Oleh : Dr Anwar Ridhwan
Bahasa Melayu harus dimartabatkan
Iklan dalam bahasa Inggeris yang
semakin meluas di negara ini boleh memberikan gambaran serta persepsi salah
terhadap hubungan pekerjaan dengan bahasa berkenaan. Ia cuba memberi gambaran
serta persepsi bahawa bahasa Inggeris diperlukan dalam semua sektor pekerjaan.
Kalau anda tidak menguasainya, anda akan tertinggal, atau anda akan menganggur.
Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai sumber ilmu
dan ruang pekerjaan, masyarakat kita tidak seharusnya terlalu ditakut-takutkan
dengan bahasa berkenaan. Anak kita mempelajarinya secara formal selama 11 tahun
iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.
Keupayaan penguasaan bahasa Inggeris mereka akan mencorakkan masa depan
masing-masing. Keupayaan mereka seharusnya tidak diragui jika pengajaran dan
pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah memperlihatkan keberkesanannya.
Kelas pekerjaan
Yang tidak ingin kita lihat ialah
wujudnya kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa
jika ada yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai
berada dalam kelas pertama sementara yang lain berada dalam kelas kedua dan
sebagainya. Kemuliaan pekerjaan tidak diukur semata-mata dengan bahasa atau
pendapatan yang diperoleh.
Tidak semua pelaburan yang dibawa
masuk ke Malaysia memerlukan pekerja yang menguasai bahasa Inggeris sebagai prasyarat.
Sebagai contoh, cuba kita lihat realiti pelaburan langsung asing (FDI) ke
Malaysia kebelakangan ini, sebagai mana laporan Jabatan Perangkaan:
“Stok FDI di Malaysia meningkat
daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM312.5 bilion pada 2010, pertumbuhan
ketara sebanyak 142.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, stok FDI meningkat
sebanyak RM42.3 bilion atau 15.7 peratus. Komponen modal ekuiti & perolehan
dilabur semula membentuk bahagian terbesar berjumlah RM293.7 bilion atau 94.0
peratus. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima stok FDI
tertinggi sebanyak 46.8 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans
23.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 8.2 peratus. Tiga
sumber utama FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).”
Singapura dan Amerika Syarikat
(AS) dianggap sebagai pengguna bahasa Inggeris tetapi tidak Jepun. Itu tidak
menggambarkan kepentingan bahasa Inggeris di sektor swasta secara menyeluruh
kerana hanya 5 hingga 10 peratus eksekutifnya yang perlu menguasai bahasa
Inggeris terutama dalam beberapa syarikat Singapura dan AS yang beroperasi di
Malaysia. Sebahagian eksekutif di syarikat Jepun memang berkomunikasi dalam
bahasa Inggeris dengan atasan Jepun mereka tetapi ada juga eksekutif (Melayu dan
bukan Melayu yang terdidik di Jepun) berkomunikasi langsung dalam bahasa Jepun
dengan pegawai atasan Jepun mereka.
Dapatan Jabatan Perangkaan itu
juga menunjukkan sektor pembuatan menguasai 46.8 peratus stok FDI di mana
bahasa Inggeris diperlukan secara minimum atau tidak perlu sama sekali. Hanya
di sektor kewangan dan insurans yang menduduki tempat kedua (23.1 peratus),
bahasa Inggeris mungkin diperlukan, terutama oleh eksekutifnya tetapi hubungan
dengan klien Melayu, Cina dan India tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Di
sektor perdagangan borong dan runcit (8.2 peratus), bahasa Inggeris bukan
bahasa utamanya. Dapatan berkenaan boleh digunakan untuk mematahkan mitos
keperluan bahasa Inggeris di sektor swasta khususnya yang berkaitan dengan FDI.
Tahun lalu Perdana Menteri
mengumumkan wujudnya 10,000 peluang pekerjaan baru, dalam kerangka pelan
transformasi ekonomi, bernilai RM1.4 bilion. Adakah 10,000 kerja baru di sektor
swasta amat memerlukan penguasaan bahasa Inggeris? Dan jika diperlukan, bukankah
pengalaman pelajar Malaysia mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun sudah
mencukupi untuk menceburi sektor swasta itu?
Pada masa sama kita mesti
menanjakkan keupayaan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Kita
mesti membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa ilmu pengetahuan moden, dan
sistem pendidikan kebangsaan kita terus penting untuk era ini dan zaman akan datang.
Citra bahasa Melayu
Sehubungan itu, citra bahasa
Melayu dalam lapangan pekerjaan seharusnya lebih penting daripada bahasa
Inggeris atau sekurang-kurangnya setaraf dengan bahasa Inggeris.
Untuk mencapai citra berkenaan
bukan saja diperlukan keberanian politik, malah perjuangan bersama kalangan
profesional, usahawan dan cendekiawan Melayu. Ketika kerajaan dan sektor awam
tidak mungkin menyerap jumlah tenaga kerja yang lebih besar, rakyat kini
beralih kepada majikan di sektor swasta. Di sektor swasta ini persepsi kononnya
bahasa Inggeris lebih utama daripada bahasa Melayu haruslah dikikis dan
diketepikan.
Penulis ialah Sasterawan
Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan