Ahad, 6 September 2015

ISU ALAM SEKITAR : Kemungkaran kita terhadap alam


OLEH : MOHD AZMI ABDUL HAMID

SEMEMANGNYA ALLAH menentukan berlakunya sesuatu musibah. Akan tetapi sebab-musabab daripada tingkah-laku kita, tidak mempedulikan kerosakan alam sekitar dan mengkhianati amanah ALLAH sebagai khalifah alam, juga perlu diberi perhatian.

Lihat bagaimana kita berlaku biadab atas nama pembangunan, merosakkan hutan, sungai, pantai, laut, bukit, gunung dan sejumlah flora serta fauna yang diamanahkan kepada kita. Pencemaran air dan udara, keracunan akibat penggunaan bahan kimia yang berleluasa dan penyebaran wabak penyakit. Semua natijah daripada kebiadaban kita 'memperkosa' alam tanpa batas.

Lantaran itu kita menerima akibat sehingga alam turut 'mengamuk'. Atas nama pembangunan yang kita laksanakan, kita telah mengetepikan sensitiviti bumi ini. Ekologi yang cukup seimbang telah kita rosakkan sehingga bencana alam semakin kerap dan merata. Insiden bencana yang semakin kerap seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir besar, tanah runtuh, penghakisan pantai dan kemarau yang berpanjangan adalah petanda keseimbangan alam telah dirosakkan oleh tangan manusia sendiri.

Perhatikan bagaimana kita menggondolkan bukit kita di seluruh negara. Lihat bagaimana kita menebang hampir semua hutan sehingga sistem tadahan air kita musnah. Bukan sedikit kesan pembalakan rakus yang kita benarkan sehingga sanggup menipu diri dengan menggelar adanya pembalakan haram. Sedangkan balak yang dapat dilihat berlori-lori jelas di atas jalan raya tidak mungkin boleh dikata haram kerana ia bukan bergerak secara sembunyi seperti orang menyeludup dadah.

Kini kita semakin melenyapkan hutan tropika kita, bukan sekadar suatu khazanah yang tidak ternilai malah juga sebagai pengimbang alam untuk dunia. Kekayaan fauna dan flora yang tersimpan di dalamnya diiktiraf sebagai hutan yang mempunyai kepelbagaian spesies yang tertinggi di dunia. Kini kita menghadapi kepupusan pelbagai spesies. Persekitaran kita diporak-perandakan tanpa rasional atas nama mengejar gelaran negara maju.

Sungai yang menjadi sebahagian keperluan manusia telah kita tukar menjadi parit-parit besar. Sampah domestik dan sisa buangan industri dalam skala yang sangat besar disalirkan ke sungai sehingga kondisi sungai berada dalam keadaan parah. Sungai mula 'mengamuk' dengan melimpahkan airnya sehingga berlaku banjir besar yang memusnahkan harta-benda dan meragut nyawa, gara-gara kebiadaban kita merosakkan sistem sungai.

Demikian juga keghairahan kita mendirikan ratusan empangan kononnya untuk pembekalan air dan tenaga hidro, ternyata kesannya telah memusnahkan aliran air sungai yang alami. Kita menenggelamkan ribuan hektar tanah yang melibatkan ratusan perkampungan tradisional atas nama pembangunan menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan. Bukan sahaja ia merosakkan mata pencarian penduduk desa, malah menimbulkan pelbagai kesan sosial kepada masyarakat yang menjadi mangsa kepada pembangunan.

Keghairahan kita menggali sumber bumi dan melombong apa sahaja yang ada dalam bumi, tidak diteliti kesannya kepada kestabilan permukaan bumi. Natijah jangka panjang tidak dipedulikan sama sekali. Eksploitasi terhadap apa sahaja yang ada di perut bumi jelas tidak terbatas.

Natijah yang kita terima akibat 'maksiat' ke atas alam adalah himpunan dosa yang nampaknya dibalas dengan pelbagai bencana alam yang semakin kerap dan kronik. Ribut taufan semakin kerap melanda, banjir berlaku pada kadar yang besar dan meluas, tanah runtuh yang terjadi di mana-mana dan hakisan pantai semakin berleluasa.

Kemungkaran kerana kerosakan moral yang dipamerkan oleh segelintir manusia tidak bertamadun di atas Gunung Kinabalu lalu sepatutnya dibanteras dan jangan dibenarkan berulang lagi. Konsep bumi dan alam yang ada nilai kudus tidak ada dalam kamus sistem hidup sekular dalam masyarakat Barat. Akan tetapi merosakkan alam dengan sengaja oleh tangan kita sendiri melalui polisi pembangunan yang kita biaya dan rancang sendiri, juga adalah kemungkaran yang perlu kita banteras.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan