Selasa, 29 Januari 2013

ISU SOSIAL : Penguatkuasaan elemen utama halang rasuah


Oleh :  Akhbar Satar
 
Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan Transparency International baru-baru ini menunjukkan Singapura adalah negara paling bebas rasuah di dunia. Apakah rahsia atau formula yang menyebabkan negara berkenaan berada di kedudukan itu?

Mengapa di Singapura kita dapati masyarakatnya patuh dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan. Jarang sekali pegawai kerajaan menerima rasuah. Malah orang ramai tidak berani memberi rasuah kerana takut akan dicekup dan didenda serta dipenjara.
Namun, apabila rakyat Singapura melangkah keluar ke Johor Bahru, tingkah laku mereka berubah dan kebanyakan mereka melanggar peraturan termasuk memberi rasuah kepada penguatkuasa.

Penguatkuasaan penting

Dalam hal ini, ahli kriminologi mempunyai dua pendapat yang dikenali sebagai ‘individual vs systemic’ iaitu sama ada faktor penguatkuasaan yang ketat di Singapura menyebabkan rakyatnya dan rakyat Malaysia yang menetapkan di sana mematuhi undang undang atau memang rakyatnya sentiasa patuh kepada undang-undang.

Pada pandangan penulis, faktor ‘systemic’ iaitu kelemahan penguatkuasaan adalah penyebab utama rasuah. Justeru, satu daripada faktor penting untuk menentukan kejayaan dalam memerangi jenayah ialah tindakan penguatkuasaan yang sistematik dan berterusan.

Justeru, penjawat awam perlu mempertingkatkan sifat integriti dalam diri masing-masing. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah.

Sudah menjadi lumrah seseorang yang mempunyai kuasa akan menyalahgunakannya jika tidak diawasi. Oleh itu, jika tersilap langkah dan tidak diawasi setiap masa, berkemungkinan ia boleh memberikan kesan tidak baik kepada organisasi. Negara akan bebas rasuah jika semua peringkat pegawai kerajaan menolak dan melaporkan pemberian rasuah. Jarang sekali pegawai di sini menolak rasuah kecuali mereka yang mempunyai tahap integriti yang tinggi, tidak tamak dan takutkan Allah SWT.

Rasuah yang berleluasa adalah cerminan mutu pentadbiran negara. Untuk berjaya mengurangkan rasuah, kerajaan perlu memastikan SPRM mempunyai bajet yang munasabah. Kajian menunjukkan jika sesebuah negara itu bersungguh-sungguh memerangi rasuah, ia memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada belanjawan.

Selain itu, SPRM perlu mempunyai pegawai penyiasat yang mencukupi, terlatih dan berintegriti. Bagi memantapkan semangat juang pegawai SPRM, kerajaan perlu menitikberatkan kebajikan, esprit de corps dan integriti pegawainya.

Selain tanggungjawab penjawat awam, masyarakat juga perlu memberi sokongan padu kepada sebarang tindakan yang diambil SPRM bagi menurunkan tahap rasuah. Ajukan kritikan yang membina dan rasional jika badan itu dilihat membuat kesilapan. Jangan sampai kritikan yang dilemparkan menjejaskan prestasi dan mematahkan semangat pegawai SPRM untuk bekerja keras.

Kesedaran rakyat

Indonesia adalah negara yang terkenal dengan kadar rasuah yang tinggi tetapi berjaya memperbetulkan situasi yang memalukan itu. Komitmen kerajaan pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono, kebangkitan rakyat dan kebebasan media massa di negara itu banyak membantu kejayaan kerajaan membanteras rasuah.

Lebih menarik ialah rakyat Indonesia sendiri melalui NGO mengutip derma bagi membina ibu pejabat baru Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK). Ini menunjukkan kesungguhan rakyat bersama-sama KPK berusaha memerangi rasuah. Hasilnya Indeks Persepsi Rasuah Indonesia bertambah baik dengan drastik dan naik dari tangga ke-160 ke tangga ke-110.

Kesan paling besar gejala rasuah ialah pentadbiran sesebuah negara boleh menjadi lemah, kucar-kacir dan huru-hara. Kemerosotan ekonomi pula akan menghalang penyertaan pelabur tempatan dan menyekat kemasukan pelabur asing selain kehilangan pendapatan daripada cukai pelaburan.

Di negara kita, komitmen SPRM untuk memerangi rasuah harus dipuji. Bagaimanapun, usaha penambahbaikan perlu diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan usaha memerangi rasuah berjaya.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan