Rabu, 20 April 2011

ISU BAHASA : DBKL langgar dasar bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR 19 April – Kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan undang-undang penggunaan bahasa kebangsaan di premis komersial di ibu kota bercanggah dengan dasar bahasa kebangsaan.

Setiausaha 1 Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu mematuhi dan melaksanakan setiap tindakan dengan berpegang kepada Perlembagaan Negara.

“Kerajaan tidak mengamalkan dasar pelbagai bahasa kerana Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Justeru DBKL sebagai PBT yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Perlembagaan Persekutuan perlu tegas menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu termasuk dalam segala bentuk iklan, nama tempat dan bangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah menegur sikap DBKL yang acuh tak acuh dalam menggunakan bahasa kebangsaan apabila semakin banyak premis komersial termasuk nama kedai dan bangunan di Kuala Lumpur menggunakan bahasa Inggeris.

Perkara itu turut disokong Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali yang turut menggesa PBT itu bertindak lebih tegas terhadap penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan itu.

Dalam pada itu, tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berpendapat saranan itu tepat pada masanya memandangkan ia juga adalah luahan hati pakar-pakar bahasa yang lain.

Sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan itu, Nik Safiah berkata, bukan sahaja DBKL malah semua badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk meluluskan dan membenarkan permohonan seperti nama bangunan, nama tempat dan nama jalan perlu prihatin untuk menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan