Jumaat, 22 Mac 2013

ISU SOSIAL : Penjawat awam tidak tahu malu antara 11 ditahan

Gambar hiasan

Oleh : NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN

KUANTAN - Memalukan apabila ada penjawat awam tanpa segan silu masuk ke premis judi berlesen dengan memakai pakaian korporat yang jelas tertera logo dan nama agensinya tanpa memikirkan impak negatif yang mungkin terpalit kepada agensi tersebut.

Lebih mendukacitakan, penjawat awam yang dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) itu berada dalam premis judi ketika waktu bekerja.

Mereka ialah antara 11  kaki judi yang ditahan hasil  pemeriksaan Bahagian Penguat Kuasa Jaip di beberapa premis judi berlesen di sekitar bandar ini, semalam.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jaip, Ahmad Raffli Abd Malek berkata, pemeriksaan secara mengejut bermula jam 11 pagi hingga 2 petang semalam mendapati ‘kegilaan’ kaki judi beragama Islam terhadap aktiviti haram itu terus berlaku walaupun pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan berkala di premis perjudian berlesen di sini.

Menurutnya, beliau agak kesal kerana ada antara kaki judi yang ditahan sudah lanjut usia namun masih tidak insaf dan terus terlibat aktiviti tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas enam premis judi sekitar Jalan Wong Ah Jang, Jalan Pasar dan  Jalan Abdul Aziz di sini, kita menahan 11 kaki judi berusia antara 39 hingga 77 tahun membabitkan penjawat awam, pesara, kakitangan swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

“Pemeriksaan melibatkan 13 pegawai diketuai  Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Mohd Anis Mohd Azmi  itu mencetus suasana kelam kabut apabila ada dalam kalangan kaki judi itu bertempiaran lari untuk melepaskan diri bagaimanapun keadaan terkawal dan mereka yang terlibat berjaya ditahan,” katanya semalam.

Ahmad Raflii berkata, walaupun di setiap premis judi berlesen jelas terpapar peringatan kepada umat Islam bahawa judi adalah haram, namun kebanyakan kaki judi itu langsung tidak mengendahkannya.

“Perbuatan ini bukan sahaja satu dosa kepada mereka yang terlibat tetapi memalit imej negatif dan menjatuhkan maruah Islam di mata masyarakat bukan Islam.

“Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka lari bertempiaran dan disaksikan orang ramai yang berada di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata, semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 169  Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1984.

“Semua yang ditahan diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan dan mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan yang ditahan memberikan alasan bahawa mereka  membeli nombor ekor sekadar suka-suka namun ada juga yang secara terang-terangan memberitahu judi itu menjadi minat mereka dan sukar untuk menghentikan tabiat tersebut.

“Walau apapun alasan mereka, menjadi satu kesalahan kepada individu Islam untuk berada di dalam premis judi apatah lagi bertaruh,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan kaki judi yang beragama Islam supaya bertaubat dan menghentikan tabiat tersebut kerana perbuatan itu hanya mendatangkan kemudaratan.

“Bahagian Penguat Kuasa Jaip akan meneruskan pemeriksaan secara berterusan dari masa ke masa untuk sedarkan umat Islam supaya menjauhi perkara yang dilarang agama itu dan bagi mereka yang terus berdegil, tindakan akan dikenakan ke atas mereka jika tertangkap,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan