OLEH : HASAN AL-BANNA MOHAMED
"Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku, bila ku berduka, engkau
hiburkan selalu. Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku..." Begitulah antara
lirik sebuah lagu yang didendangkan kebanyakan mereka yang semestinya mempunyai
ibu.
Tiada di dunia ini melainkan wajib mempunyai seorang ibu,
walaupun ada juga ayahnya tidak dikenali atau belum ditemui. Besarnya jasa ibu
tidak dapat dinafikan lagi.
Ibulah segala-galanya yang berperanan sebagai guru,
pendidik, penglipur lara, pencerita, dan segala macam lagi watak yang
dimainkannya walaupun dia seorang buta huruf yang tidak pernah menginjakkan
kakinya ke alam menara gading.
Pada Mei setiap tahun, kita meraikan sambutan Hari Ibu dan Hari
Guru. Ini bertepatan dalam mengingati jasa ibu sejak kehamilan sehinggalah
individu itu tiada di dunia ini. Ibulah sebenarnya menjadi teman suka duka
seseorang insan.
Benarlah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa
makhluk yang paling layak untuk melahirkan sifat kasihan belas dan kasih sayang
adalah ibu kita sendiri.
Dalam Shahih Bukhari diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang
menerangkan bahawa penegasan Rasulullah SAW sebanyak tiga kali untuk berbuat
baik kepada ibu, selepas itu barulah kepada bapa. Malah keredaan dan kemurkaan
ALLAH SWT terletak di bawah lembayung keredaan dan persetujuan ibu bapa kita
sendiri (Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim).
Kitab suci al-Quran memberi suatu panduan yang jelas
mengenai berbuat baik kepada ibu bapa seumpamanya melalui Surah Luqman, ayat 14
yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan
kepada kedua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali
(untuk menerima balasan)."
Jelaslah bahawa Islam amat menekankan sifat hormati ibu bapa
sejak dari kecil lagi. Hayatilah firman ALLAH SWT tersebut dalam diari hidup
seharian insan, agar terbentuk generasi anak soleh dan solehah.
Tanggungjawab besar
Dalam Surah al-Ahqaf, ayat 15 yang turut membicarakan
mengenai hak seorang anak terhadap ibu mereka yang bersusah payah menjaganya
sejak dalam perut sehinggalah dilahirkan ke dunia fana ini.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah
payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa
yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,
berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap
bersyukur akan nikmat mu yang engkau kurniakan kepada ku dan kepada ibu bapa
ku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan
jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan ku.
Sesungguhnya aku bertaubat kepada mu, dan sesungguhnya aku daripada orang Islam
(yang tunduk patuh kepada mu)’.
Secara tuntasnya bahawa peranan seorang anak terhadap ibu
bapa mereka adalah meliputi dua tanggungjawab besar yang wajib ditunaikannya
sama ada ketika mereka masih hidup dan setelah tiada di dunia.
Ketika hidup, berbuatlah sebaik mungkin kepada mereka dengan
sentiasa bertanya khabar berita di kampung melalui pelbagai media elektronik
dewasa kini. Bukan hanya setakat itu sahaja, berbual dan berbicaralah selembut
bahasa yang termampu seolah-olah ombak rindu yang membadai jiwa.
Di samping itu, berilah wang keperluan kepada kedua ibu bapa
yang berkemungkinan dapat menghiburkan sedikit hati naluri yang lara. Jagalah
mereka sebaik-baiknya walaupun ia tidak sama dengan jagaan mereka terhadap kita
semasa kecil dahulu. Sebutkanlah nama mereka dalam doa seharian anda tatkala
melafazkan: "Ya ALLAH Wahai Tuhan kami, ampunilah segala dosa kami dan
dosa kedua ibu bapa kami. Dan limpahi rahmat kepada kedua mereka seumpama
mereka memelihara ku semasa diri ku masih kecil."
Sekiranya ibu bapa meninggalkan anda buat selama-lamanya,
maka janganlah lupa hak dan tanggungjawab yang kedua terhadap mereka, iaitu
hendaklah sentiasa berdoa demi kesejahteraan mereka di alam sana. Dengan ayat suci al-Quran yang dibaca semoga dicucuri rahmat buat kedua-dua ibu bapa.
Tunaikanlah setiap hutang piutang mereka, lunaskan nazar
yang tidak sempat dilaksanakan ketika mereka hidup, jangan putuskan hubungan
silaturahim antara rakan mereka, gantikan puasa bagi mereka serta lakukan rukun
Islam yang kelima iaitu ibadat haji buat kedua-dua ibu bapa kita sekiranya
mampu.
Semoga anda tidak tergolong sebagai anak derhaka yang
dipanggil Si Tanggang yang penuh dengan noda, sama ada dosa kecil (az-Zunub)
atau dosa besar (al-Kaba’ir). Sesungguhnya anak yang tidak menghormati dan
mentaati ibu bapa adalah anak derhaka yang sukar untuk menjejak kaki masuk ke
syurga. Ini kerana syurga sudah pasti berada di bawah telapak kaki ibu.
Ibu bapa kedua
Merujuk kembali sempena sambutan Hari Ibu dan Hari Guru yang
kini disambut seluruh rakyat di negara ini, sebenarnya masih tidak mencukupi
sekadar mengucapkan "Selamat Hari Ibu" dan "Selamat Hari
Guru", atau sekadar mengadakan jamuan dan hiburan dengan memberikan hadiah
sahaja.
Sebagai anak sejati ataupun anak didik, perlu menunjukkan
sikap yang lebih baik daripada itu kerana guru adalah ibu bapa kedua ketika
berada di sekolah. Sehubungan itu, anak soleh dan solehah seharusnya menanamkan
semangat waja dalam mempelajari ilmu pengetahuan serajin yang mungkin bagi
membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dan guru.
Tuntutlah ilmu dengan seikhlas hati, hormati dan taati
segala suruhan dan perintah yang mahmudah (selagi tidak menyalahi syariat
Islam), jauhi sifat mazmumah (keji) dalam hidup, jangan lupa solat dan amalan
yang diperintahkan ALLAH SWT dan rasul-Nya. Dengan keberkatan dan kerahmatan
Ilahi, anak bangsa semua pasti memperoleh ganjaran terbaik suatu masa nanti
hasil didikan daripada ibu bapa dan guru yang ikhlas menunaikan amanah yang
berat ini.
Perkara yang menjadi dugaan buat masa kini adalah cabaran
menangani era globalisasi dan amalan hedonisme yang melanda kebanyakan anak
muda. Mereka tidak lagi hiraukan ibu bapa atau guru, asalkan boleh makan, minum
dan berhibur semata. Semakin kurangnya nilai murni dalam diri anak muda dengan
merebaknya virus kebejatan sosial boleh menyebabkan pincang sistem kitaran
kehidupan yang selama ini dibina dengan sebaik mungkin.
Masyarakat sudah bosan menatap di dada akhbar tentang berita
hina dina seperti anak meninggalkan ibu bapa mereka di rumah orang tua, anak
pukul ibu, anak sanggup bunuh ibu bapa sendiri, murid menengking guru, kereta
guru dicalarkan, tayarnya dipancit, mengutuk nama guru dan segala macam lagi
perbuatan negatif yang semuanya itu nanti akan dihitung di padang Mahsyar.
Wahai anak muda! Kembalilah semula ke pangkuan fitrah
keinsanan. Anda sebenarnya manusia ciptaan ALLAH SWT yang terbaik tanpa
sebarang kecacatan dan teristimewa daripada segala-galanya. Setiap orang
mahukan lebih daripada kesenangan materialistik dan kebahagiaan sejati pada
hari akhirat nanti.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Demi diri manusia dan
Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan
keadaannya)". (Surah Al-Syams : 7)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan