Mulai tahun ini, Kementerian
Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan
budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk
Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster
berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas
Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.
"Usaha berkenaan bagi
mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan
melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara
menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.
Selain itu, beliau memberitahu, tahap
kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8
peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus
ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang
dijalankan pada tahun 2012.
''Kementerian mempunyai senarai
kantin dan dapur sekolah yang menerima markah bawah 70 peratus dan mereka ini
diberi perhatian khusus seperti pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa
supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan," katanya.
Beliau turut menegaskan,
mana-mana kantin yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan pihaknya akan
mengenakan tindakan tegas seperti premis mereka disita serta merta.
Pada masa yang sama, katanya,
pada tahun lalu, sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup
kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Kata Ka Siong, antara aspek yang
diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali,
penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga
seperti lipas dan tikus.
Beliau berkata, selain
menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak
digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi
meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan golongan itu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan