Oleh : PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN
Perkataan rahmat yang digunakan
dalam bahasa kita berasal daripada bahasa Arab. Rahmah daripada kata rahima yang bermaksud
kasih atau kasihan belas. Dari perkataan ini lahirnya perkataan rahim (womb),
perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim daripada akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa
kita dan lain-lain lagi.
Hidup ini dibina atas cinta dan
rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Justeru, surah-surah dalam
al-Quran kesemuanya – kecuali Surah at-Taubah, bermula dengan basmalah iaitu
‘dengan nama ALLAH ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha
Penyayang)’. Hubungan Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan
cinta dan kasih. Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih.
Mencintai Tuhan adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka
dia tidak beriman.
Dakwah atas rahmat
Tuhan jadikan belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan
yang sejati. Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad SAW, ALLAH SWT menyebut:
(maksudnya) “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan
kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang
ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula
kepada orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih)
(Surah at-Taubah: 128).
Ertinya, dakwah Nabi tidak
bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan yang tidak melancar permusuhan
kepada ajaran ALLAH. Tidak seperti anggapan bahawa kebencian adalah asas
hubungan antara Muslim dengan Barat ataupun Timur, dengan Yahudi ataupun
Kristian, dengan secularist ataupun agnostic ataupun selain mereka. Asas
hubungan Muslim dengan pihak lain bukan dengan slogan ‘permusuhan’ ataupun
‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia
berasaskan misi Nabi: (maksudnya) “Kami (ALLAH) tidak utuskan engkau (Wahai
Muhammad) melainkan rahmat untuk sekalian alam” (Surah al-Anbiya: 107)
Suami isteri
Hubungan suami isteri dibina atas
cinta dan rahmat. Ia tidak dibina atas selera seks semata tanpa rasa kasih dan
rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita yang mahukan nafkah dan tempat tinggal
semata. Jika hanya atas selera seks, atau atas keperluan untuk makan dan pakai
ataupun kepentingan yang lain tanpa ikatan cinta dan rahmat, kehidupan suami
isteri tidak akan bahagia. Itu sebenarnya hubungan untuk mengambil kesempitan
atas kepentingan tersendiri antara pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan rasa
tidak puas hati dan kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam hubungan
pasangan adalah fitrah alam ciptaan Tuhan. Firman ALLAH: (maksudnya) “Dan di
antara tanda-tanda kebesaran-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan
dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan
dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas
kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi
orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum: 21)
Sesiapa yang kononnya mencintai
ataupun dicintai pasangannya hanya kerana kedudukan ataupun hartanya maka
sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari natural design yang Tuhan tetapkan
untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa yang disayangi kerana harta
ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak disayangi ataupun dicintai
tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan dan hartanya hilang, maka dia akan
melihat kepalsuan kehidupan.
Maka isteri yang hanya
mementingkan harta dan pangkat dalam hubungan, bukanlah isteri dalam erti kata
sebenar. Dia tidak patut menduduki tempat ‘seorang isteri’ dalam kehidupan
seorang lelaki. Isteri yang seperti itulah yang telah merosakkan reputasi ramai
pemimpin dunia ini. Wanita yang seperti itu patut ‘dipecat’ dari kerusi isteri.
Begitulah juga jika sesiapa yang
memiliki suami yang hanya mahukan seks semata, tanpa memberikan belaian kasih
sayang. Tubuh diratah rakus, disetubuhi sepuasnya tapi dalam masa yang lain
dimaki hamun, ataupun dipukul dan dihina semahunya. Lelaki yang seperti itu
tidak layak menduduki tempat sebagai suami dalam kehidupan. Jika seorang wanita
memiliki suami seperti itu, dia sepatutnya menggunakan peruntukan syarak
seperti khulu’ dan fasakh agar lelaki seperti itu tidak hadir dalam hidupnya
dan tidak lagi menjamah tubuhnya.
Andainya ada pegawai yang
menasihati ‘jangan minta cerai, sabar!’ itu menunjukkan dia pegawai agama yang
malas membuka fail, ataupun jahil tentang tabiat penciptaan kehidupan yang
ALLAH jadikan. Sabda Nabi mengherdik lelaki seperti ini dengan menyatakan:
“Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian
menyetubuhinya di waktu lain” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ibu bapa
Hubungan antara keluarga juga
hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang anak hendaklah dibesarkan atas
belas kasih, bukan kebencian ibu bapa. Untuk itu dalam al-Quran, ALLAH mengajar
kita berdoa kepada kedua ibu bapa dengan menyatakan (maksudnya) “Katakanlah:
Wahai Tuhan ku, kasihanilah mereka berdua seperti mereka mendidik ku semasa
kecil” (Surah al-Isra: 24). Walaupun
arahan ini ditujukan kepada anak, tetapi ia pengajaran buat ibu bapa agar
mendidik anak dengan belas kasihan. Jika ibu bapa tidak mendidik anak dengan
belas kasihan semasa kecil, maka bagaimana mungkin doa ini akan sesuai untuk
mereka nanti?!
Bapa ataupun ibu yang zalim,
memukul ataupun menyeksa anak dengan cara yang salah adalah manusia yang tidak
layak memikul gelaran ibu ataupun bapa. Ibu bapa yang menengking anak bukan
pada tempatnya atau memaki hamun anak dengan bahasa yang buruk dan jelik bukan
pendidik yang layak mendapat doa al-Quran tadi. Mereka inilah yang merosakkan
masa depan dan kehalusan budi serta akhlak anak-anak. Hubungan asal anak dan
ibu bapa yang berasas cinta dan rahmat bertukar menjadi dosa dan kebencian.
Maka tidak hairan jika ibu bapa
yang cuai itu dilupai oleh anak mereka apabila dewasa nanti. Perbuatan melupai
ibu bapa itu tidak baik, tetapi kehilangan rahmat akan menghilangkan segalanya.
Apabila melihat Nabi mencium cucu Baginda al-Hasan bin ‘Ali, Al-Aqra’ bin Habis
berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun dia pernah
cium. Nabi berkata kepadanya: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak
akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sahabat
Hubungan antara sahabat juga
demikian. Sahabat sejati bukan sekadar kerana ada kepentingan tertentu, tetapi
hubungan kasih dan rahmat. Dalam hadis Nabi bersabda: “Sesungguhnya dari
kalangan hamba-hamba ALLAH adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau
para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari
Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi ALLAH”. Para sahabat bertanya:
“Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu
golongan yang cinta mencintai dengan roh ALLAH, tanpa ada hubungan kekeluargaan
dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi ALLAH, sesungguhnya wajah-wajah
mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat
manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”. Lalu
baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali
ALLAH tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis
riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Pemerintah
Hubungan rakyat dan pemerintah juga
demikian. Ia bukan hubungan pihak yang kuat menentang pihak yang lemah. Bukan
hubungan kuasa, cukai, harta dan ketaatan membabi buta. Ia hubungan kasih dan
rahmat. Di atas kasih dan rahmat, ketaatan diberikan dan kuasa dilaksanakan.
Sabda Nabi: “Pemimpin yang baik ialah
pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan
mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu
benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga
melaknati kamu”. (Riwayat Muslim).
Marilah kita memastikan cinta dan
rahmat itu sentiasa subur dan berkembang dalam masyarakat kita. Kita tidak
boleh hidup dengan kebencian, kita hanya boleh dan wajar hidup dengan cinta dan
rahmat. Kehidupan yang dibina atas kebencian hanya akan merosakkan fitrah
insani yang ALLAH ciptakan. Kembali kepada syiar Nabi: “Sesungguhnya sesiapa
yang tidak kasih, dia pula tidak akan dikasihi.”
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan