Oleh : Shamrahayu A Aziz
Islam kemudi kita kepada perpaduan
Hubungan antara agama dan politik
sering menjadi polemik. Ia bukan saja masalah setempat, tetapi global. Ada yang
mempersoal hubungan dua perkara ini dan ada juga yang tidak menafikan hubung
kait antaranya. Persoalan berkaitannya timbul, antara lain kerana penerapan dan
promosi fahaman bahawa agama dan negara adalah dua perkara yang terpisah (atau
dipisahkan). Oleh itu, secara umum, boleh dikatakan persoalan hubungan
kedua-duanya ini lahir berikutan pemasyhuran idea sekularisme. Ia adalah
fahaman yang mahu dijadikan budaya atau tamadun antarabangsa. Dalam fahaman
sekular, agama dirujuk berasal daripada tuhan dan politik dikatakan berasal
daripada manusia . Justeru, fahaman sekular ini menyifatkan hubungan antara
kedua-duanya sebagai bertentangan atau berlawanan.
Kita tidak boleh memandang
pendekatan sebegini dengan sebelah mata. Akibatnya, kita sukar mencari
penyelesaian dalam pelbagai aspek pentadbiran negara yang disandarkan kepada
amalan politik yang perlu didasarkan kepada agama. Agama harus menjadi alat dan
matlamat politik. Maksud ‘alat’ bukanlah menjadi bahan untuk ‘diperalat’ tetapi
mekanisme untuk mencapai ‘matlamat’ politik yang disertai kebenaran.
Agama tidak menegah seseorang
mencari kekuasaan politik yang disertai dengan kebenaran. Hanya kekuasaan yang
terpisah daripada kebenaran yang ditegah. Memisahkan kekuasaan daripada
kebenaran amat berbahaya – bukan sahaja kepada pihak terbabit, terutamanya kaum
minoriti, tetapi ia juga berbahaya kepada pemilik kekuasaan itu sendiri.
Tidak semua politik tujuannya
bercanggah dengan kehendak atau ajaran agama. Selagi politik tidak bertentangan
dengan tujuan dan kehendak agama, maka politik itu sesuatu yang baik dan
selaras dengan tuntutan agama. Selagi politik tidak kejam dan berada pada
landasan akhlak mulia, ia sebahagian daripada ibadah. Islam adalah agama
komprehensif iaitu merangkumi semua aspek kehidupan, termasuk berkaitan
kekuasaan atau politik. Oleh itu fahaman yang membezakan dan memisahkan agama
dan politik adalah bercanggah dengan sifat syumul Islam.
Sebagai agama komprehensif dan
sejagat, Islam tidak memisahkan antara agama dan politik. Dalam apa juga aspek
kehidupan dan pergaulan, peranan agama tidak boleh diketepikan. Tiada dikotomi
antara kedua-duanya, bahkan politik adalah sebahagian daripadanya. Oleh itu,
sebagai agama komprehensif, Islam boleh berdiri sendiri sebagai mekanisme
politik, menghuraikan pendekatan atau strategi politik untuk mencapai matlamat
agama dan kebenaran. Kita juga harus mengambil perhatian bagi menghasilkan
sistem kehidupan utuh, agama tidak boleh dipisahkan. Secara fitrahnya manusia
mempunyai naluri agama yang tidak terasing. Manusia mempunyai jiwa dan raga;
ada kehendak spiritual dan material. Kedua-dua, ‘jiwa’ dan ‘raga’ serta
spiritual dan material, tidak boleh dipisahkan.
Sebagai negara yang mengiktiraf
kedudukan Islam sebagai agama negara, sudah pasti agama itu mempunyai
peranannya sendiri dalam politik Malaysia. Kita juga tidak boleh menolak fakta
sejarah agama antara faktor utama dalam pembentukan dan pengoperasian parti
politik serta strategi politik tanah air. Ini sepadan dengan hujah penulis
Samuel Huntington (terkenal dengan tulisannya Clash of Civilisations) yang
menyatakan agama menjadi teras budaya dan mempengaruhi setiap aspek dalam hidup
termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Pemisahan antara agama dan
politik sesuatu yang tidak tepat dalam agama dan juga fitrah manusia. Namun,
sifat demokrasi yang diamalkan membuka ruang kepada persaingan politik yang
mengundang kepada pemisahannya daripada agama. Kesannya, sifat agama yang
mendokong prinsip perdamaian, berbaik sangka, toleransi dan perpaduan kini
seolah-olah menjadi perangsang kepada perpecahan. Jika kita berpaut kepada
konsep agama sebenar penyatuan dan perpaduan lebih hampir kepada kita dan
seterusnya garis kegelinciran (seperti istilah digunakan S Huttington) akan
menjauh.
Penulis ialah pakar
undang-undang Perlembagaan UIAM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan