Jumaat, 22 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Pencapaian Keseluruhan SPM 2012 Menurun


PUTRAJAYA 21 Mac - Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 mengalami penurunan berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 5.08 mata sahaja berbanding 5.04 pada 2011.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, keadaan itu didorong oleh prestasi mata pelajaran yang mencatatkan penurunan melebihi jumlah mata pelajaran yang prestasinya meningkat.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci mengenai penurunan tersebut dan menjalankan penambahbaikan untuk peperiksaan pada  masa hadapan.

"Penurunan pencapaian keseluruhan sebanyak 0.04 mata ini harus dilihat secara positif. Bagi pihak kementerian ia merupakan margin penurunan yang tidak signifikan dan dibenarkan.

"Walaupun berlaku penurunan, kita masih dapat lihat peningkatan bilangan pelajar yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran iaitu sebanyak 0.16 peratus," katanya semasa mengumumkan keputusan SPM di sini hari ini.

Sementara itu, Abd. Ghafar berkata, berlaku peningkatan prestasi bagi 51 mata pelajaran SPM 2012, manakala 54 mengalami penurunan dan tiga lagi pula kekal berbanding 2011.

Beliau berkata, prestasi bagi dua daripada tujuh mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan.

Jelasnya, kedua-dua mata pelajaran berkenaan masing-masing menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 0.30 mata iaitu daripada 5.21 pada 2011 kepada 4.91 dan 0.21 mata daripada 4.73 kepada 4.52.

"Prestasi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (4.38 kepada 4.60), Pendidikan Islam (4.25 kepada 4.47), Sejarah (5.06 kepada 5.51), Sains (5.14 kepada 5.17), dan Bahasa Inggeris (5.93 kepada 5.99) pula menunjukkan penurunan.

"Bagaimanapun, pada tahun lepas, seramai 229,009 (51.1 peratus) calon yang menduduki Bahasa Inggeris (1119) SPM telah berjaya memperoleh Sijil GCE O-Level," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 49 daripada 101 mata pelajaran elektif menunjukkan peningkatan prestasi antaranya Matematik Tambahan, Kimia, Biologi, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Reka Cipta, Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Mata pelajaran Biologi, katanya, mencatatkan peningkatan yang signifikan sebanyak 0.33 mata iaitu daripada GPMP 4.65 pada 2011 kepada 4.32 pada tahun lepas.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan