KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)
sedang melaksanakan Program Penilaian Khas bagi pelantikan tetap graduan
cemerlang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahun 2012, kata Pengerusi SPP Tan Sri
Dr Zulkurnain Awang.
Beliau berkata penilaian khas itu
bertujuan melantik bakal guru yang cemerlang dari segi akademik dan ikhtisas
tanpa melalui proses temu duga secara konvensional.
Katanya, pelantikan secara terus
itu adalah untuk mengiktiraf pencapaian akademik dan ikhtisas graduan yang
memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas, mendapat
sekurang-kurangnya keputusan A- dalam Praktikum serta diperakui Institut
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Zulkurnain dalam kenyataan hari
ini berkata program penilai khas itu melibatkan 2,780 graduan cemerlang
daripada IPTA dan IPGM.
Program penilaian itu dijalankan
secara berperingkat di seluruh negara bermula 19 Mac lepas di Kuching
melibatkan 247 graduan, diikuti Putrajaya semalam seramai 560 graduan, Johor
Baharu (28 Mac), Ipoh (2 April), Sungai Petani (4 April), Kota Baharu (8
April), Kuantan (11 April) dan Kota Kinabalu (17 April), katanya.
"Pada akhir penilaian semua
graduan yang layak akan terus diberi surat pelantikan daripada SPP,"
katanya.
Zulkurnain berkata 5,033 graduan
lagi perlu melalui temu duga biasa yang dijalankan mulai 19 Februari lepas hingga 28
Mac. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan