KUALA LUMPUR - Polis
membongkar sindiket menggodam e-mel syarikat yang menjalankan transaksi
perniagaan secara atas talian bagi memintas pembayaran secara penipuan hingga
menyebabkan kerugian setakat ini mencecah RM7.3 juta.
Kegiatan itu dikesan sejak 2010 iaitu sindiket menukar nombor akaun
bayaran sesebuah syarikat melalui pintasan e-mel supaya bayaran dimasukkan ke
dalam akaun 'keldai' yang digunakan sindiket itu.
Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
(JSJK) Bukit Aman, DSP Mohamad Lazim Ismail berkata, penipuan itu boleh
menjejaskan imej syarikat yang beroperasi dalam negara yang berdagang secara
telus dengan syarikat antarabangsa serta menyukarkan aktiviti perniagaan
kedua-dua belah pihak.
"Urus niaga perniagaan kedua-dua syarikat melibatkan pembayaran
dalam talian. Malangnya sindiket tersebut telah memesongkan nombor akaun
bayaran sesebuah syarikat itu melalui pintasan e-mel yang dibuat oleh anggota
sindiket atau keldai akaun," katanya kepada Bernama.
Ini mengakibatkan syarikat di Malaysia menuduh syarikat antarabangsa
tidak melakukan pembayaran dan apabila semakan dibuat, kedua-dua syarikat ini
sebenarnya telah ditipu apabila nombor akaun yang dihantar syarikat
antarabangsa kepada syarikat di sini telah pun ditukar, katanya.
Mohamad Lazim berkata, syarikat antarabangsa yang berurusan dengan
syarikat di Malaysia antaranya dari India, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali,
Mexico dan China.
Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan syarikat perlu
sentiasa memastikan setiap e-mel yang dihantar kepada rakan urus niaga mesti
menggunakan kaedah 'encryption' di mana penerima haruslah memasukkan kod
keselamatan untuk membukanya.
"Urus niaga yang dilakukan juga tidak seharusnya dilakukan menerusi
e-mel semata-mata tetapi menggunakan kemudahan lain seperti telefon dan
faksimili," katanya.
"Jadi saya nasihatkan apa-apa pun ikut pendekatan cara tradisional,
setiap perkara yang sudah selesai dibuat, kedua-dua pihak perlu menelefon
kembali untuk bertanyakan kata laluan yang sama dibuat kedua-duanya,"
katanya.
Beliau berkata, bagi awal tahun ini sehingga 15 Januari lepas, tujuh kes
dilaporkan melibatkan kerugian RM907,384.
Mohamad Lazim berkata, sepanjang 2012 sebanyak 32 kes dilaporkan
melibatkan kerugian RM4.6 juta (RM4,636,487.83) berbanding RM960,150 untuk
tempoh 2011 dengan lima kes dan RM800,000 (2010) enam kes dilaporkan.
"Jadi jumlah keseluruhan sejak kes ini mula memasuki Malaysia pada
2010 ia mencatatkan jumlah kerugian RM7,303,871.75 dengan 50 kes dilaporkan.
"Peningkatan angka ini agak membimbangkan dan kami tidak mahu
Malaysia menjadi hab sindiket asing yang kami percaya didalangi warga Afrika,
jadi syarikat tempatan perlu tahu dan mula mengambil langkah berjaga-jaga
supaya tidak tertipu dalam urusan perniagaan mereka," katanya.
Beliau berkata, modus operandi kes penipuan atas talian bermula apabila
syarikat A (syarikat antarabangsa) membuat urusan perniagaan dengan syarikat B
dan pembayaran wang dibuat antara kedua-dua buah syarikat melalui penghantaran
arahan menerusi e-mel.
"E-mel yang dihantar syarikat B mengandungi arahan pembayaran dan
juga nombor akaun bank di mana bayaran sepatutnya dimasukkan, dan dalam situasi
ini sindiket akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel
yang dihantar syarikat B.
"Sindiket akan memasukkan nombor akaun baharu milik mereka tanpa
pengetahuan syarikat B. Apabila syarikat A menerima e-mel tersebut
mereka terus membuat pembayaran seperti dalam arahan e-mel tanpa menyedari nombor akaun tersebut telah
diubah sindiket asing," katanya.
Beliau berkata, syarikat tempatan yang berurus niaga dengan syarikat
antarabangsa kebanyakannya menjual barangan seperti tekstil, bahan kimia, bahan
sejuk beku, bijiran, bawang dan cili kering.
Beliau turut meminta orang ramai atau syarikat yang mempunyai maklumat
berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia JSJK di talian 03-26163972
pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu
pejabat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan