Isnin, 4 Jun 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran universiti hebat


Coretan Marhaen

TAHNIAH diucapkan kepada Universiti Malaya (UM) kerana berjaya mengekalkan statusnya sebagai universiti utama di Malaysia, empat tahun berturut-turut!

Sebagai bekas penuntut universiti tertua di tanah air itu, penulis turut berbangga dengan pencapaian UM menduduki tangga ke-35 keseluruhan di Asia bagi 2012 mengikut ranking yang didedahkan hasil kaji selidik QS ke atas lebih 500 universiti.

Nampaknya UM terus mendominasi kedudukan sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) paling top di Malaysia.

Kalau di Amerika Syarikat atau United Kingdom, status UM ini boleh dikatakan setaraf dengan universiti Ivy League seperti Universiti Harvard, Princeton dan Yale, yang cukup terkenal dengan kehebatan akademik, syarat kemasukan yang cukup ketat dan sifat elitisnya.

Bukan lagi rahsia, ramai penuntut dan ahli akademik memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke universiti tersebut kerana mahukan reputasi yang dibawa dalam resume masing-masing sebagai alumninya.

Sekarang ini pun, UM cukup popular dalam kalangan pelajar asing apabila menduduki tempat keempat dalam program pertukaran pelajar universiti di Asia.

Dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi terutamanya mencapai kedudukan ke-35 terbaik di Asia, misi UM untuk menempatkan universiti itu antara 100 terbaik di dunia pada 2015, bukan sesuatu yang mustahil.

Namun sebagai universiti terbaik di Malaysia dan antara terbaik di Asia, UM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (KL) - mungkin tidak seperti yang dibayangkan selayaknya sebuah kampus induk universiti bertaraf dunia.

Janganlah cuba-cuba hendak mencari Dataran UM atau UM Square seperti yang terdapat di Harvard.

Lokasinya yang cukup hampir dengan pusat bandar, mengehadkan saiz kampus ini.

Tambahan bangunan baru pentadbiran, fakulti dan kolej kediaman - kini hingga ke-12 - menyesakkan lagi kampus yang sudah cukup padat itu.

Walaupun ada dua pintu masuk dan keluar iaitu dari pintu KL dan Petaling Jaya (PJ) - laluannya tetap sama iaitu jalan dua lorong sehala mengelilingi tasik UM untuk ke destinasi dalam kawasan kampus - walaupun jalan keluar sudah ditambah melalui pintu Damansara.

Remeh

Isu ini mungkin remeh. Lebih-lebih lagi bagi pentadbir UM yang sedang menumpukan usaha mengejar ranking dunia. Apa sangatlah isu jalan dan saiz kampus hendak dibincangkan.

Namun bagi penulis, universiti terbaik sepatutnya hebat serba-serbi.

Pengalaman terperangkap dua jam dalam kesesakan dari pintu masuk PJ menghala ke pintu keluar Damansara yang tidak sampai pun berapa kilometer pada Ahad minggu lepas, sungguh mengecewakan.

Difahamkan pada hari itu seramai 2,000 pelajar baru Asasi Sains UM mendaftar masuk dan ditempatkan di Kolej Kediaman Ke-12, yang kebetulan terletak di laluan menghala ke Damansara.

Bayangkan jika setiap pelajar dihantar oleh ahli keluarga masing-masing dengan sebuah kereta, ini bermakna sebanyak 2,000 kenderaan masuk ke kampus pada hari itu.

Namun maklum sahajalah budaya rakyat Malaysia, kegembiraan menghantar anak masuk universiti selalunya dikongsi dengan saudara-mara, jadi mungkin ada yang pergi dua tiga kereta.

Bagi yang datang dari luar KL seperti Kelantan, Terengganu, negeri di Utara dan Johor misalnya, inilah masanya untuk berjalan-jalan di kota raya.

Jadi pihak pentadbir universiti sepatutnya sudah boleh mengagak kesesakan yang akan berlaku dengan kehadiran serentak mereka dalam sela masa terhad yang ditetapkan. Sayangnya perkara remeh ini nampaknya tidak termasuk dalam pertimbangan dan perhatian.

Difahamkan pada hari yang sama, terdapat tiga acara lain berlangsung di tempat yang berdekatan antaranya temasya sukan untuk anak yatim dan pertunjukan makyung.

Bayangkan sahaja jumlah kenderaan yang memasuki kawasan kampus UM yang tidak sebesar mana itu, belum dikira kereta pensyarah, penuntut dan staf sedia ada.

Tidak mustahil ada yang terpaksa mengikat perut kelaparan, terlepas solat atau pitam kerana tersangkut tidak dapat bergerak ke mana gara-gara kesesakan teruk itu.

Memandangkan UM sudah pun memperoleh kuasa autonomi mulai tahun ini, sudah tiba masanya ia merancang memperbesarkan keluasan kampusnya, mungkin dengan mencari tapak sesuai di tempat lain. Bukan berpindah tetapi menambah kampus cawangan.

Mengambil contoh Universiti Harvard sendiri mempunyai tiga kampus. Kampus induk seluas 85 hektar di Harvard Yard, Cambridge, Kampus Perubatan di Longwood Medical Area manakala Kampus Allston menempatkan Fakulti Perniagaan dan kemudahan sukan termasuk stadium.

Sementara menunggu UM mempunyai kampus baru, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan sistem penyuraian trafik di dalam kampus dan penyusunan jadual acara universiti diurus sebaik-baiknya.

Jika tidak pun menaikkan ranking akademik, sistem trafik yang teratur dan lancar terutama ketika UM dikunjungi pelawat, sudah pasti meletakkan imej universiti itu di tempat yang tinggi di mata orang luar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan