Oleh : Amidi Abdul Manan
Peningkatan nilai gred purata
subjek, sahsiah mesti seimbang
Perihal membicarakan mengenai
pendidikan amat terkait rapat dengan pemain utamanya iaitu guru. Guru adalah
kelompok barisan hadapan yang perlu memastikan proses pendidikan berlangsung
dengan jaya. Kejayaan pendidikan bukanlah sekadar diukur dengan nilai gred
purata subjek mahupun jumlah 'A', tetapi perlu kepada pertimbangan yang lebih
luas membabitkan sahsiah dan keutuhan nilai dalam diri anak didiknya.
Menerusi pemerhatian yang dilakukan oleh Malik Bennabi merumuskan bahawa masalah pendidikan yang dihadapi oleh negara Islam adalah kegagalan melahirkan manusia yang terpadu antara keyakinan atau tauhid dengan tingkah laku dan akhlak serta mampu melahirkan penyelesaian terhadap permasalahan kehidupan. Beliau menyatakan: “...the origin of all the problems in the Muslim world is facing, is the disintegrated man.”
Permasalahan ini melahirkan
kelompok manusia bertamadun, tetapi hilang keghairahan (jiwa) tamadun. Antara
kesimpulan yang beliau berikan terhadap pendidikan adalah satu proses asimilasi
(penghadaman) antara keyakinan dan nilai serta mampu memberikan jalan keluar
terhadap permasalahan kehidupan.
Jika ini menjadi pokok pangkal
kepada permasalahan pendidikan di negara Islam, maka golongan guru perlu
menjadi golongan pertama yang mampu menjiwai watak ketamadunan dan mengubah
sifat bangsa ke arah yang lebih mulia lagi.
Guru model semua aspek
Ungkapan Jawa yang dipetik oleh
Dr Suwardi Endraswara dalam memperihalkan guru amat menarik. Ungkapan “digugu
lan ditiru” bermaksud seorang guru itu mestilah boleh ditiru perkataannya,
perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya dan amalannya. Guru juga mesti boleh
dipercayai akan amanahnya, bertanggungjawab serta jujur dalam semua aspek
kehidupannya.
Tambah beliau lagi, perkataan
‘guru’ itu berasal daripada dua perkataan bahasa jawa. ‘Gu’ berasal daripada
perkataan ‘gugu’ yang bermaksud boleh dipercayai, manakala ‘Ru’ berasal
daripada perkataan ‘tiru’ bermaksud dicontohi atau dituruti. Maka maksud
perkataan ‘guru’ itu adalah seseorang yang boleh diteladani kerana mempunyai
pekerti tinggi dan dipercayai.
Dari sini suasana kerja seorang
guru perlu kondusif untuk menghayati kriteria manusia bertamadun agar kriteria
itu dapat diperturunkan kepada anak didiknya. Kriteria manusia bertamadun
adalah manusia yang terpadu keyakinannya, daya fikirnya, nilai pegangannya dan
amalan serta tindakannya. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang menghayati
dualisme, mengasingkan keyakinan dan amalan, dunia dan akhirat serta hilang
arah dan tujuan hidupnya.
Suasana kerja guru yang
menghambat nilai gred purata subjek perlu diubah. Fenomena guru dipersoal jika
anak murid gagal mencapai nilai keputusan jangkaan (ETR) perlu dikaji semula.
Sepatutnya pengetua mahu pun guru besar yang memanggil guru atau memberikan
surat tunjuk sebab atas sebab yang dinyatakan di atas, perlu dipersoalkan
tindakan yang menyimpang jauh daripada semangat pendidikan yang luhur. Begitu
juga pengarah pelajaran negeri yang awal-awal lagi menetapkan sasaran nilai
gred keseluruhan bagi negeri perlu dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Ubah cara nilai guru
Kita keliru dengan ukuran kita
sendiri. Apa salahnya jika menurunkan nilai purata gred subjek, tetapi
menekankan pengurangan kes pelanggaran disiplin? Bukan menjadi keaiban mahupun
kesalahan jika pencapaian akademik menurun berbanding tahun sebelumnya tetapi
sahsiah pelajarnya jauh lebih baik berbanding pelajar tahun sebelumnya.
Begitu juga dalam hal kenaikan
pangkat bukan menjadi ukuran mutlak pencapaian akademik pelajarnya, tetapi
akhlak guru itu serta kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan guru dalam
menjayakan proses pendidikan yang menyeluruh.
Ubah cara menilai terhadap guru,
insya-Allah akan berubah penilaian guru terhadap muridnya. Penilaian terhadap
guru perlu diubah bermula daripada latihan perguruan lagi. Calon guru mesti
dalam kalangan yang mempunyai jati diri tinggi, berpendirian mulia dan mampu berhadapan
cabaran dunia pendidikan. Jangan bertumpu pada pencapaian akademik semata-mata.
Calon guru mestilah individu yang mampu menjadi suri teladan yang baik seperti
disimpulkan pada peribadi Baginda Rasulullah SAW sebagai ‘uswah hasanah’.
Seharusnya kita memahami mengapa
dalam mengkategorikan guru, Imam al-Ghazali meletakkan guru yang berperanan
sebagai ‘muaddib’ berada pada tingkatan yang tertinggi. ‘Muaddib’ adalah guru
yang beradab dan mampu mengadabkan anak didiknya. Jadi guru dan mereka yang mentadbir
guru perlu bermuhasabah bagi menggaris hala tuju kerjaya perguruan.
Penulis ialah Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia
Sumber : http ; //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan