Oleh : REJAL ARBEE
AKHIRNYA setelah lapan anggota
polis termasuk beberapa pegawai kanan terkorban barulah tentera dibenarkan
untuk mengakhiri pencerobohan gerombolan yang mendakwa mereka sebagai anggota
tentera Kesultanan Sulu.
Ramai mengharapkan dengan
tindakan terakhir ini pencerobohan yang jelas menggugat kedaulatan negara itu
dapat dihapuskan. Tindakan yang ditunggu-tunggu ini melegakan perasaan orang
awam, khususnya di kawasan berhampiran pantai timur Sabah seperti Lahad Datu,
Semporna, Tawau dan Sandakan yang berhadapan beberapa kilometer sahaja dari
kepulauan Tawi-tawi dan Sulu.
Gerombolan tersebut mula
menceboroh negara ini di Kampung Tanduo dalam Felda Sahabat, Lahad Datu sejak
11 Februari, menggugat bukan sahaja keselamatan rakyat tempatan, tetapi lebih
serius ceroboh kedaulatan negara ini.
Mulanya mereka tidak ramai tetapi
bertambah kepada lebih 200 orang yang semuanya datang dari beberapa kepulauan
Filipina berdekatan pantai itu.
Tidak pula diketahui apakah
tambahan anggota itu hanya dari Simunul dan Jolo atau terdiri daripada orang
Filipina yang sudah pun berada di kawasan timur Sabah.
Inilah yang menggelisahkan rakyat
tempatan kerana ramai tidak mengetahui siapa mereka itu sebenarnya memandangkan
ramai rakyat Filipina dari kawasan sama seperti Tawi-Tawi dan Sulu sudah pun
menetap di Sabah, malah ada yang sudah pun mempunyai Kad Pengenalan Malaysia.
Jika tidak ditangani dengan baik
ia mungkin akan lebih rumit dan berpanjangan yang mengingatkan kita kepada
pertempuran bertahun-tahun antara puak pemisah Moro dengan tentera Filipina.
Bagaimanapun kenyataan beberapa
pihak yang berasal dari daerah Filipina itu seperti orang Suluk dan Cocos yang
membantah pencerobohan dan menyokong sebarang tindakan pasukan keselamatan untuk
memulihkan keadaan amat melegakan dan dialu-alukan.
Namun timbul persoalan bagaimana
ia boleh berlaku, bagaimana pihak berkuasa mulanya tidak memandang pencerobohan
itu sebagai serius.Alih-alih jumlah mereka sudah lebih 200 orang walaupun
kepungan telah dilakukan di sekeliling Kampung Tanduo. Mereka boleh pula
menembak dengan roket. Dari mana mereka peroleh senjata itu?
Panglima Angkatan Tentera,
Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, mereka ini semuanya adalah
pertempur veteran (combat veteran) selain mempunyai taktik serangan gerila yang
baik, bukannya orang biasa yang tidak pernah mengangkat senjata.
Mulanya pihak polis berkata
mereka ini masuk sebagai nelayan. Persoalannya kalau nelayan apakah pihak
imigresen atau kastam tidak perlu memeriksa mereka? Boleh pula membawa roket dan
pelancarnya?
Nampaknya perjalanan ulang-alik
tanpa sebarang sekatan adalah perkara biasa di perairan di situ selama ini dan
tentunya laluan itu begitu mudah dibolosi serta dimasuki sesiapa saja walaupun
tidak mempunyai sijil perjalanan sah?
Hanya apabila berlaku pertempuran
dan anggota polis terkorban barulah nampak ada sedikit kesungguhan untuk
mengepung dan menghapuskan gerombolan mencemaskan itu.
Dikatakan kita mahu berunding
supaya tidak berlaku pertumpahan darah. Memang niat kita baik tetapi kita tidak
mempunyai maklumat yang betul mengenai gerombolan itu.
Dari awal lagi mereka ini dengan
mendapat arahan daripada orang yang menggelar dirinya sebagai waris sebenar
kesultanan itu tidak mahu berkompromi daripada desakan tidak masuk akalnya mahu mengambil kawasan yang didakwa menjadi milik kesultanan itu.
Semua ini mungkin salah kita juga
apabila mengiktiraf orang ini sebagai waris kesultanan - mula memberi sagu hati
kepadanya sejak zaman Tunku Abdul Rahman dahulu ketika Malaysia hendak
ditubuhkan pada September 1963.
Sebenarnya sudah tiba masa kita
membatalkan saja pemberian sagu hati itu yang seolah-olah memberi pengiktirafan
bahawa beliau adalah waris sebenar Kesultanan Sulu walhal masih terdapat
beberapa lagi waris kesultanan itu yang mendakwa mereka adalah waris sebenarnya.
Kita sepatutnya mengikut apa yang
dilakukan kerajaan Filipina yang tidak langsung mengiktiraf kesultanan itu
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan