Ahad, 16 Mei 2010

MEMBAHARUI MARTABAT, TUGAS GURU

Oleh : Dr Aminuddin Mansor

Tanggal 16 Mei ini adalah sambutan Hari Guru yang juga dikenali sebagai pendidik. Di bahu gurulah tergalas amanah untuk melahirkan generasi terbilang. “Guru Pembina Negara Bangsa’ sebenarnya memberikan suatu pengiktirafan yang tinggi dan berterusan kepada kerjaya ini. Tanpa guru siapalah kita hari ini. Guru hari ini mestilah berusaha memperbaharui kembali martabat dan memurnikan tugas mereka.

Jika dahulu, guru amat dihormati dalam masyarakat. Pada masa itu gurulah yang menjadi imam, pengerusi badan-badan kebajikan di sesebuah kampung, orang penting dalam melaksanakan sesuatu kerja. Walau bagaimanapun, pada masa kini, guru tidak lagi memainkan peranan tersebut. Peranan dan tugas tersebut telah diambil alih oleh mereka yang diberikan secara khusus untuk melaksanakan tugas tersebut seperti imam dan sebagainya.

Guru mendidik generasi remaja dan belia pada masa kini untuk menjadi pemimpin negara dalam jangka 50 tahun akan datang. Begitulah besarnya tugas dan peranan pimpinan guru, Tanyalah kepada sesiapa sahaja pemimpin politik, Perdana Menteri, menteri dan juga penjawat awam atau sesiapa sahaja yang berada di puncak kejayaan. Segala-galanya bermula daripada pendidikan seorang guru di Tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan di universiti yang mencurahkan jasa dan bakti tanpa henti.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan dan generasi muda yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global, pelbagai inisiatif diberikan kepada golongan guru untuk membolehkan mereka mendidik pelajar menjadi lebih kompeten dan kompetitif pada masa akan datang. Guru terus memikul tanggungjawab untuk menjana generasi muda yang bermaruah, maju dan berdaya saing.

Justeru, guru akan terus menyumbang tenaga dan bakti terhadap pembentukan akal budi dan sahsiah diri pelajar. Mereka juga memikul dan melaksanakan amanah mendidik anak bangsa menjadi generasi yang berjiwa besar. Selain itu, guru mencurahkan ilmu dan mengasah kemahiran pelajar serta sentiasa menerapkan elemen perpaduan dalam kalangan pelajar. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah pengetahuan tetapi dapat mendidik akal dan perbuatan ke arah kebaikan.

Guru juga berperanan sebagai jurutera insan. Melalui pendidikan dan pengajaran guru dapat membina insan yang berilmu dan bertakwa. Sebagai insan, gurulah yang mendidik jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah keseimbangan yang diperlukan dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang. Kata-kata; “Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”, mengingatkan kita supaya berguru dengan guru secara serius dan sungguh-sungguh serta menuntut ilmu sehingga habis. Ilmu yang tidak sempurna dituntut tidak ada faedahnya.

Ada lagi, pepatah bidalan dan perumpamaan tentang guru yang diperingatkan orang tua-tua dahulu melalui pengalaman dan pemerhatiannya. Antaranya, “Guru kencing berdiri; murid kencing berlari.” Yang membawa maksud, murid akan ikut perangai guru yang buruk. Sementara ada juga kata-kata, “Guru makan berdiri, murid makan berlari.” Yang bermaksud, murid itu selalu mencontohi perbuatan guru, terutama yang buruk.

Lantaran itu, para guru mestilah sentiasa menjaga perangai dan kelakuan mereka. Ingatlah, perangai dan kelakuan yang buruk akan menjadi ikutan murid. Dalam pada itu, guru wajar mempertingkat dan menambah ilmu dan meningkatkan keimanan bagi menjadi ikutan yang baik kepada murid-muridnya.

Pengajaran daripada nasihat, teguran dan perbuatan guru yang baik akan menjadi teladan kepada murid atau pelajarnya. Guru juga mestilah mengamalkan budaya positif dalam setiap perlakuan dan perbuatannya. Melalui bahasa yang baik, penuh mesra dan kasih sayang, gaya hidup sihat dan personaliti yang baik akan menjadi ikutan kepada murid dan pelajar.

Guru yang baik akan sentiasa menggunakan komunikasi yang berkesan, pengurusan masa dan diri yang baik, membina hubungan berkualiti dengan murid dan ibu bapa, mempunyai daya kepimpinan yang unggul, mempunyai penampilan diri berkualiti dan sedia menghadapi apa juga cabaran semasa dan akan datang. Selain itu, guru juga mestilah penyayang, simpati, dan memahami keadaan muridnya.

Bagi kebanyakan guru, tiada hadiah yang paling berharga dan bermakna buat mereka kecuali pelajar yang dididik berjaya dalam setiap bidang yang diceburi dan menjadi manusia yang sentiasa beriman dan berakhlak.

Segala jasa dan pengorbanan guru yang dicurahkan semuanya dilakukan dengan ikhlas dan tidak pernah mengharap sebarang balasan. Mereka hanya mengharapkan balasan, pelajar yang dididiknya menjadi manusia yang berguna, berjasa dan beriman serta dapat berbakti semula kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Natijah daripada usaha memperbaharui martabat dan tugas guru akan dapat memberikan nilai baharu kepada setiap guru. Sanjungan masyarakat akan meningkat seperti guru dahulu. Guru juga akan dapat menjalankan tugas dengan sokongan ibu bapa dan masyarakat ke arah membina negara bangsa yang membangun dan bersatu padu.

Penulis ialah penyair, bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan