Isnin, 13 Ogos 2012

ISU AGAMA : Ke mana hala tuju selepas Ramadan?


Oleh : Norkumala Binti Awang

MEMASUKI fasa terakhir dalam bulan Ramadan, bererti semakin hampir umat Islam akan menamatkan kem latihan Ramadan. Namun, apakah pesta ibadah dan kemeriahan yang dirasakan dalam bulan ini akan berakhir di kala 1 Syawal menjelma?

Biarpun, Ramadan masih belum melabuhkan tirainya, wajarlah bagi kita untuk memeriksa kembali perjalanan Ramadan yang dilalui pada tahun ini agar masa yang masih berbaki ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Inilah saatnya kita memecutkan momentum ibadah yang dilaksanakan, agar matlamat sebenar daripada tarbiyah Ramadan ini dapat dicapai dengan sempurna.

Ayuh, kita muhasabah diri bersama. Ketakwaan sebagai manifestasi akhir latihan dalam bulan Ramadan. Apakah Ramadan ini berhasil untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita selepas ini? Apakah mampu, momentum ibadah dalam bulan mulia ini diteruskan untuk bulan-bulan akan datang? Atau ia akan berakhir begitu sahaja setelah bergemanya takbir Hari Raya sebagai tanda kemenangan?

Berpuasa bukan sekadar memelihara perkara yang dilarang secara fizikal serta menjaga adab-adab berpuasa tetapi juga menuntut kita berjuang memelihara daripada aspek rohani. Jadi, kedua-dua aspek ini perlu digabung jalin untuk menjadikan Ramadan ini sebagai satu madrasah dalam mendidik hati kita untuk bulan-bulan seterusnya. Sewajarnya, kita tidak mahu beranggapan bahawa Ramadan ini sebagai bulan untuk mengikat nafsu hanya buat sementara waktu.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah memperingatkan umatnya tentang kepincangan puasa yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam sahaja" (Hadis riwayat Nasa‘ie)

Sudahkah kita berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan pengisian yang terbaik? Mengekang nafsu, memperjuangkan semangat yang berkobar-kobar dalam mengerjakan solat fardu, tarawih serta solat-solat sunat lain? Atau , adakah ia hanya sekadar ikut-ikutan yang mahu memeriahkan Ramadan. Bersemangat pada awalnya tetapi tumbang menjelang akhirnya. Tanpa kita menginsafi dan menyedari daripada lubuk hati sendiri tentang kepentingan dan keutamaan ibadah dalam bulan Ramadan bagi mereka yang mahu merebutnya.

Ramadan semakin berakhir. Masjid dan surau semakin sepi. Barang kali kita berputus asa kerana gagal melihat sesuatu yang bernilai di hadapan. Kita tidak nampak hasil yang diperolehi daripada pecutan ibadah yang dilakukan dek kerana nilaian manusia itu kerap kali berdasarkan penilaian mata kasar bukannya mata hati.

Seandainya ketika Ramadan, ibadah ditambah nilai dengan mengerjakan ibadah sunat, bertadarus al-Quran, bersedekah, menjauhi tingkahlaku yang tidak bermanfaat seperti mengumpat dan berbohong serta aktiviti berfaedah lain, maka apakah setelah berakhirnya Ramadan, ia terus giat diamalkan atau sebaliknya? Justeru, laluan Ramadan yang masih tinggal ini, seharusnya menjadi kayu pengukur kepada amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan dan akan lakukan selepas ini.

Wajarlah kisah yang terakam dalam hidup Imam Malik bin Anas yang menangis ketika hendak berbuka puasa menjadi pedoman. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: “Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."

Bagaimana pula dengan puasa kita pada hari ini? Tidak cukup dengan beraneka jenis makanan, dijamu dengan bufet Ramadan di restoran dan hotel mewah, ditambah lagi dengan juadah di bazar Ramadan yang sememangnya menyuntik nafsu yang sedang kelaparan. Kita sebenarnya mewah dengan makanan tapi kita miskin untuk menjiwai nilai ibadah.

Tidak menjadikan makan sebagai ibadah tetapi diletakkan sebagai tumpuan dan habuan sepanjang hari berpuasa. Setelah kekenyangan berbuka puasa, sudah tidak mampu mengerjakan ibadah tarawih apatah lagi memanfaatkan 10 malam terakhir ini untuk beribadah.

Akhirnya, ia berlalu begitu saja akibat daripada nafsu yang tidak dapat dikekang. Sungguh, terlalu jauh untuk membandingkan puasa kita dengan ulama terdahulu apatah lagi insan teragung Rasulullah SAW. Namun, ia boleh dijadikan pengukur untuk memperbaiki puasa kita agar nanti ia memberi kesan yang baik bukan setakat untuk nilai kesihatan tetapi juga nilai rohani kita selepas melalui Ramadan ini.

Namun, ada juga sesetengah golongan yang masih bersederhana di bulan Ramadan dalam menikmati makanan seperti mana yang dituntut dalam Islam. Adakah amalan tersebut mampu diteruskan selepas Ramadan ditambah lagi dengan kehadiran Syawal yang dianggap sebagai puncak pesta makanan? Seringkali ramai yang tewas begitu sahaja walaupun mendapat pentarbiyahan semasa di bulan Ramadan.

Akhirnya, mereka makan secara berlebihan kerana membalas dendam setelah sebulan berpuasa. Natijahnya, hadis Nabi SAW yang bemaksud “berpuasalah, nescaya kamu menjadi sihat" hanya tinggal harapan disebabkan oleh sikap umat Islam itu sendiri yang tidak mengikuti lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Puasa tidak lagi mampu menyihatkan malah memudaratkan.

Puasa tidak lagi relevan untuk mengurangkan masalah obesiti malah merumitkan. Setelah berpuasa sebulan, badan telah dapat menerima keadaan tersebut. Metabolisme menjadi rendah. Oleh itu, berat badan mudah meningkat apabila diberikan makanan secara mengejut selepas berakhirnya Ramadan. Justeru, amalan berpuasa enam di bulan Syawal adalah anjuran yang terbaik agar badan dapat menerima keadaan tersebut secara perlahan-lahan. Maka, seharusnya berwaspadalah kita dalam pengambilan makanan semasa di bulan Syawal kerana ia mampu meningkatkan berat badan secara mendadak.

Oleh itu, Ramadan yang masih berbaki ini, seharusnya dijadikan medan muhasabah tentang amalan pemakanan kita. Adakah selama tempoh Ramadan ini telah mampu membuatkan kita benar-benar menghargai nilai kesihatan atau sebaliknya? Adakah mampu untuk kita kekalkan pemakanan secara bersederhana demi menjaga tuntutan kesihatan dan bertenaga untuk beribadat kepada Allah dalam mencari keberkatan Lailatulqadar?

Di bulan Ramadan, kita berpuasa selama sebulan, wajarlah kita melatih diri untuk berpuasa sunat di bulan-bulan seterusnya. Kita cuba untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada bulan ini, maka perlu diusahakan pada hari-hari mendatang untuk membaca dan memahami kandungan setiap lembaran al-Quran. Jika kita rajin mendirikan solat tarawih, solat tahajud dan lain-lain pada bulan ini, seharusnya pada malam-malam seterusnya kita mampu meringankan diri untuk mengerjakan qiyamullail.

Di bulan ini kita memperbanyakkan sedekah, Insya-Allah di bulan-bulan lain juga kita dapat menghulurkan sebahagian rezeki yang kita miliki. Dengan kata lain, perindahkan amalan di bulan Ramadan sebagai titik permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Apakah Ramadan yang kita lalui ini bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan kita atau sebaliknya. Semuanya tidak mampu memberikan jawapan pasti kerana kita hanya ada masa sekarang untuk membuat tindakan dan perhitungan. Dan masa sekarang itulah yang hanya beberapa hari sahaja lagi, apakah masih ada ruang untuk kita berlengah-lengah? Maka, insafilah diri, rebutlah peluang ini kerana kita tidak mampu mengandaikan masih adakah lagi masa untuk kita mengecapi Ramadan pada tahun hadapan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan