Oleh : Akhbar Satar
Main mercun bukan budaya
Melayu
Isu mercun memang sinonim dengan
musim perayaan tetapi itu bukan budaya Melayu. Setiap kali tibanya Ramadan atau
musim perayaan, pasti ada laporan penyeludupan, penjualan serta kes kecederaan
bermain mercun, ada yang putus jari, hancur tangan, cedera parah atau maut
selain menyebabkan bencana lain seperti kebakaran rumah. Apa yang menyedihkan,
jarang penulis mendengar bangsa lain yang merayakan hari kebesaran mereka
cedera kerana bermain mercun. Mereka ini jarang menggunakan mercun buatan
sendiri dan apabila bermain mercun ia diawasi ibu bapa. Amalan yang baik ini
perlu dicontohi orang Melayu. Kesedaran mengenai aspek keselamatan masih pada
tahap begitu rendah sehinggakan kesan buruk akibat bermain mercun yang sering
dihebahkan media dipandang sepi masyarakat demi keseronokan sementara. Ramai
yang tidak mengambil kisah seolah-olah yakin perkara sama tidak akan menimpa
mereka.
Selain meriam buluh ada beberapa
jenis mercun yang berbahaya dimainkan kanak kanak. Mercun bola yang dibalut
dengan plastik adalah paling berbahaya berbanding mercun dibaluti kertas.
Jumlah bahan letupan yang ada di dalam mercun ini lebih banyak daripada mercun
biasa.
Buat masa ini polis hanya
membenarkan dua jenis mercun, iaitu ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’ kerana
kedua-duanya tidak berbahaya dan tidak mendatangkan kecederaan. Penjualan dua
jenis mercun yang dibenarkan ini juga perlu mendapat permit polis. Menjual atau
menggunakan mercun adalah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan
undang-undang. Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda mengikut Seksyen 8
Akta Bahan Letupan 1957 selain dipenjara tujuh tahun atau dikenakan denda
RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Malah ibu bapa juga boleh didakwa di
mahkamah kerana cuai membiarkan anak bermain mercun seperti terjadi kepada
seorang bapa di Terengganu yang dihukum kerana anaknya terbunuh dalam kejadian
letupan mercun dua tahun lalu.
Agensi penguat kuasa perlu
memantau penyeludup bagi mengekang stok mercun yang dijual di premis perniagaan
pada musim perayaan. Permintaan tinggi serta keuntungan besar penyeludup
meneruskan jenayah itu. Pelbagai teknik dan taktik digunakan penjenayah
terancang ini bagi mengaburi mata agensi penguat kuasa. Sering kali dilaporkan
di dalam akhbar apabila tangkapan dibuat, penjenayah berjaya meloloskan diri
meninggalkan mercun. Penulis sangat berharap tanggapan masyarakat bahawa agensi
penguat kuasa terbabit ‘memberi laluan’ kepada penyeludup adalah tidak benar. Agensi
penguat kuasa wajar berubah dan mencari strategi baru mengatasi masalah ini
supaya penjenayah ditahan bersama barang seludup.
Agensi penguat kuasa pula perlu
sentiasa mengekalkan maruah agar tidak menerima habuan dan bersekongkol dengan
penyeludup. Kita perlu ingat bahawa penyeludup hanya memberi habuan seratus dua
tetapi mereka untung jutaan juta ringgit sedangkan impak negatifnya kepada
keselamatan orang ramai adalah tinggi. Jika kita berkhidmat dengan jujur dan
mempunyai integriti tinggi, penyeludupan dan penjualan mercun dapat dihapuskan.
Satu lagi nilai integriti yang
perlu ada pada kita ialah memastikan mercun dirampas itu dimusnah. Janganlah
pula, mercun rampasan ini dibawa balik untuk kegunaan anak sendiri atau dijual
kembali yang mana akhirnya jatuh kembali kepada penjenayah. Dilaporkan
kebanyakan mangsa mercun ini dari Kelantan. Sebagai sebuah negeri sempadan
sudah tentu stok mercun haram mudah dibawa masuk dari negara jiran. Langkah
polis Kelantan melawat gerai serta premis perniagaan sambil mengedarkan risalah
bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sokongan mereka dalam
membantu polis mencegah jenayah patut dipuji.
Pameran kemalangan dianjurkan
polis perlu disertakan gambar ngeri akibat mercun. Khutbah Jumaat menjelang
hari raya patut diselitkan dengan amaran bermain mercun untuk mengingatkan
betapa bahayanya serta kesalahan undang-undang. Polis perlu mencari cara yang
sesuai dengan masyarakat setempat dengan mengadakan kempen agar kemalangan
bermain mercun tidak berulang. Penulis simpati dengan mangsa mercun yang bukan
saja melecur seluruh badan tetapi gelap masa depan. Kesedaran pelajar dan ibu
bapa sangat sangat diharapkan.
Jabatan Kastam Diraja pula hanya
mendakwa kesalahan membawa masuk mercun mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam
1967 kerana memiliki barang belum cukai dan selalunya mengenakan kompaun
terhadap pesalah. Amalan ini menggalakkan mereka terus bergiat dalam
penyeludupan. Namun, cadangan kastam membawa semua kes membabitkan kesalahan
menyeludup, mengedar, menjual, membawa dan menyimpan atau memiliki mercun serta
bunga api yang dilarang ke mahkamah bagi memastikan hukuman lebih berat adalah
menarik. Penulis berharap di bawah cadangan pindaan ini, pihak mahkamah juga
tidak berasa simpati dan mengenakan hukuman berat untuk mengawal masalah
penyeludupan yang kini berleluasa.
Penulis ialah Pengarah Institut
Jenayah & Kriminologi Universiti HELP
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan