Oleh : DR AMINUDIN MANSOR
Sejak belakangan ini, perbuatan
membuang bayi berlaku semula, malah semakin menjadi-jadi. Bayi tidak berdosa
itu diperlakukan dengan kejam - ada yang dicampak ke sungai dan dari rumah
bertingkat. Ada yang masih janin lagi, dibuang dan digonggong anjing liar -
umpama membuang sampah.
Seperti dilaporkan media,
perbuatan kejam begitu dilakukan hampir kebanyakan gadis dan anak remaja yang
hamil luar nikah bersama pasangan - mereka sama ada mahu menutup kesalahan atau
takut diketahui ahli keluarga, jalan singkat ialah dengan membuang bayi. Bagi
yang masih hidup, kita bersyukur dapat menyelamatkan bayi itu, tetapi bagaimana
dengan bayi yang sudah tiada nyawa? Runtun hati melihatnya, apatah menyaksikan
kematian cara tragis.
Justeru, ahli masyarakat harus
sama-sama menangani gejala ini. Langkah-langkah penghindaran perlu dilakukan
agar anak remaja tidak terlibat dengan seks bebas dan kembali ke pangkal jalan.
Paling penting, membantu mereka agar tidak menjadikan cara membuang bayi
sebagai pilihan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Dalam pada itu, anak remaja perlu
menambah ilmu pengetahuan mengenai kemahiran keibubapaan, perlu sentiasa
berkomunikasi dengan keluarga dan mendapat pendidikan agama secukupnya.
Bagaimanapun bukan semua ibu bapa
sempurna dan mempunyai kemahiran keibubapaan untuk mengajar anak-anak. Justeru,
ibu bapa perlu mempelajari kemahiran yang betul terlebih dahulu bagi mendidik
anak-anak, tidak kira dari segi mental atau fizikal.
Selain itu, kawalan ibu bapa
terhadap anak muda yang menjalin hubungan cinta pada awal usia harus diberi
perhatian. Ahli keluarga perlu sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.
Hubungan erat boleh dijadikan sebagai benteng dan kekuatan ketika menghadapi
sebarang masalah.
Namun, ibu bapa yang terlalu
mengongkong anak akan membuatkan anak-anak suka menipu dan berkongsi masalah
dengan teman lelaki atau perempuan yang lebih rapat dengan mereka. Ingatlah,
peranan telefon pintar dan juga internet banyak mempengaruhi kebebasan remaja.
Apabila sudah terlalu rapat dengan rakan yang dirasakan selesa dan mengambil
berat, tidak mustahil perkara tidak dijangka berlaku. Sebaiknya, ibu bapa jadi
rakan kepada anak-anak untuk mengetahui masalah mereka.
Ibu bapa jangan lepas tangan.
Setiap ahli komuniti juga perlu menolong dan menyokong remaja yang mengalami
masalah, bukan menyalahkan sebelah pihak sahaja. Orang awam juga boleh menjadi
sukarelawan bagi membantu mengurangkan masalah pembuangan bayi yang tidak
diingini supaya tidak terus berlanjutan.
Ahli dan pemimpin politik juga
harus mengambil berat akan fenomena yang berlaku dalam masyarakat. Sebagai
pemimpin seharusnya mereka berasa bimbang dengan keadaan ini.
Banyak perlakuan dan adegan
menjolok mata berlaku di depan mata kita, tetapi kebanyakan daripada kita tidak
berupaya menghalangnya, hanya melihatnya sahaja tanpa berani menegur atau
melakukan sebarang usaha membanteras.
Sifat takwa dan keimanan akan
membuahkan insan yang berjaya serta cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan.
Semua pihak - ibu bapa, guru, ahli masyarakat, jawatankuasa masjid dan surau
wajar melakukan usaha ini bagi membimbing remaja ke arah kebaikan.
Pendidikan terhadap anak remaja
perempuan semakin sukar mestilah ditekankan dengan lebih berkaitan bahayanya
seks bebas dan seks luar nikah. Sementara, remaja lelaki pula perlu dididik dan
dibimbing supaya tidak terlibat dengan perzinaan yang menjurus kepada pembuangan
bayi.
* Penulis pengamal media. PhD
Persuratan Melayu UKM
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan