Isnin, 13 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Hanya kesedaran mampu elak nyawa melayang di jalan raya


Oleh : Manja Ismail

Setiap pengguna kena tanam azam jadikan Aidilfitri tahun ini paling selamat

Kurang seminggu lagi kita akan menyambut Aidilfitri dan seperti biasa, pihak berkuasa melancarkan operasi khas selama dua minggu, dengan matlamat utama untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya yang angkanya sentiasa meningkat ketika musim perayaan. Daripada Ops Pacak, Ops Statik, Ops Sikap sehinggalah Op Selamat yang bermula semalam, semuanya adalah usaha pihak berkuasa untuk memastikan pengguna kenderaan selamat ketika menggunakan jalan raya.

Walaupun operasi sedemikian terbukti berkesan dalam membendung lebih banyak kemalangan dan korban sepanjang musim perayaan, perangkaan menunjukkan ia belum dapat menurunkan kadar nahas dan korban pada tahap yang diinginkan, kalaupun tidak mencapai matlamat kemalangan atau korban sifar. Begitupun, korban nahas jalan raya mungkin lebih tinggi jika pihak berkuasa tidak mengadakan operasi seumpama itu.

Barangkali hanya di Malaysia, pihak berkuasa terutama polis terpaksa mengerahkan ribuan anggotanya bertugas di sepanjang lebuh raya dan jalan di seluruh negara sepanjang musim perayaan, semata-mata untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan. Ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika kedudukan Malaysia dalam senarai negara mempunyai kadar korban paling tinggi akibat nahas jalan raya diambil kira.

Kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris menunjukkan ketika 30 negara mencatatkan penurunan korban nahas jalan raya pada 2000 hingga 2009, hanya Malaysia bersama Argentina dan Kemboja mencatat peningkatan. Malaysia di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk. Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda.

Satu laporan sebelum ini pula menyebut, nahas jalan raya menyebabkan Malaysia kehilangan RM9 bilion pada 2010 dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Sebanyak 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari pada 2010. Dalam kata lain, seorang rakyat Malaysia terbunuh pada setiap 1 jam 20 minit, sepanjang tahun itu. Persoalannya siapa yang harus dipersalahkan – kerajaan, polis, jalan raya, kenderaan atau pemandu?

Jawapannya tentulah sikap pemandu. Analisis beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati kebanyakan pemandu hanya mematuhi peraturan apabila melihat polis dan bukan kerana amalan memandu berhemah atau mereka benar-benar menghormati undang-undang. Sikap tidak mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain inilah dikatakan menjadi punca utama meningkatnya kemalangan.

Mungkin kerana 25 Ops Sikap sebelum ini didapati belum memberikan kesan ketara sama ada dari segi penurunan kadar kemalangan atau mendisiplinkan pengguna jalan raya, polis menamakan operasi pada musim perayaan kali ini sebagai Op Selamat. Tentulah tidak adil jika polis menumpukan perhatian kepada operasi di jalan raya yang kesannya tidak banyak berbeza, sehingga mengabaikan keselamatan harta benda dan orang lain yang tidak menggunakan jalan raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika melancarkannya Jumaat lalu, berkata operasi bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ itu turut menumpukan kepada keselamatan rumah dan harta benda ditinggal pemilik ketika balik kampung. Bagaimanapun, operasi selama 15 hari itu tetap mengekalkan ciri-ciri Ops Sikap dengan menambah baik beberapa aspek.

Sehebat mana pun usaha pihak berkuasa mengurangkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan ini, ia tidak mungkin memberi kesan diharapkan tanpa kerjasama pengguna jalan raya itu sendiri. Setiap pengguna jalan raya seharusnya berazam menjadikan musim balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini paling selamat, sesuai dengan tema operasi kali ini. Hanya dengan kesedaran pentingnya mematuhi undang-undang dan pemanduan berhemah mampu mengelak lebuh dan jalan raya di negara ini daripada menjadi pusara tidak bertanda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan