Oleh : NORIZAN ABDUL
MUHID
BERDASARKAN kajian Tingkah Laku
Siber Belia Global yang dikeluarkan Microsoft Corp. mendapati 33 peratus
kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun di negara ini terdedah kepada pelbagai
aktiviti siber termasuk jenayah buli dalam talian.
Malah, melalui kajian yang
dijalankan bermula 11 Januari hingga 19 Februari lalu di 25 buah negara
termasuk Malaysia itu mendapati satu pertiga remaja negara ini pernah menjadi
mangsa buli siber.
Dianggarkan 24 peratus
kanak-kanak dan remaja yang terlibat dalam tinjauan kajian terbabit mengakui
pernah melakukan sesuatu yang dibimbangi oleh ibu bapa termasuk menjadi mangsa
buli dalam talian.
Kajian tempatan mengemukakan
hasil bahawa golongan ini berhasrat berkongsi cerita dan mahu berinteraksi
dengan ibu bapa mereka mengenai isu buli dalam talian namun hanya 27 peratus
daripada ibu bapa yang mahu berbincang dengan anak-anak mereka berhubung aspek
keselamatan khususnya melindungi anak-anak ketika dalam talian.
Presiden Persatuan Psikiatri
Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, golongan terbabit yang terdiri
daripada pelajar memerlukan ruang untuk membincangkan isu-isu termasuk kes buli
dalam talian kerana perlu merasa selamat.
''Bagaimanapun, jika ruang
seperti ini tidak ada, mereka perlu membuat keputusan sendiri dan disebabkan
kurang pengalaman dalam menangani isu dengan cara yang tidak sesuai, secara
tidak langsung memberi masalah psikologi dan mental yang serius pada masa
depan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu
menyertai Rundingan Meja Bulat Masalah Buli Dalam Talian anjuran Microsoft
Corp. yang turut dihadiri Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page),
Datin Noor Azimah Abdul Rahim;
Pengarah Hal Ehwal Korporat,
Malaysia dan Pasaran Baru, Microsoft Malaysia, Jasmine Begum serta Pakar
Psikiatri Hospital Selayang, Dr. Nurulwafa Hussain.
Sehubungan itu, menurut Dr. Abdul
Kadir, ibu bapa seharusnya memainkan peranan lebih utama dan proaktif khususnya
meningkatkan pemantauan terhadap tingkah laku anak-anak mereka berkaitan
sebarang aktiviti siber.
"Penggunaan Internet tanpa
kawalan orang dewasa khususnya ibu bapa meletakkan remaja pada risiko bahaya
seperti dibuli dalam talian, pornografi dan berpotensi mendedahkan maklumat
peribadi kepada pemangsa seksual.
"Pengawasan ibu bapa
merupakan faktor utama melindungi anak-anak mereka terutama dalam mempengaruhi
tingkah laku anak-anak berkaitan isu buli dalam talian ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Page,
Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihaknya bimbang mengenai kekurangan
polisi formal yang berperanan melindungi keselamatan golongan kanak-kanak dan
belia memandangkan mereka terlibat dengan jenayah siber pada usia yang muda.
Menurutnya, tinjauan tempatan
menunjukkan hanya 18 peratus ibu bapa mengajar anak-anak mereka mengenai adab
sewaktu dalam talian dan 13 peratus daripada ibu bapa meminta anak-anak
memaklumkan kepada mereka sekiranya mereka menjadi mangsa buli dalam talian.
Pada perkembangan yang sama,
Jasmine berkata, Microsoft turut mengambil beberapa pendekatan bagi menangani
isu berkaitan buli dalam talian antaranya memperkenalkan kuiz interaktif pada
laman web setiap sekolah agar pendidikan awal mengenai jenayah buli dalam
talian dapat diperluaskan di kalangan pelajar.
"Buli siber atau buli dalam
talian ini boleh dikatakan satu cabaran serta isu serius yang dihadapi seluruh
dunia, dan Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi perkara tersebut.
"Bagi Microsoft, pendekatan
kami adalah dari aspek keselamatan dalam talian dan memupuk warganegara melalui
usaha menyokong literasi digital dan beretika.
"Pada masa yang sama, kita
memberi kuasa kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik dengan alat serta sumber
yang tepat untuk membantu mereka bercakap dengan anak-anak tentang keselamatan
dalam talian," jelasnya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan