Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW
TRAUMA dengan pelbagai berita
dalam beberapa minggu ini melibatkan kehilangan kanak-kanak yang ditinggalkan
dalam kereta untuk seketika menjadi satu fenomena yang dapat dirasai oleh semua
rakyat Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku pada hari ini sudah jadi fobia
dan macam berangkai pula kanak-kanak hilang dan yang nyaris hilang.
Situasi ini memberi amaran kepada
kita bahawa komuniti di Malaysia sekarang dalam zon kurang selamat kerana
masyarakat kurang peka dan mula alpa. Di mana sahaja kita berada kini, kita
perlu berwaspada dan berhati-hati sepanjang masa kerana sebenarnya ada banyak
ekor mata yang mengekori pergerakan dan sentiasa memerhatikan kita.
Golongan ini hanya tunggu masa
untuk bertindak. Bertindak bukan sahaja melarikan kanak-kanak malah merompak,
meragut merangkumi segala jenayah yang kita tidak pernah terfikir mereka
tergamak melakukan tanpa memikirkan soal kemanusiaan. Di mana hati nurani manusia
dan di mana silapnya?
Pada pandangan saya, sebagai
rakyat Malaysia, kita perlu tegur-menegur jika kita ternampak insiden yang
tidak kena seperti kanak-kanak yang ditinggalkan dalam keadaan yang bahaya
kepada ibu bapanya. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa juga harus sedia
menerima teguran. Jangan pula yang salah faham dan kecil hati bila ditegur dan
dikatakan menyibuk dan jaga tepi kain orang.
Itulah keluhan yang saya sering
dengar dan akhirnya mereka yang berniat baik ini menjawab biarlah memang itu bukan
urusan kita. Jika semua memberikan jawapan yang sama nanti, bagaimana kita
dapat mencari penyelesaiannya.
Kita memahami perasaan ibu bapa
yang kehilangan anak mereka walaupun beberapa minit, kita sudah tidak keruan
dan jadi tidak tentu hala, apatah lagi kehilangan dah masuk berminggu-minggu.
Sebagai ibu bapa kadang-kadang
kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan alpa seketika kerana
memikirkan hanya sekejap sahaja ditinggalkan tidak akan berlaku apa-apa,
akhirnya kerana beberapa minit itu kita menjadi sengsara. Jika boleh diputar
waktunya, semestinya semua kejadian ini kita tidak mahu berlaku seperti kes
yang pernah berlaku kepada Sharlinie dan Nurin Jazmin.
Kealpaan kita dikejutkan kembali
dengan beberapa insiden tahun ini yang mula memberi amaran kepada kita dan
tidak perlulah pada waktu begini kita salah-menyalahkan lagi atas kecuaian ibu
bapa kerana mereka sudah cukup derita menanggung segala cubaan ini. Apa yang
penting ialah kita perlu ingat-mengingati antara satu sama lain supaya jangan
tinggalkan anak-anak walaupun seketika.
Kehilangan anak dalam sekelip
mata menyentuh jiwa setiap ibu bapa tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Kesepakatan kita bersama turun padang membantu dan mencari seorang kanak-kanak
yang hilang iaitu William Yau Zhen Zhong berusia 6 tahun dan akhirnya segalanya
terjawab dengan penemuan mayat William di Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.
Berat mata memandang, berat lagi
bahu memikul dan hati saya terdetik dan sayu apabila mendapat berita kematian
William sedangkan pada waktu itu saya sedang menaip dalam ruangan ini supaya
menyeru semua pihak turun padang mencari William.
Saya terbayang wajah William
setelah melihat ramai kanak-kanak berbangsa Cina di kompleks beli-belah begitu
sibuk bergembira menanti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan tiba tidak lama
lagi. Bagaimana dengan perasaan ibu bapa William yang sepanjang masa menunggu
panggilan telefon yang mengharap khabar gembira dengan penemuan William yang
dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga akhirnya punah.
Kes Tin Song Sheng yang berlaku
17 tahun lalu juga berlaku sebelum Tahun Baharu Cina juga dan Song Seng belum ditemui
hingga kini. Penantian itu sememangnya satu penyiksaan yang menyakitkan, apatah
lagi jika yang disampaikan berita buruk? Namun ada pihak yang tidak
bertanggungjawab menjadikan kes William sebagai main-main.
Pengerusi Wanita MCA Selangor,
Chew Lee Giok berharap pihak berkuasa memberi peluang dan tidak mencaci ibu
bapa William yang menyesal dan menyedari kecuaian mereka. Semua pihak yang telah
berganding bahu membantu mencari William tanpa mengira bangsa dan agama
mencerminkan negara Malaysia sememangnya mempunyai semangat 1Malaysia.
Kita dikejutkan lagi dengan
insiden di Kemaman kerana sangkaan kita pada waktu malam sahaja yang berbahaya
namun pada waktu pagi dalam pukul 10:30 pagi, sepasang suami isteri yang
berhenti di stesen minyak kerana anaknya yang masih tidur di dalam kereta untuk
ke tandas dilarikan oleh suspek. Nasib baik ada insan bernama Saufi Sukardi
yang mengejar suspek. Sikap Saufi perlu dipuji. Itulah peranan sebagai rakyat
yang sama-sama membantu memerangi jenayah.
Insiden sebegini kita jadikan
iktibar bersama dengan dijadikan garis panduan supaya kita lebih berhati-hati.
Beberapa minggu ini, kita berkesempatan bercuti dengan beberapa perayaan
penting terutama bersama-sama anak-anak kita. Tidak kira ke mana sahaja, kita
perlu berwaspada dan jangan biarkan kanak-kanak keseorangan walaupun hanya
sesaat.
Ayuh! selagi kita mampu, kita
luangkan sedikit masa untuk sama-sama memikirkan cara-cara menangani masalah
jenayah yang semakin menjadi-jadi. Kita sentiasa beringat "Pelanduk selalu
melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk".
Saya simpulkan dengan satu ikatan
kukuh. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan
Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan