Oleh : Izani Daud
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan corak hidup anak
pada masa depan sama ada menjadi hamba yang taat kepada Allah atau sebaliknya.
Justeru, apa juga dirancang, perlu menjurus kepada hasil yang baik.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan
dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah menjadikan anaknya itu Yahudi,
Nasrani ataupun Musyrik. Seorang sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana
kalau dia mati sebelum ini? Rasulullah SAW bersabda: Allah mengetahui apa yang
sudah, sedang dan yang tidak akan terjadi.” (Riwayat Muslim)
Musim cuti hujung tahun persekolahan tidak lama lagi dan ketika itu anak
berada sepenuhnya di bawah jagaan ibu bapa. Jadi, masa ini seharusnya digunakan
ibu bapa untuk memastikan waktu terluang anak dipenuhi aktiviti bermanfaat.
Pertamanya, ibu bapa hendaklah memastikan berlakunya kesinambungan
pembelajaran kerana dalam tempoh lebih kurang dua bulan cuti persekolahan, jika
tindakan sewajarnya tidak diambil boleh menyebabkan proses pembelajaran anak
akan terputus.
Justeru, suatu jadual khusus sempena cuti akhir tahun ini hendaklah
diadakan supaya anak tidak melupakan terus tanggungjawab sebagai pelajar.
Jadual hendaklah memastikan anak bangun awal seperti hari persekolahan untuk menunaikan
solat Subuh selain waktu melakukan aktiviti akademik.
Ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan cuti sekolah untuk menghantar anak
mengikuti kem motivasi yang dianjurkan atau kelas belajar al-Quran bagi
mempertingkatkan kemahiran mereka membaca dengan betul.
Cuti persekolahan juga boleh digunakan untuk merapatkan hubungan
kekeluargaan. Ibu bapa digalakkan membawa anak menemui ahli keluarga atau waris
supaya mereka mengetahui saudara dan dapat mengukuhkan hubungan sedia terjalin.
Pastinya kita tidak mahu anak kita tidak mengenali sepupu sendiri. Jika
dibandingkan dengan dulu, hubungan sepupu ibarat adik beradik seperti yang
ditunjukkan oleh ibu bapa kita. Sewajarnya amalan baik ini terus dipelihara.
Hubungan yang renggang berlaku kerana masyarakat sudah tidak prihatin untuk
memelihara hubungan kekeluargaan sebaliknya lebih mementingkan kepada hubungan
boleh mendatangkan keuntungan dari segi kebendaan.
Senario ini tidak seharusnya berlaku kerana boleh meruntuhkan institusi
keluarga. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk merapatkan hubungan
dalam kalangan anak sejak kecil lagi supaya kita dapat melahirkan sebuah
masyarakat penyayang.
Musim cuti persekolahan juga waktu terbaik ibu bapa mendedahkan anak dengan
aspek pengurusan diri dan asas pengurusan rumah tangga seperti mengajar mereka
mengemas rumah, membasuh pakaian serta memasak.
Pastinya lebih menggembirakan anak ialah apabila ibu bapa membuat
perancangan percutian di tempat menarik. Berehat bersama keluarga dapat memberi
peluang ibu bapa memahami keperluan anak melalui perbualan sepanjang bercuti.
Apa juga perancangan ibu bapa, hendaklah memastikan anak dapat menikmati
percutian dan pada masa sama belajar perkara yang boleh dimanfaatkan mereka dalam
membentuk jati diri menjadi umat Islam yang akan berbakti kepada agama, bangsa
serta negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan