Ayisy Amirul Afti
menerima ciuman ibunya, Norkamawati Kamal selepas memperoleh keputusan cemerlang SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang, Muadzam Shah. |
ROMPIN 21 Mac - Doa dan
menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas termasuk menyiapkan semua tugasan
diberikan guru dengan sempurna menjadi rahsia Ayisy Amirul Afti Bakhtiar Afendy
mendapat keputusan cemerlang 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) yang diumumkan hari ini.
Keputusan yang dicapai Ayisy
Amirul Afti, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pahang,
Muadzam Shah itu membolehkannya bukan sahaja menjadi pelajar terbaik sekolah
itu, malah terbaik seluruh negeri Pahang.
"Saya sangat gembira kerana
usaha saya selama ini membuahkan hasil apabila mendapat A+ dalam semua subjek,
terima kasih kepada guru-guru yang banyak memberi bimbingan serta petua yang
berguna.
"Guru-guru di sini berusaha keras untuk memberi ilmu yang secukupnya kepada kami malah mereka
sentiasa memastikan kami dapat menguasai segala yang diajar,'' katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia di SMKA Pahang, Muadzam Shah di sini hari ini.
Menurutnya, paling penting ialah
mengetahui cara memanfaatkan masa di dalam kelas bagi memperoleh seberapa
banyak ilmu dan jangan malu bertanya jika tidak faham.
Ayisy Amirul Afti yang juga
merupakan pengawas pusat sumber sekolah berkata, selain memberi tumpuan
sepenuhnya di dalam kelas, dia juga mengikuti kelas tambahan melalui Yayasan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (YGPMS).
"Saya selepas ini akan
melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan berharap sangat akan dapat ke
Ireland, Scotland ataupun Mesir," katanya yang juga salah seorang imam di
sekolah tersebut.
Sementara itu, bapa Ayisy Amirul
Afti, Bakhtiar Afendy Mat Noor, 40, berkata, kejayaan anak sulungnya itu adalah
berkat hasil usahanya selama ini.
"Saya sebagai bapa hanya
pastikan anak saya mendapat pendidikan bukan sahaja dari segi akademik malah
keagamaan," katanya yang merupakan kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi
di Kuantan.
Beliau dalam pada itu berharap,
anaknya akan mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang
perubatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan