afifi@uum.edu.my / afifirazak@gmail.com
KEJAYAAN peranan antarabangsa
Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik
serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan
dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat prihatin terhadap pelbagai isu dan
konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa.
Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan
konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis
dalam negara.
Di peringkat serantau, Malaysia
telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta
menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di
sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah
terbukti berjaya.
Sebagai contoh, peranan Malaysia
dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina
telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB.
Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses
damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.
Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia
sedang cuba 'menjual' peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang
sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya)
dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya
upaya untuk menjadi 'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin.
Tahniah kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak, atas usaha dan keberanian beliau untuk berusaha
menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang sedang hebat bergolak. Sesungguhnya,
kehadiran Najib pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia
dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang
ditindas oleh rejim Zionis Israel.
Pun begitu, apa yang telah
dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu
episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah
lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status
sebagai sebuah 'negara kuasa pertengahan' (middle power state), cabaran yang
bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin
mencabar dan berliku.
'Negara kuasa pertengahan' ialah
satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan 'besar' dan
bukan 'kecil' tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam
konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan
dirinya menjadi sebuah 'negara kuasa pertengahan'.
Sememangnya, usaha dan peranan
antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan
dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara
aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah
memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah 'negara kuasa
pertengahan'.
Dan sekiranya status ini berjaya
dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan
'negara-negara kuasa pertengahan' yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada,
Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.
Pendekatan Wasatiyyah yang
dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa
sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara
dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal.
Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan
kematian.
Ramai yang pasti bersetuju
sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman
tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua
pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan
serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan
ini?
Dalam hal yang sebegini, bersikap
positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi
kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan
sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.
Realitinya, dalam konteks
pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia
pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan
secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa
kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.
Andaian ini boleh disokong dengan
beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:
(i) Perubahan peranan
misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada 'misi campur
tangan ketenteraan' (military intervention).
(ii) Peningkatan krisis
dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.
(iii) Peningkatan
jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi
bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).
(iv) Peningkatan jumlah
pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.
(v) Peningkatan jumlah
pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika,
Asia dan Amerika Selatan.
(vi) Sokongan kuat sama
ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan
asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan,
Syria dan yang terkini di Mali).
PBB, sebagai badan antarabangsa
yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat
(global governance) pula semakin hari semakin hilang 'taring'nya. Hari ini,
banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB
telah 'diswastakan' kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai
kepentingan yang terselindung.
Misi pengaman antarabangsa pada
hari ini telah hilang sifat collective security dan 'multilateralismenya'. Ia
tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara
tertentu dan berkepentingan di PBB.
Lihatlah apa yang telah berlaku
kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia,
Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal
sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan
berlarutan.
Banyak yang telah ditulis oleh
sarjana-sarjana Barat mengenai sikap negara-negara kuasa besar dunia ini.
Sebagai contoh, Michael Pugh dalam artikelnya 'Peacekeeping and Critical
Theory' (2004) terbitan Jurnal International Peacekeeping menulis mengenai
bagaimana peranan 'New York Orthodoxy' di PBB mencatur perkembangan politik
antarabangsa.
Robert Cox dalam artikelnya yang
bertajuk 'Critical Political Economy' (1995) menulis mengenai bagaimana
institusi kewangan antarabangsa mengatur dan memanipulasi sistem ekonomi
antarabangsa supaya lebih menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan
menjadikan negara-negara lain yang bukan Barat untuk kekal menanggung hutang
yang tinggi.
Mark Duffield pula dalam bukunya
yang bertajuk 'Global Governance and the New Wars: The Merging of Development
and Security' (2001) mengatakan bahawa sebenarnya isu global pada hari ini
bukanlah sangat mengenai isu terrorisme tetapi sebalik isu bagaimana
negara-negara kuasa besar dunia dapat menyuntik fahaman liberalisme dan
demokrasi serta membentuk jaringan konflik yang tidak liberal ke seluruh
pelosok dunia khasnya di negara-negara yang bukan Barat.
Demikianlah sikap 'talam dua
muka' (double-standard) negara-negara kuasa besar dunia terhadap negara-negara lain
dalam konteks politik antarabangsa semasa. Ini sebenarnya menjadi satu cabaran
besar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia untuk menempatkan dirinya
sebagai bakal 'negara kuasa pertengahan' berbekalkan prinsip Wasatiyyah.
Semoga Malaysia berjaya menjadi
sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi
memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada
'ancaman' negara atau pihak yang berkepentingan ini.
PENULIS ialah pensyarah sains politik, Pusat Pengajian
Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia
Sumber
: http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan