Oleh : TAN SRI SYED HAMID ALBAR,
PERSEPSI adalah satu proses yang
mana penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan
yang menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan
kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan
dengan realiti dan mewakili perangai kita.
Hari ini kita lihat politik di
serata dunia menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang
kebebasan serta pertembungan antara hak individu dan kepentingan masyarakat
dalam konteks demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar
Barat berjaya membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia
multipolar.
Serentak dengan itu, situasi
ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi
dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat
pula meramalkan ekonomi negara itu tidak akan bertambah baik, malahan akan terus
meruncing.
Berlatar belakang kedudukan
ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan
perubahan kerajaan sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui
pemberontakan seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat.
'Sumpitan' daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan
kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di
kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat.
Maka nyata bahawa persepsi
ekonomi-politik hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini
terancang agar akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campur tangan asing
secara terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB
sebagai pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.
Jelas sekali campur tangan ke
atas negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian
kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa
yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan.
Kuasa-kuasa besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa
bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa campur
tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah
jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak
semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman
sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan.
Justeru masalah keselamatan,
keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada
rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas
ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan
kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang
dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di
Eropah belum lagi terserlah.
Apa yang nyata ialah tersebarnya
satu persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi
dan globalisasi di negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi
realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan
cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang
mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu
penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia.
Tidak dapat dinafikan yang umat
manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan serta saling
kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet. Dalam
tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini
adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina
persepsi yang tidak berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi dominan
dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.
Persepsi boleh membentuk
pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis
ataupun di luar krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari
daripada hakikat ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju
dalam pelbagai bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru,
kebebasan demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan
bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak
individu dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak
begitu pantas dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di
hadapan.
Pada hari ini, Malaysia sedang
melalui proses transformasi yang amat hebat dalam sejarah politik dan ekonomi
negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan
dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta terhubung di
antara satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat
yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin perlu dapat
menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat.
Mereka harus mengerti dan
memahami niat dan tujuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang
Ekonomi Utama Negara (NKEA), ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program
Transformasi Kerajaan ( GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan
dikecapi oleh rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini
oleh golongan yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan
dengan telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan
kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan.
Bila dapat diajukan dasar,
sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanipulasikan
oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi
melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh
dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya
pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan
diterima sebagai kebenaran.
Justeru, kejayaan dan kegagalan
kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan
jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai
realiti. Sekali gus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif
terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan.
Kerajaan tidak boleh hanya
respons setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh
'Dr. Spin' pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui
persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan
manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan
jawapan.
Dasar pemerintah sebenarnya
hendaklah diterjemah dan diimplimentasi agar dapat dilihat sendiri manfaatnya
oleh rakyat dan bukan sesuatu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal
ini kerajaan tidak boleh bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak
sentuhan yang dihulurkan melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka
masa pendek ataupun panjang.
Media arus perdana dan alternatif
harus digunakan untuk melaporkan pencapaian sebenar program dan tindakan
tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin
pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan
setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan
dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah.
Sekiranya ingin berjaya dalam
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan perlu menangani pertarungan persepsi
ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau
politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui
perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka
dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri.
Pada masa yang sama dari sekarang
hingga PRU-13, insya-Allah masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita
skandal, salah laku sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan
kemarahan dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga
boleh menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU-13.
Seharusnyalah parti pemerintah
dapat mengatasi pihak pembangkang dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan
ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada
pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi
kemajuan dan kesejahteraan.
Penulis ialah Pengerusi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
Sumber : http : //www.utusan.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan