KUANTAN : Tengku Mahkota
Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah isu kalimah Allah, yang kini
menjadi polemik semasa, perlu ditangani dengan cermat dan tidak sepatutnya
menjadi perbahasan terbuka.
Titah baginda ia perlu dibincang
secara tertutup dalam kalangan ilmuan, ahli agama dan pemimpin politik.
Baginda juga menyeru umat Islam di
negara ini supaya berdiri teguh mempertahan kalimah Allah dan kalimah lain yang
telah dinyatakan tidak boleh digunakan bukan Islam sama ada di media elektronik
atau media cetak.
"Pihak lain seharusnya
mengambil perhatian serta menghormati sensitiviti agama masing-masing agar
kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama tidak tergugat," titah
baginda pada majlis pelancaran dan penyerahan dana Tabung Palestin-Gaza di
sini, Selasa.
Baginda bertitah di negeri
Pahang, larangan penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, apa-apa bentuk
penerbitan sama ada media cetak atau eletronik menggunakan kalimah Allah oleh
orang bukan Islam yang boleh mengelirukan atau memesongkan akidah umat Islam
telah termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan
Islam No. 5 tahun 1989.
"Majlis Fatwa Kebangsaan
dalam Muzakarah ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 juga mengeluarkan fatwa bahawa
kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan adalah wajib bagi umat
Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur
penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut
peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan," titah baginda. -BERNAMA
Nota Hujung :
Pandangan tokoh ilmuan Islam dalam isu ini:
Nota Hujung :
Pandangan tokoh ilmuan Islam dalam isu ini:
"Nasihat saya, perkukuhkan
ilmu dan penghayatan Islam diri dan keluarga masing-masing. Mantapkan
perancangan dan pelaksanaan aktiviti institusi ulama dan jabatan-jabatan
yang menguruskan hal ehwal pembangunan agama Islam. Media hendaklah membantu
menjadikan mana-mana tokoh ilmuwan Islam sebagai role model dan bukan artis.
Hiburan dan budaya hedonisme tanpa objektif kecuali duit dan seronok patut
dikaji semula daripada diberi ruang terlalu banyak di media kerana bagi saya ia
lebih banyak merosakkan umat Islam berbanding kalaupun Kristian menggunakan
nama Allah dalam terjemahan Bible mereka. Kerana Bible-bible ini tidak masuk ke
rumah majoriti umat Islam tetapi TV, radio dan media cetak masuk dan mempengaruhi
setiap hari. Jika itu dapat dilakukan,
apapun dakyah, gerakan Kristianisasi termasuklah isu berkaitan nama Allah akan
sentiasa terkawal dan tidak dapat menembusi daya tahan umat Islam. Jangka
terdekat pula, saya harapkan para ulama dapat sepakat menghalang penggunaan
nama Allah bagi terjemahan God di dalam bible versi Melayu, manakala orang
Kristian pula perlu sedar mereka tidak memerlukan teknik ini untuk menyebarkan dakyah
mereka." (Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan