu isyarat merah.
Sesungguhnya, tidak ada sebab AES
perlu ditangguhkan kerana setiap hari negara menghadapi kisah-kisah kemalangan
maut kerana kegagalan pemandu mendisiplinkan diri masing-masing.
Oleh itu AES perlu diteruskan
untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih menghormati undang-undang jika
mereka tidak mahu dikenakan tindakan saman.
Bagaimanapun kita harus mendengar
pandangan rakyat. Bagi segelintir pemandu, AES ini boleh mendorong rakyat
menipu, ketika memandu laju mereka akan memecut tetapi di kawasan kamera AES,
kenderaan dipandu secara perlahan.
Tidak kurang juga yang berhujah, kerajaan
perlu menangguhkan sementara pelaksanaan AES demi kepentingan strategi
menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Sama ada AES ditangguhkan atau
dibatalkan, isu ini tetap akan dipolitikkan. Tetapi jangan dilupakan tujuan AES
hendak dikuatkuasakan adalah untuk mendidik disiplin pengguna jalan raya.
Polis Diraja Malaysia, Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang
berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan.
Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan
penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun - tetapi kadar
kematian dan kemalangan tidak berubah.
Jadi kenapa pelaksanaan AES juga
mahu kita gagalkan. Sebelum ini banyak usaha dan pembaharuan dilakukan namun
kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri. Pemandu negara kita gemar
memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan
raya.
Mungkin sikap pemanduan rakyat
Malaysia tidak akan berubah selagi ada bantahan dan kritikan terhadap sesuatu
usaha yang baru dikuatkuasakan. Kemudian kehendak mereka dilayan kerana takut
kesan politik.
Jika begini sikap kita, sampai
bila pun pemandu kita tidak akan berubah. Sudah banyak hujah dan pandangan
dilontarkan dalam menangani masalah kemalangan jalan raya.
Jika sistem lampu berkamera yang
diperkenalkan beberapa tahun lalu dianggap gagal kerana kurang penyeliaan, maka
pihak berkenaan terutama JPJ perlu mengambil iktibar dan jangan perkara yang
sama diulangi.
Kita percaya jika sistem AES
digunakan di tempat strategik, mana-mana pesalah pasti diberikan saman tanpa
rasa takut dan memilih, malah ia mencegah daripada berlaku rasuah.
Pengguna jalan raya perlu
menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Ingatlah penguatkuasaan
peraturan, pelaksanaan dan pengenalan sistem lalu lintas dibuat untuk menjamin
keselamatan nyawa pengguna jalan raya di negara ini.
Semua ini dibuat kerana kos
kemalangan di jalan raya menyebabkan Malaysia kerugian dari sudut ekonomi
sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar setiap tahun. Sebenarnya
kita perlu keberanian dan ketegasan dalam melaksanakan undang-undang jalan
raya. Oleh kerana kurang tegas maka kita berdepan dengan sikap segelintir
penumpang kereta yang masih berdegil tidak mahu menggunakan tali pinggang
keledar bahagian belakang.
Jika AES mahu ditangguhkan,
pastikan penguatkuasaan peraturan di jalan raya dijalankan tanpa sambil lewa.
Kita bimbang, kemalangan terus berlaku.
Hasrat kita ingin menjadi negara
maju pada tahun 2020 mungkin terbantut jika mempunyai rakyat yang bersikap raja jalan raya dan degil
terhadap peraturan jalan raya. Apa makna menjadi negara maju jika perangai
pemandu kita sukar dididik.
Jika di negara lain, penggunaan
AES dapat membantu mengurangkan kemalangan, di negara kita belum pun bermula
sudah berbakul-bakul kritikan disumbatkan.
Selagi kita gemar tolak tarik
keputusan yang telah dibuat, maka sampai bila pun tahap pemikiran kita di jalan
raya tidak akan berubah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan