AL-QURAN mengajak kita berfikir. Allah menekankan bahawa jalan mengenal-Nya dan menghayati Islam adalah dengan menggunakan potensi akal yang amat berharga. Khazanah kebijaksanaan Tuhan di dalam Al-Quran hanya akan dapat digali jika kita menggerakkan potensi berfikir melalui penguasaan ilmu.
Konsep ilmu dalam Islam tidak pernah terpisah hubungannya
daripada hal ketuhanan. Dengan bertambah ilmu, hubungan kita seharusnya semakin
dekat dengan Allah swt. Ketakwaan, akhlak dan peribadi kita harus bertambah
baik.
Seluruh ilmu itu berpunca daripada-Nya.
Allah berfirman: 'Dia (yakni Allah) mengajarkan manusia apa
yang tidak diketahuinya.' - Al-Alaq: 5.
Pendekatan Al-Quran dan sunah Nabi saw lazimnya mendorong
kita memiliki pemikiran kritikal dan suka bertanya perkara yang tidak
diketahui.
Nabi saw pernah bersabda: 'Sesungguhnya penawar bagi
kejahilan adalah untuk kamu bertanya.' (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah).
Jelasnya, ilmu bukan bermakna kita mengambil maklumat
semata-mata daripada seseorang individu, buku, majalah, Internet atau daripada
wadah lain. Tuntutan ilmu harus disokong dengan proses menganalisis, bertanya
dan ada kalanya mempersoalkan kandungan pelajaran yang kita terima.
Tujuannya supaya kita benar-benar pasti dan jelas akan
kandungan ilmu yang diterima agar terbit keyakinan tanpa ragu.
Jika ditinjau sejarah para Anbiya, mereka tidak pernah
terlepas daripada budaya berfikir dan bertanya.
Dalam surah Al-Kahfi misalnya, terdapat kisah perjalanan
Nabi Musa as dengan Nabi Khidir as. Baginda mempersoalkan beberapa tindakan
Nabi Khidir as.
Kisah ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi Khidir as
dikurnia keistimewaan ilmu, ia tidak menghalang Nabi Musa as daripada bertanya
dan meminta penjelasan.
Begitu juga dengan kita. Dengan aliran maklumat yang tidak
terbatas pada hari ini seperti Internet dan lain-lain wadah media baru, kita
dan keluarga lebih terdedah kepada pelbagai aliran pandangan - suatu yang tidak
dapat kita elakkan. Kita perlu membiasakan diri bertanya dan mendapatkan
kepastian akan ketepatan maklumat yang diterima.
Bahkan ada ketikanya kita perlu mendapatkan pendapat berbeza
daripada sumber yang berlainan agar segala maklumat yang diterima akan
memperkayakan pengetahuan kita dan dijadikan panduan dalam mengatur kehidupan
kita dengan lebih baik dan sempurna.
Dalam bersikap suka bertanya dan berfikiran kritikal, usah
pula ia menjadikan kita sombong dan angkuh. Contohnya, andai kita terlibat
dalam sesuatu diskusi atau forum, pastikan kita mengikut etika tertentu.
Antaranya:
1. Bersedia dan sabar apabila idea dan cadangan kita tidak
diterima, walaupun mungkin kita berasa ia yang terbaik dan perlu diteruskan.
2. Rendah hati dan jujur ketika mengetengahkan pandangan dan
cadangan demi sesuatu kebaikan, bukan sombong dan inginkan pujian.
3. Andai cadangan orang lain diterima, kita harus berasa
syukur kerana ada idea dan pandangan bernas demi kepentingan bersama. Andai
cadangan orang lain yang diterima itu bukan yang terbaik pada hemat kita,
bersangka baiklah kerana mungkin ada hikmat.
Ringkasnya:
Konsep ilmu dalam Islam tidak terpisah daripada hal
ketuhanan. Dengan bertambah ilmu, hubungan kita dengan Allah swt seharusnya
semakin rapat.
Tuntutan ilmu harus disokong dengan proses analisis,
bertanya dan bahkan mempersoalkan kandungan pelajaran supaya yakin dan jelas
akan ilmu yang diterima.
Berfikiran kritikal, tetapi usah sombong dan angkuh.
Semoga kita menjadi masyarakat yang kukuh beragama, cintakan
ilmu pengetahuan dan mampu memberi sumbangan kepada semua.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan