Oleh Abu Bakar
Abdul Jalal
Kita dapat nilai
siapa 'kuasa ghaib' di sebalik konflik di negara Arab
HARI ini genaplah 45 tahun Israel menduduki Tebing Barat, Bukit Golan dan
Semenanjung Gaza. Tanggal 5 Jun 1967, perang ketiga Arab-Israel tercetus sejak
berakhirnya Perang Dunia Kedua yang digelar 'Perang 6 Hari'.
Ia dinamakan Perang 6 Hari kerana dalam tempoh enam hari saja, tentera
Yahudi menawan Semenanjung Sinai, Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung
Gaza.
Mesir, Jordan dan Syria terbabit secara langsung dalam peperangan itu.
Negara Arab lain yang turut membantu dengan menghantar tentera darat ialah Arab
Saudi, Libya, Iraq serta beberapa negara Islam berdekatan. Di luar rantau,
Pakistan turut menyumbang juruterbang tentera udaranya bagi memandu jet pejuang
Jordan.
Setiap konflik membabitkan Arab-Israel sememangnya rumit untuk dibincang
dan boleh diperdebat dari pelbagai sudut iaitu agama, ekonomi, sejarah,
ketenteraan mahupun hubungan antarabangsa. Sejarah hubungan Arab-Israel sangat
panjang dan boleh disingkap sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan.
Umat Islam di seluruh dunia khususnya di luar dunia Arab sukar mendapat
gambaran sebenar mengenai perang Arab-Israel kerana kebanyakan buku ditulis
penyelidik dan wartawan Barat berdasarkan ‘kaca mata’ bukan Islam dan
pro-Yahudi. Justeru, Israel sentiasa dilihat kuat dan negara Arab nampak lemah,
tidak hebat dan mudah dikalahkan.
Mungkin ada buku dihasilkan mereka yang menjadi pegawai kerajaan atau
tentera berkhidmat ketika Perang 6 Hari berlaku. Namun jika bahasa Arab tidak
diterjemahkan, mana mungkin dunia dapat mengetahuinya.
Perang 6 Hari bermula apabila juruterbang Tentera Udara Israel yang
mempunyai semangat patriotik tinggi melancarkan serangan udara mengejut ke
Mesir dan Jordan pada pagi 5 Jun 1967. Operasi itu dinamakan ‘Operation Moked’
kemudian disusuli serangan darat dilengkapi kereta kebal dan meriam artileri.
Ia sekali gus melumpuhkan kekuatan tentera udara Mesir dan Jordan.
Media Barat melaporkan, daripada 416 pesawat pelbagai jenis dimiliki Mesir,
Jordan, Syria dan Iraq, 393 pesawat berjaya dimusnahkan tentera Israel. Sebelum
perang meletus, Jordan hanya memiliki 24 jet pejuang untuk melindungi
keseluruhan jajahannya termasuk Baitulmaqdis di Tebing Barat.
Israel menuduh Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdul Nasser menjadi penyebab
utama kepada perang berkenaan apabila menutup Selat Tiran di antara Teluk Aqaba
dan Laut Merah. Gamal Nasser dikatakan menyemarakkan api kebencian terhadap
Yahudi melalui siaran radio Mesir, Voice of the Arabs.
Apabila perang bermula, Israel menipu dunia dengan menyatakan tentera darat
Mesir menyerang mereka dulu, sedangkan ketika itu 70,000 atau satu pertiga
kekuatan tentera Mesir terbabit perang saudara di Yaman Utara. Apabila
pangkalan udara mereka diserang 5 Jun 1967, Mesir menggerakkan 950 kereta
kebalnya ke Semenanjung Sinai.
Dalam buku bertajuk Six Days: How the 1967 War Shaped the Middle East
karya Jeremy Bowen dengan jelas menyatakan, Amerika Syarikat tahu dan merestui
tindakan Israel memulakan Perang 6 Hari. Buku itu turut memetik kata-kata Moshe
Dayan, Menteri Pertahanan Israel ‘bermata satu’ mengesahkan 80 peratus
pertembungan dan pertempuran sempadan dengan Syria sebelum Perang 6 Hari adalah
hasil tindak-tanduk provokasi Israel sendiri.
Israel jugalah yang sedikit demi sedikit mula mengambil Tebing Barat ketika
masih di bawah penguasaan Jordan apabila menyerang pekan Samua (berhampiran
Hebron) yang terletak di selatan Baitulmaqdis, 13 November 1966.
Resipi utama kejayaan Israel mudah, mengambil kesempatan di sebalik
ketidaktentuan dan kekacauan politik dalaman negara Arab. Dalam tempoh 17 tahun
sebelum 1967, Syria mengalami sembilan rampasan kuasa tentera mengorbankan
banyak nyawa.
Agensi Perisikan Israel, Mossad, menempatkan beberapa ejen mereka di Syria,
antaranya Eli Cohen. Ejen seperti Cohen bertugas melagakan pemerintah dengan
rakyat, selain mendapatkan maklumat sulit kerajaan dan tentera Syria. Cohen
akhirnya dibunuh pihak berkuasa Syria.
Tentera Yahudi juga bijak melatih dan melahirkan pengkhianat serta tali
barut untuk kepentingan mereka. Ini dijelaskan dalam buku The Six Day War 1967:
Jordan and Syria tulisan Simon Dunstan mendedahkan mengenai seorang juruterbang
Tentera Udara Iraq, Munir Redfa berpaling tadah ke Israel pada 16 Ogos 1966.
Bersama-sama beliau ialah sebuah jet pejuang buatan Russia MIG-21 milik
Iraq. Tidak diketahui sama ada beliau diugut atau diberi rasuah, namun yang
pasti Israel dapat mengkaji dan memandu uji jet itu untuk menilai kekuatan
Tentera Udara Mesir dan Syria yang memiliki banyak pesawat MIG-21.
Pada 12 Mei 1967, Israel mengeluarkan kenyataan akan menggunakan kuasa
tentera menukar rejim pemerintah Syria yang didakwa menyokong kegiatan
pengganas di sempadan kedua-dua negara. Apakah hak Israel menentukan pemerintah
negara berdaulat seperti Syria ketika itu?
Selepas 45 tahun, mutakhir ini kita dapat menilai sendiri siapa menjadi
‘kuasa ghaib’ di sebalik konflik yang bakal memusnahkan Syria khasnya dan dunia
Arab amnya.
Israel memiliki ramai pegawai tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera
Britain ketika Perang Dunia Kedua di Eropah. Mereka mengetahui kelemahan
tentera Arab berdasarkan pengalaman sebelum 1967, iaitu peperangan pada 1948
dan 1956.
Selain menggunakan strategi Barat dalam perisikan dan semboyan, tentera
Yahudi mengaplikasikan ‘Lima Strategi Utama Memenangi Perang’ dipelopori Sun
Tzu. Tiga daripada strategi utama itu ialah mengetahui masa sesuai untuk
bertempur, memperlengkap pasukan sendiri serta menyerang musuh yang tidak
bersedia dan strategi terakhir, mempunyai matlamat perang yang jelas dalam
semua lapisan pasukan tanpa mengira pangkat.
Tentera Yahudi maklum Mesir tidak bersedia kerana terbabit dengan perang
saudara di Yaman, manakala Syria masih dibelenggu masalah politik dalaman.
Perbalahan sesama Arab jelas sekali menguntungkan Yahudi. Jordan pula bukanlah
tandingan mereka, apatah lagi hampir semua kelengkapan tentera negara beraja
itu datang dari sumber sama dengan Israel iaitu Amerika Syarikat dan Britain.
Perkara pokok yang menyatukan matlamat semua anggota tentera Israel ialah
untuk mengambil semula kota suci Baitulmaqdis keseluruhannya. Mereka sedar
tidak akan dapat menawan kota itu dengan cara lembut atau melalui meja
rundingan. Perang, huru-hara dan keganasan adalah pilihan utama. Sesungguhnya
Perang 6 Hari mencorakkan politik Arab-Israel bertahun-tahun lamanya. Sejak itu
bermulalah episod sedih penindasan dan pelarian di bumi sendiri oleh penduduk
Palestin.
Satu ketika dulu, ancaman dizahirkan dalam bentuk jet pejuang, kereta kebal
dan tentera infantri lengkap bersenjata. Kebelakangan ini, apa yang perlu untuk
mencetuskan kacau bilau sesebuah negara hanyalah internet, pentas ceramah dan
akhbar politik. Emosi pembaca dan pendengar menjadi bahan mainan pihak yang
kemaruk untuk memerintah. Selepas Kerajaan Mesir tumbang oleh demonstrasi
jalanan, giliran Syria bakal dihancurkan tangan-tangan ‘rakyat’ sendiri.
Istilah ‘rakyat’ sesuai dijaja di negara tertentu dan bukanlah seperti
sepasang kasut yang boleh memuatkan semua saiz kaki. Republik ‘Rakyat’ China
masih diperintah oleh hanya satu parti saja yang bertunjangkan fahaman komunis,
manakala di seberang tambak, pemimpin Parti Tindakan ‘Rakyat’ akan mengheret ke
mahkamah ‘rakyat’ yang mengkritik mereka.
Sehingga hari ini, negara kota singa yang ‘bersih’ daripada sampah dan
sebarang perhimpunan haram itu belum memansuhkan undang-undang ‘tidak berperi
kemanusiaan’, ISA.
Adakah ‘rakyat’ kedua-dua negara itu dijamin kebebasan bersuara serta
berdemonstrasi sehingga boleh memekik di tempat awam dengan berkata ‘kerajaan
negara itu tidak telus dan tidak adil’? Sesuaikah pelarian Syria yang berharta
hidup selesa sebagai seorang Islam di kedua-dua negara ‘rakyat’ berkenaan?
Penulis ialah lulusan Sarjana Sains Sosial (Analisis Strategi &
Keselamatan) UKM.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan