Oleh : AZMY MOHAMED
PENGLIBATAN ibu bapa dengan
pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian
membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak.
Kajian peringkat antarabangsa
Program Pentaksiran Murid Antarabangsa 2009 yang dilakukan oleh Pertubuhan
untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana
penglibatan ibu bapa menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi
kejayaannya.
Hal ini disokong oleh statistik
bahawa 52 peratus masa murid dihabiskan di rumah dan di dalam komuniti
berbanding hanya 15 peratus masanya berada di sekolah.
Data ini diperoleh daripada
sampel jadual waktu murid 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan
masa murid berumur tujuh hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah
dengan purata 5.5 jam di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib
seminggu dan masa tidur lapan jam sehari.
Justeru, salah satu inisiatif
dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah penglibatan ibu bapa, komuniti
serta sektor swasta dalam pendidikan dan ia akan dilaksanakan pada Hari Terbuka
GTP pada 24 Julai 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Melalui penglibatan ibu bapa
dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan
mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri
dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih
baik.
Ibu bapa pula mendapat manfaat
dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan memperoleh pengetahuan
mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program bantu
sekiranya diperlukan.
Apa yang lebih penting adalah
mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang atau sudut
untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang
kaji.
Sediakan juga buku rujukan
walaupun yang terpakai kerana ia akan membantu anak-anak membuat penyelidikan
bagi memahami sesuatu perkara.
Jika boleh, ibu bapa perlu
menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda mengukuhkan
perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pastikan bunyi televisyen atau radio
direndahkan untuk mengurangkan gangguan.
Adalah lebih jika perkara ini
dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu dengan membacakan buku kepadanya kerana ia
merupakan satu aktiviti yang dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai
kecintaan terhadap buku dan ilmu.
Pada masa yang sama, ibu bapa
perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang
asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat.
Melalui perbincangan dengan anak mengenai
pelajaran, ibu bapa dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya, mengatasi keraguannya,
membimbingnya merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya. Melalui
perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran
anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.
Maka, bagi meningkatkan
penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, mulai 2013, Biro Kumpulan
Sokongan Ibu Bapa (KSIB) akan diwujudkan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG).
Objektif KSIB antaranya adalah
untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan antara ibu bapa untuk saling belajar dan
berkongsi amalan terbaik bagi membantu pembelajaran anak, membantu apabila
berlaku krisis, mengukuhkan tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan
menyediakan latihan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran.
KISB juga bermatlamat membantu
dalam berurusan dengan agensi-agensi pendidikan, perubatan dan lain-lain di
samping berkongsi maklumat, pandangan serta sumber.
Untuk memberi pandangan dan
maklum balas mengenai cara meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan
pembelajaran anak, sila e-mel kepada saranaibubapa@gmail.com
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan