Masyarakat perlu lahirkan generasi muda seimbang rohani, jasmani seiring perubahan zaman
KINI masalah sosial amat ketara dalam masyarakat kita. Saban hari ada berita kanak-kanak didera, gadis dirogol dan remaja terbabit pelbagai salah laku. Di samping itu, jumlah penagih dadah semakin meningkat dan kes pembuangan bayi sampai ke tahap menggerunkan. Banyak juga perkara ini berlaku di kalangan orang Islam sehingga kita tertanya-tanya apakah menyebabkan mereka berbuat demikian.Yang sering ditanya kebanyakan orang ialah: “Apakah yang sedang berlaku kepada masyarakat kita hari ini? Apakah ini kesan kemajuan?” Pada hemat saya, persoalannya lebih kompleks daripada itu. Memang diakui masyarakat kita sudah berubah daripada pelbagai segi, antaranya cara hidup, sistem nilai yang dipegang dan institusi sedia ada seperti keluarga dan perkahwinan.
Agak relevan juga jika diteliti siapakah terbabit dalam tindakan yang dianggap sebagai masalah sosial ini. Sebenarnya tidak ada kelompok tertentu. Dalam kes penderaan kanak-kanak, yang melakukan perbuatan kejam itu ialah orang dewasa daripada bapa tiri hingga kekasih si ibu. Siapakah pula yang merogol? Jawapannya juga orang dewasa, daripada bapa tiri kepada bapa sendiri, abang, sepupu hingga bapa saudara dan datuk mangsa.
Yang mendera isteri sudah semesti lelaki dewasa. Yang membawa jangkitan HIV/Aids kepada isteri juga lelaki yang bergelar suami. Demikian juga, wanita bergelar ibu yang pandai melahirkan anak tetapi tidak sanggup menjaga dan memelihara mereka dengan baik selepas melahirkan. Mereka juga orang dewasa. Wanita yang membabitkan diri dengan penagihan dadah dan kemudian mewariskan gejala penagihan itu kepada anak dalam rahimnya juga wanita dewasa.
Jika dilihat beberapa kegiatan sosial lain pula, pelakunya ialah remaja termasuk merempit, buang bayi, penagih dadah dan minuman alkohol. Jumlah remaja terutama lelaki yang menghuni pusat serenti amat besar dan gadis yang hamil di luar nikah juga semakin meningkat, begitu juga gadis yang lari dari rumah mengikut kekasih sama ada teman senegara atau orang asing.
Banyak sebab sudah diutarakan untuk menerangkan mengapa masalah sosial begitu menonjol pada masa ini. Sebenarnya tidak ada satu sebab khusus mewujudkan keadaan ini, tetapi nampaknya ia timbul akibat beberapa faktor.
Satu antara sebab yang kerap dikemukakan ialah ketiadaan ajaran agama yang mantap dan mencukupi. Dalam kajian dibuat beberapa pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap remaja di beberapa pusat tahanan, ramai mengatakan mereka tidak tahu dan tidak pernah sembahyang lima waktu.
Ibu bapa mereka tidak menjadi model cara hidup Islam seperti tidak pernah sembahyang berjemaah bersama keluarga. Walaupun mereka pernah mengikuti mata pelajaran agama di sekolah, kebanyakannya tidak dapat mempraktikkan ilmu yang diajarkan.
Sesetengah pihak pula menyalahkan media massa. Ada juga kebenaran hal ini. Pelbagai mesej, baik dan buruk diterima melalui program dan filem yang disiarkan melalu televisyen dan panggung wayang. Kewujudan video lucah membawa banyak kesan buruk terutama terhadap remaja yang memang suka mencuba.
Pengaruh budaya asing yang datang melalui pelbagai saluran media tidak serasi dengan jiwa Timur masyarakat kita dan ini meruntuhkan sistem nilai sedia ada, diganti dengan nilai baru seperti sifat individualisme dan materialistik.
Di sekolah pula kekurangan guru lelaki menimbulkan pelbagai kesan buruk, misalnya menurunnya disiplin pelajar dan tiada contoh yang sesuai bagi pelajar lelaki. Suasana pembelajaran tidak memuaskan juga disebut antara faktor yang menyumbang kepada masalah sosial.
Sistem pendidikan menekankan kejayaan akademik semata-mata yang menyediakan pelajar untuk lulus peperiksaan tetapi tidak untuk hidup dan bukan membina peribadi sempurna serta menyeluruh gagal menghasilkan lulusan yang cergas, cerdas dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, banyak yang tidak kena dengan masyarakat kini yang jika tidak ditangani, akan membawa kepada situasi lebih teruk. Agak senang jika kita menuding jari kepada kerajaan dan menyenaraikan pelbagai langkah untuk dilaksanakan. Dengan demikian, kita meletakkan kesalahan seluruhnya di atas bahu kerajaan.
Namun, secara ikhlas yang bertanggungjawab bukan kerajaan semata-mata. Kita sebagai ibu bapa mempunyai tanggungjawab tertentu terutama dari segi melahirkan anak yang apabila dewasa kelak, mempunyai peribadi sempurna, kukuh, mulia dan bertanggungjawab. Jika remaja kini tidak mempunyai asas agama yang kukuh, maka ibu bapa patut memainkan peranan masing-masing dibantu institusi yang relevan seperti sekolah, jabatan agama, alim ulama dan pemimpin masyarakat.
Ada keluhan yang mengatakan cara kita memperkenalkan bidang agama tidak menarik bagi remaja. Mungkin hal ini perlu diteliti pihak berkenaan. Apakah benar kita hanya menekankan aspek ritual dan hafalan semata-mata dan tidak memperlihatkan kepentingan mengaitkan ajaran agama dengan kehidupan harian? Perkara ini penting kerana sudah ada kecenderungan di Barat untuk menganggap agama sebagai tidak relevan lagi dalam dunia serba moden ini.
Selain ibu bapa, sistem persekolahan perlu menilai kembali pendekatan mereka dan membuat penyesuaian supaya lulusan yang dilahirkan sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam negara dan mereka dapat memikul tanggungjawab dalam dunia yang sudah berubah.
Akhir sekali, hakikat bahawa masyarakat kita sudah dan sedang berubah dengan amat pesat tidak boleh dilupakan. Malaysia bukan saja mengalami perkembangan ekonomi dan sosial yang menakjubkan, tetapi masyarakat kita turut mengalami perubahan yang mengejutkan. Dalam masa yang singkat kita berubah daripada masyarakat pertanian kepada perindustrian yang berasaskan kemajuan sains dan teknologi.
Kejutan sedemikian semestinya meninggalkan kesan. Namun, jika kita pandai dan bijak menangani kejutan ini, kestabilan akan dicapai. Kita berdoa semoga retak yang sedang berlaku akan dapat dibaiki tanpa meninggalkan kesan terlalu membimbangkan. Namun, jika tidak ditangani segera dengan tabah, retak boleh menjadi belah.
Penulis ialah Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan