Jumaat, 10 Februari 2012
ISU SOSIAL : Mengapa Melayu semakin layu?
Oleh : Dr. Sidek Baba
Isu Melayu dibicarakan sejak sebelum merdeka lagi. Munshi Abdullah dalam tulisan dan tanggapannya menyatakan orang Melayu ini malas, suka berlipur lara, suka membuang masa dan gemar bercinta. Pendeta Zaaba sering membicarakan isu Melayu dalam tulisan dan pemikirannya.
Selepas merdeka Datuk Senu Ab Rahman dalam buku Revolusi Mental mengupas masalah orang Melayu yang perlu berubah. Tun Mahathir dalam bukunya Dilema Melayu juga memberi analisis tentang orang-orang Melayu dan pada akhir kepimpinan sebagai perdana menteri, Tun Mahathir menyebut “Melayu mudah lupa“.
Ada dua ekstrem dilalui oleh orang Melayu sejak merdeka. Kemerdekaan yang diperjuangkan menyebabkan orang Melayu bersatu dan banyak pengorbanan dilakukan atas nama ingin merdeka. Ekstrem kedua ialah kelompok agamawan yang mengambil pendekatan tradisional dalam memahami maksud beragama, cuba terjemahkannya dalam sistem melalui syarah dan retorika serta amat sedikit menghasilkan Islam dalam bentuk model alternatif. Umat Islam masih menjadi pengguna setia terhadap produk Barat baik dalam ilmu, budaya hidup, sistem, ekonomi dan teknologi.
Ibn Khaldun dalam Cyclical Theorynya mengenai turun-naik tamadun menyatakan proses perubahan sering mengalami suatu puncak yang membawa kepada kemerosotan nilai tamadun dan menyebabkan kedatangan tamadun baru yang lain. Akibat proses mengisi kemerdekaan yang tidak sepenuhnya diisi berpandukan etika dan nilai, menyebabkan ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan terjadi. Ia menyebabkan elemen tidak puas hati dan penentangan berlaku. Bila kesedaran keagamaan meningkat dan dalam masa sama faham liberal dan sekularisme tidak banyak berubah, menyebabkan konflik antara kelompok terjadi.
Telah sekian lama orang-orang Melayu dibelenggu mentaliti subsidi. Hak istimewa sepatutnya memberi dorongan untuk Melayu maju dan berdaya saing, tetapi hilang kreativiti dan tidak mampu berdaya saing dengan orang yang tidak ada hak istimewa. Lalu ekuiti orang Melayu masih belum mampu melepasi paras 20 peratus.
Walaupun dasar hak istimewa ini melahirkan ramai kelompok menengah Melayu, tidak ramai bersyukur dan bantu pula orang lain untuk maju dalam bisnes. Hasad dengki masih menjadi amalan orang-orang Melayu.
Akibat proses perubahan sosial yang terdorong atas asas kebendaan dan kenafsian, lahirlah generasi muda yang hilang pedoman atau berlagak ekstrem. Isu kerosakan moral, salah guna dadah, buang bayi, kadar perceraian tinggi, merempit, memiliki emosi penentangan dan anti status-quo yang relatif tinggi adalah faktor Melayu semakin layu.
Berfikir simplistik, membina persepsi negatif terhadap orang lain, kurang berusaha dan tiada daya kompetensi, berlagak kebendaan dan mementingkan diri sendiri, sikap ambil mudah dan rasa secukup hidup, terlalu sukakan hiburan dan diulit emosi serta diri dengan cerita-cerita seram, tahyul dan hantu adalah antara hal-hal negatif yang membawa kemunduran berfikir dan bertindak orang-orang Melayu. Ia tidak membawa kepada ketinggian akal budi insan dan jauh lagi untuk membina peradaban.
Oleh itu orang Melayu perlu melalui proses tajdid atau transformasi di segenap peringkat. Ia harus bermula pada tahap keluarga supaya pendidikan anak-anak berlaku dalam fitrahnya. Membenarkan keciciran berlaku dalam keluarga menyebabkan anak-anak bakal cicir di sekolah dan dalam masyarakat. Tahap awal persekolahan pendidikan adab dan etika harus dijadikan keutamaan.
Hari ini banyak masa dan belanja terbuang kerana di satu pihak ingin menyuburkan kebaikan dalam masyarakat dan sistem tetapi dalam masa sama ketidakbaikan juga subur dan menyebabkan generasi muda menjadi celaru dan keliru. Keadaan sebegini menyukarkan pembentukan jati diri generasi muda. Kita sering bercakap tentang natijah akhir (the end result) tetapi kurang merenung akar-sebab (the root causes).
Faktor Islam dalam pendekatan wasatiah atau sederhana perlu dijadikan agenda dalam proses pembangunan dan perubahan. Globalisasi yang datang sedang mengukuhkan faham kapitalisme baru, faham liberal dan neo-liberalisme yang cuba menafikan peranan agama sebagai sumber pedoman dalam kehidupan.
Pendekatan wasatiah bukan bermakna kita menolak prinsip-prinsip yang Islami. Pendekatan berimbang ini amat sesuai menghadapi realiti kini. Ia menuntut sikap kreatif dan proaktif umat Melayu memikir, mengolah dengan bijaksana supaya perubahan terjadi di segenap tahap tetapi sifatnya patuh-syariah (syariah compliance) tetap dijadikan pedoman.
Ia akan terjadi sekiranya orang-orang Melayu terbentuk dalam acuan modal insan integratif. Sikap dan mentaliti orang-orang Melayu harus dibentuk dengan acuan integratif dan Islami. Maka barulah tasawwur atau pandangan semesta orang-orang Melayu akan berubah.
Jika ia terjadi, bakal berlaku perubahan sosial (social engineering) yang sifat menyumbang terhadap kepimpinan dan kepengikutan. Umat Melayu harus reflektif terhadap tamadun Islam, bukannya nostalgik terhadap sebahagian budaya Melayu yang mengekalkan budaya primitif yang menjadikan kita mundur.
Sumber : http : //www.sinar.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan