Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
DIBANDINGKAN keberuntungan hidup
antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi.
Generasi dulu terpaksa berhempas
pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, sedangkan golongan muda hari ini
menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan, kemudahan dan
modenisasi.
Malangnya, kepelbagaian kemudahan
itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan
perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting.
Justeru, timbul tanggapan mereka
dilabelkan sebagai generasi buta sejarah hingga menimbulkan polemik dalam
masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara
kelak tanpa sikap patriotisme asli.
Persoalannya, apakah faktor yang
menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah kerana lepas tangan atau
proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar
keperluan material.
Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains
Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak
Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan
jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu.
Subjek Sejarah di sekolah yang
hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan
penghayatan sejarah di kalangan golongan muda.
“Fenomena ini menyebabkan
semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat
sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri.
“Mereka membuat penafsiran
sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golongan
berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar dengan pendekatan seperti itu,” katanya.
Isu generasi muda hari ini yang
menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi
mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara
seperti generasi terdahulu.
Keadaan ini menimbulkan polemik
dan kebimbangan di kalangan masyarakat mengenai kecenderungan masa depan
generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti.
Beliau berkata, sejarah mesti
diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata,
sebaliknya perlu dikongsi bersama.
“Malangnya, hanya golongan
tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini manakala
selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya.
“Ini turut menjadikan minat yang
sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda
andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat
mereka juga kurang tepat,” katanya.
Bagaimanapun, itu bukan alasan
terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka
terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah.
“Jika tahu mereka jauh, apa
salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu.
“Jangan pisahkan mereka dengan
sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan perjalanan negara.
Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya.
Ditanya adakah sukar ingin
memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, ia tidak
sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan
baru menerusi pelbagai sumber.
“Mereka boleh memperoleh pelbagai
maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu menggunakan peluang ini bagi
mendekati golongan sasaran.
“Malangnya, hal ini dilakukan secara
bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah
perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap.
“Mekanisme digunakan tidak cukup,
jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.
Katanya, generasi dahulu lebih
prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan.
“Malah, guru dulu sanggup
berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar.
“Bagaimanapun, cabaran dulu dan
kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati diri tapi kini
penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain
materialistik.
“Tapi, jiwa patriotisme juga
mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan generasi cerdik pandai tetapi
buta sejarah negara sendiri,” katanya.
Mahasiswa program Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang
berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak
penting.
Menurutnya, faktor dibesarkan
selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi
penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah.
“Sejarah selalunya dianggap aspek
berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang mendapat tempat
di hati generasi muda.
“Pemahaman kurang jelas juga
menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka
panjang.
“Malah, saya mengakui golongan
muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya.
Rakannya, Emy Nazira Embong
berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek keseronokan mendorong
mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah.
“Biarpun subjek itu diajar,
mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa (belajar) sedangkan
negara sudah mencapai kemerdekaan.
“Tanggapan seperti itulah yang
membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap sejarah tidak penting, padahal
sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan