Selasa, 29 Januari 2013

ISU BAHASA : Novel Terapi Jiwa Remaja


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Tempoh remaja adalah proses perkembangan yang bukan sahaja mencabar remaja sendiri, tetapi juga ibu bapa mereka. Inilah tempoh yang memperlihatkan perkembangan dan perubahan aspek fizikal dan aspek mental seperti emosi dan sikap, mula menentukan matlamat dan menggariskan tanggungjawab, serta membentuk pola pemahaman dan pemikiran yang lebih matang.

Tidak sedikit remaja yang berusaha mengatasi cabaran itu dengan cara cuba-cuba. Cara sebegini meninggalkan beberapa kesan, baik yang positif mahupun yang negatif, bergantung pada skala mana kesan itu membina atau merosakkannya. Justeru, bimbingan kedua-dua ibu bapa, guru, rakan sebaya yang positif, agama dan nilai murni budaya, sangat membantu remaja mengatasi kendala cabaran ini dengan baik dan berkesan.

Cabaran remaja masa ini

Ibu bapa tidak mungkin menggunakan pengalaman masa remaja mereka semata-mata untuk mengatasi cabaran remaja masa ini. Zaman sudah berubah dan turut mengubah cara berfikir dan gaya hidup kita semua. Oleh itu ibu bapa harus memanfaatkan peranan guru, rakan sebaya yang positif, agama dan nilai budaya murni bagi membentuk sikap remaja yang bertanggungjawab dan berwawasan.

Satu lagi kaedah yang penting ialah memberi remaja bahan bacaan kreatif yang sesuai. Bahan bacaan ini adalah tambahan kepada buku teks sekolah dan buku latihan yang berkecenderungan akademik.

Sekarang industri perbukuan negara yang membabitkan penerbitan karya kreatif untuk remaja, sedang berkembang pesat. Buku kreatif untuk remaja ini meliputi genre novel dan cerpen terutamanya, juga puisi. Jika kita meneliti buku ini, kita mendapati bahawa teknik penerbitan serta visualnya sudah jauh berbeza dengan buku remaja yang diterbitkan dekad lalu. Visual kulitnya lebih menarik, ada yang disertai dengan tag line di bawah judulnya, dan ilustrasi dalam buku berkenaan juga boleh memikat minat pembaca remaja.

Yang kita perlukan ialah menerbitkan bahan bacaan yang memenuhi kehendak remaja. Jika kita dapat menerbitkan buku seperti ini, remaja yang pada mulanya malas membaca pun akan mula gemar membaca, sebab ada buku yang boleh memenuhi keperluan psikologi mereka.

Eksperimentasi, eksplorasi psikologi

Selain itu ada juga pendapat yang menyebut bahawa lebih baik jika bahasa dan plot dalam karya kreatif untuk remaja bersesuaian dengan kebiasaan yang mereka temui dalam alam realiti, TV, filem dan budaya popular. Pendapat ini percaya bahawa zaman remaja adalah zaman eksperimentasi dan eksplorasi psikologi yang akan menghubungkan mereka ke dunia dewasa yang lebih menyaring dan matang.

Penerbit dan ibu bapa harus melihat empat elemen berikut ketika hendak menerbitkan atau membeli buku kreatif remaja. Pertama, temanya harus sesuai dengan umur remaja serta perkembangan psikologinya, yang secara langsung mendorong minat, membaca dan daya berfikir mereka. Kedua, kandungannya harus berkaitan dengan pengalaman serta isu-isu semasa, yang boleh disampaikan oleh seorang penulis yang lebih matang kepada remaja.

Persoalan sekitar remaja

Ketiga, persoalan dalam karya itu harus bersangkut paut dengan manusia atau isu sekitar remaja seperti kerenah ahli keluarga, orang dewasa, tekanan daripada rakan sebaya termasuk yang berkaitan dengan dadah, seks, mengandung dan penagihan dadah. Selama ini segala isu tersebut mungkin dianggap tabu bagi remaja, hingga menutup akal budi golongan ini. Novel seperti ini sangat berkurangan di negara kita. Jika novel seperti ini ditulis dengan baik dan judul penerbitannya banyak, besar kemungkinan ia boleh memandu remaja untuk tidak membabitkan diri dalam perkara yang tidak bermoral, seterusnya mengurangkan pembabitan remaja Melayu dalam pelbagai masalah sosial di negara kita ini.

Keempat, dalam konteks mempersiapkan minda remaja kita sebagai warga dunia yang lebih besar dan mencabar, kandungan karya kreatif remaja juga harus mendedahkan remaja kepada isu global. Ini termasuklah isu budaya – dengan memahami budaya universal tetapi tidak sampai mengorbankan budaya sendiri yang murni dan positif; isu sosial, isu alam sekitar dan isu politik. Di samping itu harus ditambah dua isu lagi iaitu kepelbagaian gender, serta isu Islam sekular dan ajaran-ajaran yang menyimpang daripadanya.

Kepelbagaian gender

Dua isu terakhir iaitu kepelbagaian gender dan Islam sekular serta segala pengajaran yang menyeleweng daripada Islam murni, harus didedahkan kepada remaja. Dua isu ini tidak boleh diselindungi. Lambat laun mereka akan mengetahuinya. Kupasan isu-isu ini berdasarkan ajaran Islam yang murni dan benar akan mengelakkan mereka daripada gejala LGBT, Islam sekular atau ajaran yang menyeleweng seperti Syiah, ajaran Qadiani, golongan antihadis dan sebagainya.

Ada tema lain dalam novel remaja, seperti pengembaraan, cereka sains dan sebagainya. Semua tema berkenaan adalah wajar, selagi ia dapat memenuhi keinginan seni, intelek, emosi, serta psikologi pembaca remaja. Dengan menggalakkan mereka membaca karya kreatif yang bermutu, kita sebenarnya membuka jendela pembacaan secara bebas dan santai kepada golongan ini – dengan karya yang baik, bernas dan berkesan. Proses itu boleh membantu mereka memperluaskan pengalaman seni, pengetahuan, membentuk manusia yang berfikir dan berjaya dalam kehidupan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan